suria

Trend menakutkan! Malaysia terus pegang rekod tertinggi obesiti di Asia

Trend pemakanan rakyat Malaysia menjadi punca kepada obesiti.

MASALAH obesiti iaitu satu keadaan kompleks di mana seseorang individu itu mempunyai lemak berlebihan pada badan bukanlah hanya dihadapi oleh Nur Athirah mahupun dalam lingkaran Malaysia sahaja bahkan turut menjadi isu kesihatan utama seantero dunia.

Menyusuri data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), permasalahan obesiti yang mengubah struktur bentuk badan seseorang itu didapati menjadi kebimbangan global sejak tahun 1975 lagi dan sehingga kini ia masih menjadi isu besar.

Kerungsingan ini berasas kerana obes merupakan gerbang kepada peningkatan risiko pelbagai penyakit kronik yang bukan sahaja memberi masalah besar kepada golongan tersebut bahkan sesebuah negara berikutan menampung kewangan sangat besar bagi penyediaan rawatan buat rakyatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan lalai! Kandungan gula dalam darah anda tinggi atau rendah? Ketahui simptom dan kesan pada tubuh

Jika dirujuk laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Feb 2020 jelas memperlihatkan betapa kritikalnya permasalahan ini berikutan obesiti telah mencapai peringkat epidemik secara global, dengan sekurang-kurangnya 2.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana lebihan berat badan atau obes.

Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa mempunyai, sama ada berlebihan berat badan atau obes di mana 30.4 peratus merupakan berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obes.

Harus difahami bahawa terminologi berlebihan berat badan dan obes adalah dua kategori berbeza. Bagi berlebihan berat badan, NHMS 2019 mendefinisikan ia berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) adalah melebihi 25kg/m2 manakala untuk obes kadar IJT melebihi 30kg/m2.



Berat badan segelintir rakyat Malaysia meningkat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penemuan data ini nyata tidak begitu menggembirakan kerana ia menunjukkan berlakunya tren peningkatan kategori berkenaan berbanding kajian sama pada tahun sebelumnya.

Misalnya, untuk kategori berlebihan berat badan hanyalah sekitar 29.4 peratus manakala obes (15.1 peratus) untuk tahun 2011.

Data NHMS 2019 juga turut memperincikan tiga golongan tertinggi yang berhadapan permasalahan tersebut iaitu perempuan (54.7 peratus), etnik India (63.9 peratus) manakala lingkungan umur paling tinggi adalah golongan berumur 55-59 tahun (60.9 peratus).

Kanak-kanak

Melihat kepada data tersebut, ada kemungkinan besar golongan ini akan mencatatkan penambahan pada tahun ini sekiranya tidak ada langkah rawatan diambil mahupun masih ada yang terus mengamalkan gaya hidup sedentari seperti sebelumnya.

Ini memandangkan ramai yang mengeluh akan kenaikan berat badan sepanjang PKP mahupun PKPBersyarat, jadi, tidak mustahil Malaysia akan terus memegang rekod negara tertinggi golongan dewasa obes di Asia Tenggara.

Menurut Data World Population Review (2019), prevalens orang dewasa yang obes di Malaysia adalah yang tertinggi di negara Asia Tenggara sebanyak 15.6 peratus diikuti oleh negara Brunei (14.1 peratus), Thailand (10.0 peratus) dan Indonesia (6.9 peratus).

"Faktor penyumbang kepada masalah obesiti boleh dibahagikan kepada empat faktor utama iaitu (i) pemakanan, (ii) aktiviti fizikal, (iii) persekitaran, (iv) genetik dan (v) faktor lain seperti penyakit, tekanan dan ubatan. Dua faktor utama ialah dari segi pemakanan dan aktiviti fizikal.

