TIDUR sangat penting bagi membolehkan organ-organ dalam tubuh yang bekerja keras seharian dapat berehat dan segar pada keesokan harinya. Bagaimanapun, ada di antara kita yang sukar tidur nyenyak kerana tekanan atau faktor-faktor lain seperti insomnia serta situasi bilik tidur yang tidak selesa. Bagi mendapatkan tidur berkualiti, kita biasanya akan menutup lampu, memasang penghawa dingin serta menggunakan bau-bauan bagi membangkitkan mood tidur selain ada pula yang memakai sarung kaki.ARTIKEL BERKAITAN: Kanser prostat bukan pengakhiran buat lelaki - "Perlu berani tampil, ujian PSA dapat bantu kesan awal" Yayasan Tidur Nasional memberitahu menjaga kaki agar hangat ketika tidur dapat memberikan kualiti lebih baik kepada tidur kita. Ini kerana sekiranya kaki dibiarkan kesejukan, pembuluh darah akan mengecut dan menyebabkan semakin sedikit aliran darah. Ada beberapa manfaat yang boleh kita dapat jika memakai sarung kaki ketika tidur termasuklah; Memakai sarung kaki boleh membuatkan tidur lebih nyenyak. 1. Mencegah kepanasan (hot flash) Bagi wanita yang sedang mengalami proses menopause, biasanya golongan ini akan mengalami panas pada kaki, badan, berpeluh dan jantung berdebar. Memakai sarung kaki pada malam hari akan menjaga suhu tubuh bersesuaian dan dapat menghindarkan gejala hot flash. 2. Mengurangkan gejala penyakit Raynaud Salah satu gejala penyakit Raynaud adalah tangan dan kaki akan menjadi sejuk. Perkara ini disebabkan kurangnya aliran darah ke kedua-dua bahagian itu. Memakai sarung kaki boleh mengurangkan gejala tersebut dan membuatkan kaki tetap berasa hangat. 3. Badan lebih segar Apabila memakai sarung kaki ketika tidur, badan bukan sahaja dapat menyeimbangi suhu badan sepanjang malam tetapi membuatkan kita bangun dalam keadaan lebih segar dan bertenaga. Ia adalah hasil kesan tubuh kita mendapat rehat yang mencukupi. Bagaimanapun pemilihan sarung kaki juga sangat penting dan sebaik-baiknya pilih yang diperbuat daripada kain lembut dan selesa. Pastikan juga ia tidak ketat bagi membolehkan peredaran darah berjalan dengan baik serta memberi anda tidur yang nyenyak. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!