suria

Takutkan Covid-19, jangan sampai abai gigitan Aedes! Jom ambil tahu jenis dan simptom denggi

Fogging atau semburan serangga perlu kerap dilakukan di tempat yang berisiko tinggi demam denggi.

PENURUNAN jumlah jangkitan wabak pandemik Covid-19 ternyata melegakan seluruh masyarakat, namun jangan leka kerana serangan demam denggi mula berleluasa.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula dari Januari 2019 sehingga 6 Jun 2020, sebanyak 48,584 kes demam denggi telah dilaporkan.

Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Nefrologi, Hospital Columbia Asia Tebrau, Dr Tee Shin Kuan, peningkatan kes sebanyak lapan peratus setiap minggu amat membimbangkan apabila 84 kematian kes denggi telah dicatat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan lalai! Kandungan gula dalam darah anda tinggi atau rendah? Ketahui simptom dan kesan pada tubuh

"Kebanyakan kes kematian adalah disebabkan kelewatan mendapat rawatan. Demam denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus denggi.

"Virus denggi merebak melalui gigitan nyamuk Aedes yang aktif pada waktu subuh dan senja.

"Oleh sebab itu, virus gigitan nyamuk Aedes selalunya merebak pada waktu tersebut," kongsinya kepada mStar.



Gigitan nyamuk Aedes boleh menyebabkan demam denggi.

Jenis-jenis virus denggi

Terdapat empat jenis virus denggi iaitu DEN1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.

Seseorang yang dijangkiti satu jenis virus denggi hanya akan mempunyai imuniti terhadap virus denggi tersebut.

"Misalnya sekiranya seseorang mendapat jangkitan DEN 1, dia hanya mempunyai imuniti terhadap virus DEN 1 dan boleh mendapat penyakit denggi lagi yang disebabkan oleh DEN2, DEN3 dan DEN4.

"Pesakit akan menunjuk gejala selepas empat hingga tujuh hari digigit nyamuk Aedes, yang dijangkiti virus denggi.

"Antara tanda-tanda penyakit denggi adalah seperti demam, sakit sendi, sakit otot, sakit kepala, sakit mata, loya/muntah, cirit-birit dan ruam."



Sampel telur nyamuk Aedes.

Fasa sembuh

Biasanya, pesakit denggi mangambil masa tujuh hingga 10 hari untuk sembuh. Demam denggi boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa demam (febrile phase), fasa kritikal (critical phase) dan fasa sembuh (recovery phase).

Fasa pertama yang dialami adalah fasa demam (antara tiga hingga lima hari). Dalam fasa ini, pesakit mengalami gejala demam, sakit sendi, sakit otot, sakit kepala dan tanda- tanda lain yang disebut di atas.

Selepas tiga hingga lima hari, pesakit akan memasuki fasa kritikal (antara 48 dan 72 jam).

Dalam fasa ini, demam mulai surut tetapi darah platelet dan sel darah putih mula menurun dalam badan. Dalam fasa kritikal ini, pesakit mengalami tanda-tanda yang berlainan.

Ada dalam kalangan mereka tidak mengalami tanda- tanda yang tenat, tetapi ada pesakit yang akan mengalami komplikasi seperti pendarahan dalaman, pengumpulan air dalam ruangan paru-paru atau dalam perut, tekanan darah rendah, kegagalan fungsi buah pinggang serta hati dan koma. Ini boleh membawa maut.

Selepas 48 hingga 72 jam, pesakit akan mengalami fasa sembuh, di mana tanda-tanda demam denggi akan hilang dan bacaan platelet dan sel darah putih akan beransur pulih.

Tiada rawatan khas

Sehingga kini masih tiada rawatan khas dan imunisasi untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan gejala demam denggi perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Ujian darah perlu diambil untuk mencapai diagnosis dengan segera. Kes denggi perlu diberitahu kepada pihak kesihatan supaya langkah pencegahan seterusnya seperti semburan kabus (fogging) dapat dilakukan di tempat kediaman.



Amaran mengenai bahaya demam denggi oleh Jabatan Kesihatan.

Untuk pesakit yang mengalami tanda-tanda demam denggi yang ringan, bolehlah rehat di rumah dengan pemantauan ujian darah di klinik atau hospital setiap hari.

Untuk mereka yang mengalami tanda-tanda yang tenat, pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pemantauan yang lebih terperinci. Tanda-tanda tenat (warning signs) adalah seperti berikut:

1. Sakit perut

2. Muntah lebih dari tiga kali dalam 24 jam

3. Cirit-birit lebih dari tiga kali dalam 24 jam

4. Pengumpulan air dalam paru-paru, selaput jantung dan perut

5. Pendarahan secara spontan

6. Penat

7. Kurang kesedaran/kekeliruan

8. Sakit di organ hati apabila diperiksa oleh doktor

9. Ujian darah yang tidak normal



Mangsa demam denggi akan kerap menjalani ujian darah.

Mangsa berisiko

Selain daripada pesakit yang mempunyai tanda-tanda tenat yang disebut di atas, golongan pesakit yang berisiko tinggi juga perlu dirujuk kepada hospital untuk pemantuan yang teliti.

Golongan berisiko tinggi adalah seperti mereka yang menghidap kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, masalah obesiti, berusia lebih 65 tahun, pesakit yang mengandung dan pesakit yang menerima ubat cair darah.

Waspada

Mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu subuh dan senja iaitu waktu nyamuk Aedes sedang aktif mencari mangsa.

Sekiranya kita ingin menjalankan aktiviti pada masa tersebut, kita harus memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang serta seluar panjang.

Sapu ubat penghalau nyamuk pada anggota badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk. Sekiranya nyamuk Aedes didapati di kawasan rumah, gunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

denggi, Covid-19, bahaya, risiko, simptom, gejala

Artikel Lain