"Secara dasarnya, pengambilan makanan memberi tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan. Namun, pengambilan makanan berlebihan yang tidak disertai dengan penggunaan tenaga melalui aktiviti fizikal menyebabkan tenaga berlebihan ini disimpan sebagai lemak di dalam badan," kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Norliza Ahmad kepada Bernama.



Corak pemakanan antara faktor kanak-kanak mengalami lebih berat badan.

Menurut Norliza yang juga pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, apa yang menakutkan, permasalahan ini bukan sahaja menyerang orang dewasa bahkan juga kanak-kanak.

Ini dapat dilihat daripada tinjauan NHMS 2019 yang mendapati 29.8 peratus kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan temasuk obes. Dilaporkan 14.8 peratus adalah obes manakala selebihnya merupakan berlebihan berat badan.

Ternyata penemuan ini sangat menggerunkan kerana ia menunjukkan trend peningkatan melebihi tiga kali ganda dalam tempoh tidak sampai satu dekad. Kajian yang sama juga menunjukkan, peratusan kanak-kanak obes hanyalah 3.9 peratus pada 2011.

"Ramai kanak-kanak menghadap skrin seperti permainan komputer, tablet, televisyen melebihi dua jam sehari. Tempoh masa yang lama itu dikaitkan dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

"Masalah ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak yang obes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes mellitus dan tekanan darah tinggi pada usia muda selain berkemungkinan menjadi orang dewasa obes.

"Keadaan ini seterusnya mendedahkan mereka untuk menghadapi masalah kesihatan kronik lebih awal yang boleh menjejaskan produktiviti mereka," katanya.

NCD dan Covid-19

Sepertimana negara lain yang turut bimbang, Malaysia juga tidak terkecuali daripadanya kerana lebihan berat badan mahupun obes, kedua-duanya merupakan faktor risiko utama yang sering dikaitkan dengan penyakit kronik NCD seperti diabetes mahupun kardiovaskular.

Masalah NCD di Malaysia semakin meruncing kerana dilaporkan sebelum ini ia dikesan antara penyebab utama kematian pramatang berikutan purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun.

Jangka hayat sudah tersekat untuk satu dekad berbanding negara lain berikutan penyakit NCD turut sama membawa komplikasi seperti darah tinggi sinonim serangan jantung mahupun diabetes akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang.



Jumlah rakyat Malaysia mengalami obesiti antara yang tertinggi di Asia.

Jadi, bayangkanlah sekiranya kanak-kanak yang obes itu sudah didiagnos dengan penyakit NCD di awal usia dan tidak mengawalnya dengan baik, tidak mustahil akan terdedah dengan pelbagai komplikasi berkaitan dengannya yang bukan sahaja mengganggu kualiti kehidupan bahkan juga kematian.

Perihal ini mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika membentangkan tinjauan NHMS 2019 dipetik berkata, seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

Penemuan ini merisaukan kerana prevalens diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus daripada 13.4 peratus, pada tahun 2015. Di samping itu, dapatan NHMS 2019 juga menunjukkan sejumlah 49 peratus penghidap kencing manis tidak pernah diperiksa atau didiagnos menghidap penyakit tersebut.

Kerajaan memandang serius permasalahan ini kerana menanggung beban kewangan besar rawatan. Kerajaan dilaporkan sebelum ini menampung kos rawatan hemodialisis berjumlah RM2.2 bilion setahun bagi 50,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

Dianggarkan kos untuk seorang pesakit menjalani rawatan itu sebanyak tiga kali seminggu sekitar RM44,000 setahun.

Sememangnya, begitu banyak komplikasi kesihatan buat mereka yang obes apatah lagi jika disahkan positif Covid-19 dan mempunyai rekod NCD. Kumpulan ini berdepan risiko komplikasi kesihatan lebih dahsyat malah turut berisiko membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Sepertimana kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lebih 80 peratus daripada jumlah kes kematian bagi kes Covid-19 adalah kalangan mereka yang ada NCD.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

obesiti, Malaysia, trend

Artikel Lain