suria

Semua 'hooray' dapat rentas negeri, tapi lain pula nasib penduduk Limbang... masih 'tersekat'

Penduduk di Limbang sukar bergerak bebas berikutan masalah perhubungan.

SEJAK beberapa hari lalu, orang ramai sudah mula merentasi negeri pulang ke haluan yang dirancang selepas hampir tiga bulan tidak dibenarkan berbuat demikian berikutan penularan wabak Covid-19.

Malah detik 12 malam pada 10 Jun lalu, ada segelintir yang meraikan kebebasan pergerakan ini dengan penuh kegembiraan.

Memang tidak dinafikan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, bukan sahaja aktiviti harian terhad, malah kita juga tidak boleh merentasi sempadan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Komer... Jangan 'ingker' dah boleh rentas negeri!

Tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia berita ini memang ditunggu-tunggu kerana ada yang sudah berjauhan dengan keluarga masing-masing.

Namun di sebalik kegembiraan kita semua bebas bergerak ke sana ke sini, berbeza pula dengan penduduk-penduduk di Limbang, Sarawak.

Daerah bahagian utara Sarawak ini amat istimewa memandangkan diapit oleh Brunei Muara dan Temburong.



Pemandangan Bandar Limbang. Foto: Facebook.

Bagi rakyat Limbang, satu-satunya jalan untuk keluar dari Limbang sama ada ke Miri atau lain-lain tempat perlu melalui Brunei terlebih dahulu.

Masih sukar bergerak

Berikutan itu, dalam tempoh sekatan perjalanan yang dilaksanakan oleh Brunei ini, telah menjadi kesukaran buat mereka semua.

Salah seorang penduduknya, Idris Ismail, 50 berkata, walaupun kerajaan telah membenarkan pergerakan rentas negeri, ia seolah tidak boleh diguna pakai di Limbang.

"Tiada istilah rentas negeri di sini kerana ia rentas negara terus. Daerah Miri Selatan atau Lawas Utara perlu mendapat kebenaran Brunei terlebih dahulu jika ingin bergerak dan menggunakan laluan mereka.

"Kita nak ke Miri atau ke Sabah perlu minta hantar dokumen terlebih dahulu. Itu pun kalau lulus kebenaran merentas negara Brunei. Kecuali jika ada kecemasan baharulah diberi kebenaran menaiki 'belon' (kapal terbang) kebenaran merentas negara Brunei melalui jalan darat.



Rakyat Limbang perlu melalui Brunei jika ingin bergerak ke tempat lain.

"Kami hanya minta kbenaran masuk negara Brunei untuk melintas bukannya tujuan lain seperti singgah membeli-belah dan sebagainya. Dan sepanjang dalam perjalanan di negara ini kami tertakluk dengan peraturan jalanraya serta undang-undang mereka

"Jadi kami di sini duduklah diam-diam walaupun sudah bebas bergerak," kongsinya kepada mStar.

Masalah perhubungan berterusan

Menurut Idris, rakyat Limbang memang sudah lama dibelenggu dengan masalah perhubungan ini.

"Saya tak tahu bila akan selesai. Dulu pernah dengar ada cadangan untuk bina jalan alternatif Lawas Limbang-Miri... tapi itulah dari dulu sampai sekarang dah masuk Perdana Menteri Ke-8 pun masih belum ada penyelesaian lagi.

"Cuma saya rakyat Limbang lepas ni ada jalan sendiri, tak perlu selalu ke luar negara (Brunei) untuk ke negara sendiri," katanya.



Suasana di Limbang pada waktu malam.

Pengalaman PKP

Menurut Idris, sepanjang tempoh PKP baru-baru ini, rata-rata rakyat di Limbang memang tidak bergerak ke mana-mana.

"Hanya kenderaan yang bawa stok makanan sahaja dibenarkan masuk. Mujur jugalah barang makanan dan lain-lain mencukupi.

"Dan banyak juga mata pencarian kami terjejas kerana PKP ini memandangkan rata-rata penduduk di sini bekerja dalam sektor pertanian. Ada juga yang menjadi nelayan.

"Bagaimanapun selepas tempoh PKP ini berakhir dan kini dalam tempoh pemulihan, kami semua perlahan-lahan bangkit kembali mencari rezeki.

"Cuma sekarang ini saya harap rakyat Limbang dapat menjalani kehidupan dari segi pergerakan dengan lebih bebas lagi," akhirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Limbang, Sukar Bergerak, Brunei

Artikel Lain