suria

Bahaya luka kaki pesakit diabetes... kalau kena potong jangan putus asa!

Pesakit diabetes yang mengalami luka pada kaki perlu menjaga pemakanan selain mendapatkan rawatan dari peringkat awal bagi mengelakkan kaki dipotong. - Gambar Sekadar Hiasan

JENAKA yang biasa kita dengar berkaitan pesakit diabetes biasanya pasti berkaitan pengambilan gula berlebihan dalam minuman dan kesannya hingga terpaksa potong kaki.

Tetapi pernahkah kita terfikir apakah penyebab sebenar kaki seorang pesakit diabetes mengalami luka dan ia sukar sembuh sehingga akhirnya terpaksa dipotong? Adakah itu juga satu-satunya penyelesaian kepada masalah itu?

Pakar Penjagaan Luka dan Hyperbaric, Leftenan Kolonel (B) Dr. Clement Limus Apong berkata, kajian yang dilakukan di United Kingdom menunjukkan empat daripada lima pesakit diabetes tidak perlu menjalani proses pemotongan kaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa ramai pesakit diabetes meningggal dunia akibat Covid-19? Ini jawapannya

Dr. Clement bagaimanapun menjelaskan tindakan memotong kaki pesakit boleh disebabkan beberapa faktor termasuk luka yang dialami pesakit sudah di tahap kronik dan tidak mendapat rawatan sewajarnya pada peringkat awal.

"Kita harus faham, apabila seorang pesakit mengalami luka dan ia sukar sembuh, rawatan yang paling disarankan adalah memotong kaki.



Luka yang pada awalnya teruk dapat diselematkan dengan rawatan yang betul.

"Kebiasaannya, keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan pesakit hanya datang ke hospital apabila luka yang dialami sudah benar-benar teruk dan sukar dirawat," katanya kepada mStar.

Saraf dan saluran darah rosak punca kaki luka

Dr. Clement memberitahu, luka atau ulser pada kaki ini terjadi disebabkan kegagalan pesakit mengawal kandungan gula dalam darah sehingga ia merosakkan saraf dan saluran darah.

Umumnya katanya, kerosakan itu akan tertumpu pada bahagian kaki terlebih dahulu sehingga menyebabkan pesakit tidak sedar sekiranya kaki mereka mengalami luka kerana mula hilang deria rasa sakit.

"Biasanya saraf dan saluran darah akan rosak pada bahagian paling jauh daripada badan terlebih dahulu iaitu kaki. Awalnya, ia akan merosakkan saraf sebelum saluran darah paling halus pada kaki.

"Apabila kedua-dua saraf dan saluran darah sudah terjejas, pesakit tiada akan ada deria rasa pada kaki mereka. Sebab itu pesakit tidak sedar jika kaki mereka luka.



Dr. Clement memberitahu pesakit jangan berputus asa sebaliknya perlu memainkan peranan ketika mendapatkan rawatan.

"Saraf yang sudah rosak tadi akan menyebabkan luka dan luka tidak dapat sembuh disebabkan saluran darah juga sudah rosak," katanya.

Jelasnya lagi, kesan kerosakan saraf dan saluran darah itu turut menyebabkan kerosakan kelenjar minyak dan peluh pesakit yang mengakibatkan kulit mereka kering dan keras.

"Orang yang sihat akan keluarkan peluh dan minyak bagi melembapkan kulit tetapi apabila kedua-dua kelenjar ini rosak, kulit akan jadi kering dan senang pecah apabila luka dan membuka 'pintu' kepada kuman untuk masuk," katanya.

Atas sebab itu juga, pesakit disarankan untuk menggunakan tisu basah bagi mengelap kulit yang kering selain menggunakan losyen gred perubatan untuk tujuan melembapkan kulit.

Sebenarnya kencing manis memang tidak menunjukkan simptom dalam jangka masa 10 ke 15 tahun meskipun sudah disahkan menghidap penyakit itu.

LT. KOL (B) DR. CLEMENT LIMUS APONG

Pesakit juga perlu mainkan peranan

Bekas Ketua Jabatan Penjagaan Luka dan Hyperbaric, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan itu bagaimanapun berkata, kebanyakan luka akibat komplikasi kencing manis sebenarnya boleh dirawat dan tidak perlu dipotong.

Bagaimanapun, pesakit juga perlu memainkan peranan sekiranya ingin mengelakkan kaki mereka dipotong dan perlu menjalani kehidupan sihat.

"Kebanyakan kes yang saya lihat, pesakit tidak ambil berat tentang sakit yang dialami kerana merasakan diri mereka sihat. Sebenarnya kencing manis tidak menunjukkan simptom dalam jangka masa 10 ke 15 tahun meskipun sudah disahkan menghidap penyakit itu.

"Sebaliknya tanpa disedari ia secara perlahan-lahan merosakkan sistem dalam badan kita.

"Saya sebagai doktor, akan cuba untuk selamatkan kaki yang sudah rosak malah banyak kes yang saya terima apabila diberitahu hendak dipotong berjaya diselamatkan dengan rawatan yang betul.



Pesakit juga perlu mainkan peranan seperti menjaga kandungan gula dalam tubuh, mengamalkan diet bersesuaian serta mengurangkan pergerakan.

"Tetapi proses ini memerlukan kerjasama kedua-dua pihak dan amat penting bagi pesakit menjaga pemakanan dan mengawal kandungan gula dalam badan bagi membolehkan luka sembuh dengan cepat," katanya.

Ini termasuklah kata Dr. Clement, pesakit perlu memastikan paras gula, kolestrol dan tekanan darah dijaga dengan baik sepanjang proses pemulihan selain diet berprotein tinggi sangat digalakkan bagi membantu membina kembali tisu pada luka pesakit.

"Luka biasanya berlaku pada tapak kaki dan sebaik-baiknya kurangkan pergerakan dan akan bantu pesakit sembuh dengan cepat.

Sekiranya perkara asas ini tidak dapat dilakukan, rawatan yang terbaik pun mungkin tidak berguna," ujarnya.

Kini mempunyai kliniknya sendiri iaitu Klinik Clement Wound Care Services, Dr. Clement memberitahu dia tidak mempunyai sebarang kaedah khusus merawat luka pesakit sehingga sembuh.



Luka biasanya terjadi pada tapak kaki kerana saraf dan saluran darah mudah rosak dibahagian itu.

Sebaliknya hanya melakukan prosedur biasa yang dipelajarinya ketika melanjutkan pelajaran di Australia dan Jerman selain menggunakan ubat-ubatan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seperti yang saya kata, proses ini memerlukan komitmen pesakit dan sekiranya mereka diberitahu kaki perlu dipotong, nasihat saya jangan berputus asa terlebih dahulu.

"Jika tidak cuba kita tidak akan tahu, beri peluang kepada diri untuk mendapat rawatan dan letakkan komitmen pada diri agar dapat pulih," ujarnya.

Periksa kaki setiap hari, jangan pakai selipar!

Bagi pesakit diabetes kata Dr. Clement, sangat disarankan untuk memeriksa kaki setiap hari atau sekurang-kurang sekali setiap dua hari bagi memeriksa sama ada terdapat sebarang luka yang tidak disedari.

Tambah beliau, pesakit diabetes perlu mengelak daripada memakai selipar atau sandal ketika keluar rumah kerana ia lebih terdedah kepada bahaya dan jangkitan kuman.



Periksa kaki setiap hari bagi mengesan sebarang luka.

"Jika kaki terlanggar besi buruk, ia bukan sahaja boleh menyebabkan luka tetapi jangkitan kuman yang boleh menyebabkan luka bertambah teruk.

"Harus diingat, jangkitan kuman pesakit kencing manis lebih cepat kerana sistem pertahanan badan mereka yang lemah. Jadi kuman boleh masuk tanpa sebarang halangan," jelasnya.

Paling penting kata Dr. Clement, pesakit juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan berkala atau sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali bagi memeriksa kandungan gula dalam badan dan memeriksa kaki.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain