suria

Mengejutkan! 58 peratus sanggup menderita migrain sejak muda, percaya sakit kepala akan lenyap tanpa rawatan

Ramai yang mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali seminggu.

RAMAI daripada kita yang tidak endah apabila mereka mengalami sakit kepala yang keterlaluan sehingga adakalanya ia berdenyut-denyut pada tahap melampau.

Ketegangan akibat sakit kepala dan migrain sebenarnya bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan, terutamanya jika ia mempengaruhi produktiviti dan kualiti hidup kita.

Sebahagian besar daripada kita menjalani kehidupan yang sibuk dan pantas sehingga mengakibatkan tekanan tinggi yang mungkin mampu mencetuskan sakit kepala dan migrain.

ARTIKEL BERKAITAN: Begitu kuat pengaruh rawatan alternatif, ramai enggan ke hospital... realitinya kes kanser libatkan anak muda makin meningkat!

Jadi tidak hairan migrain menjadi masalah kesihatan ketiga paling tinggi di dunia di mana ia adalah gangguan neurologi kompleks yang mempengaruhi kira-kira tiga bilion individu dan diakui mampu menjejaskan produktiviti di tempat kerja.

Artikel penyelidikan dalam The Journal of Headache and Pain mengenai 'kesan migrain pada produktiviti tempat kerja dan kerugian wang' yang dijalankan pada Jun lalu mendapati sekitar 86 juta hari bekerja hilang begitu sahaja akibat migrain setiap tahun dengan kos kehilangan produktiviti berjumlah 8.8 juta pound sterling di Britain.



Majoriti penderita sakit kepala dan migrain adalah wanita.

Sementara itu di Amerika Syarikat pula, kos berkaitan migrain tahunan bagi setiap 1,000 pekerja dianggarkan berjumlah AS$84,000 setiap tahun, yang mana satu pertiga disebabkan oleh kehilangan waktu bekerja.

Manakala di Singapura, kerugian ekonomi dicatatkan sebanyak S$1.04 bilion pada 2018.

Kajian terakhir yang dilakukan di Malaysia pada 1996 seperti dilaporkan dalam The Journal of Head and Face Pain menunjukkan prevalensi migrain berada pada tahap sembilan peratus. Semenjak laporan tersebut, data terbaru mengenai migrain atau kesannya tidak didokumentasi.

Bersempena dengan Minggu Kesedaran Migrain 2020 pada September ini, Novartis Malaysia bekerjasama dengan The Star melakukan Kajian Migrain bagi membantu rakyat Malaysia yang hidup dengan migrain dalam memahami serta mengatasi kesakitan dialami.

Tinjauan yang dilakukan pada Jun lalu menunjukkan, dalam kalangan penderita sakit kepala, hampir separuh daripada mereka mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Malah ramai daripada mereka mengatakan kesakitan itu menghadkan aktiviti harian mereka sekurang-kurangnya sehari sejak tiga bulan lalu.

Separuh daripada penderita sakit kepala mungkin mengalami migrain kerana 18 peratus responden mengatakan mereka sakit kepala seminggu sekali, 19 peratus pula mengatakan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu dan enam peratus mengalami sakit kepala lebih daripada empat kali seminggu.

Jumlah individu yang mengalami migrain juga meningkat apabila 20 peratus mengakui sakit kepala mereka semakin kerap serta menunjukkan keadaan yang semakin buruk.

Responden juga memberitahu permulaan migran datang dengan gejala amaran seperti berasa pening atau vertigo, mual, kilatan cahaya, kehilangan penglihatan separa atau rasa kebas sementara dan ada pula mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang petanda.

Penghidap migrain sering mengadu sakit teruk pada bahagian kepala disertai dengan rasa mual, muntah dan fotofobia (silau).



12 peratus penderita sakit kepala menyatakan kesakitan telah membuatkan mereka berhenti mengejar cita-cita mereka.

Meskipun mereka berbeza-beza daripada segi usia dan jantina, penemuan dalam kajian The Journal of Headache and Pain menunjukkan bahawa majoriti penderita migrain adalah wanita (tiga kali ganda berbanding lelaki) dan kebanyakan penderita sakit kepala adalah golongan dewasa yang bekerja di antara usia 31 dan 40 tahun.

Tinjauan Migrain Novartis menunjukkan bahawa 27 peratus mengatakan sakit kepala mereka dalam keadaan parah., manakala enam peratus lagi memberitahu rasa sakit itu tidak mampu ditanggung.

Berdasarkan tinjauan itu, 50 peratus penderita sakit kepala di Malaysia terpaksa menghadkan rutin harian mereka, manakala 50 peratus lagi memberitahu tidak dapat menikmati kehidupan sepenuhnya.

Sebilangan daripada mereka (12 peratus) menyatakan sakit kepala mereka telah memaksa mereka berhenti daripada mengejar impian dan cita-cita mereka.

Migrain juga boleh mempengaruhi kehidupan sosial dan keluarga mereka. Hubungan peribadi dengan ibu bapa, anak-anak dan pasangan boleh terkesan manakala aktiviti sosial turut terjejas. Hasil tinjauan ini juga menunjukkan 41 peratus penderita mendapat sokongan keluarga.

Kesan fizikal dan psikologi yang besar terhadap individu disebabkan oleh kesakitannya dapat menyebabkan kualiti hidup berkurangan, terutamanya bagi mereka yang mengalami sakit kepala berulang kali.

Penurunan produktiviti kerja

Hasil kajian The Journal of Headache and Pain menunjukkan bahawa di Malaysia, migrain mempengaruhi produktiviti di tempat kerja menyebabkan ketidakhadiran ke pejabat sebanyak 17 hari setiap tahun. Semakin kerap serangan migrain, pekerja lebih cenderung untuk mengambil cuti sakit.

Bagaimanapun, terdapat kelaziman lebih tinggi dalam presenteeism atau tempoh berada di tempat kerja berbanding pekerja tidak hadir ke pejabat. Ini bermakna lebih banyak pekerja yang tetap bekerja walaupun dalam keadaan sakit, yang bukan hanya menyebabkan kehilangan produktiviti tetapi mengakibatkan gangguan kesihatan dan keletihan.

Ini mungkin disebabkan oleh unsur rasa bersalah dalam diri. Ini diperkuatkan lagi hasil kajian migrain Novartis yang menunjukka bahawa mereka yang menderita migrain sering berasa bersalah kerana sering mengalami sakit kepala.

Sehingga 57 peratus mengatakan, rakan, teman sepejabat dan pihak atasan tidak memahami keadaan mereka. Oleh demikian, meskipun sakit, mereka merasakan wajib untuk terus bekerja walaupun kebolehan merteka untuk fokus dan menumpukan perhatian terjejas.

Daripada mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan ketidakhadiran, hasil tinjauan menunjukkan bahawa majikan malah dapat mengembangkan strategi kesihatan dan program kerja yang menyokong untuk membantu pekerja yang terkena migrain menguruskan dan mengurangkan kesakitan mereka.

Manfaat daripada strategi itu dapat dilihat menerusi program kesedaran dan sokongan yang diadakan oleh Novartis Switzerland untuk pekerjanya di antara Jun 2018 hingga Oktober 2019.

Inisiatif tersebut merangkumi pendidikan mengenai kesedaran migrain, ceramah oleh pakar neurologi dan panduan pengurus untuk mewujudkan persekitaran kerja yang mesra migrain, serta bimbingan secara individu bulanan mengenai pengurusan sakit itu dan rancangan tindakan daripada jururawat telemedikal.

Peningkatan yang ketara ditunjukkan dalam pengurusan migrain jangka panjang, berikutan program pengurusan penyakit yang ditaja oleh majikan. Kira-kira 90 peratus peserta program Swiss melaporkan keadaan mereka bertambah baik setelah enam bulan dan 86 peratus selepas sembilan bulan.



Sakit kepala boleh menggangu aktiviti harian dan kerja di pejabat.

Pengurusan migrain profesional

Menerusi tinjauan Migrain Novartis pula mendapati, masalah utama terletak pada kenyataan bahawa separuh daripada penderita migrain tidak mengetahui ada ubat yang khusus untuk mencegah dan mengurangkan serangan migrain.

Biasanya, penghidap sakit kepala di Malaysia menggunaakan ubat penahan sakit untuk menguruskan kesakitan mereka tanpa mendapatkan sebarang nasihat pakar kesihatan.

Menurut data Novartis Migraine Survey, lebih daripada 53 peratus penderita sakit kepala di Malaysia bergantung pada ubat penahan sakit untuk menghentikan sakit kepala mereka semasa serangan migrain, 27 peratus cuba menghindari penyakit itu tercetus, sementara 15 peratus lagi tidak melakukan apa-apa.

Penggunaan ubat penghilang rasa sakit secara berterusan untuk mengubati sakit kepala akan menyebabkan otak mengembangkan ketergantungan terhadap ubat-ubatan dan menimbulkan "sakit kepala yang terlalu banyak menggunakan ubat (medication-overuse headaches)".

Apabila kesan ubat penahan sakit hilang, mungkin sakit kepala kembali lebih kuat dan menyebabkan pesakit lebih banyak mengambil ubat penahan sakit. Kitaran ganas dan pengunaan ubat yang berlebihan tidak akan memberikan kesan kelegaan kesakitan yang lebih baik malah boleh menyebabkan lebih banyak serangan migrain.



Sebaik-baiknya berjumpa dengan pakar untuk mengetahui keadaan sebenar.

Selaras dengan kajian The Journal of Head and Pain yang mengatakan bahawa separuh daripada penderita migrain tidak menyedari keadaan mereka sebagai sesuatu yang memerlukan rawatan, hasil Kajian Novartis Migraine menunjukkan bahawa 64 peratus merasakan sakit kepala mereka hanya kesakitan pada tahap ringan hingga sederhana.

Mereka yang mendapatkan rawatan di hospital biasanya akan bertemu dengan doktor am manakala yang lain lebih gemar menggunakan ubat yang dibeli di farmasi. Hanya 13 peratus yang bertemu dengan pakar neurologi.

Tinjauan Migrain Novartis juga mendedahkan kebanyakan pesakit migrain berpendapat bahawa rasa sakit akan berlalu dan sebab itu mereka tidak mendapatkan rawatan profesional. Ini mungkin disebabkan oleh fakta bahawa kebanyakan penderita sakit itu (58 peratus) hidup dengan kesakitan sejak mereka muda dan mungkin telah menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.

Ini menunjukkan bahawa migrain sering dibiarkan tanpa didiagnosis dan tidak dirawat walaupun kesannya menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti di pejabat.

Tinjauan ini juga menegaskan bahawa sebilangan besar penderita sakit kepala di Malaysia menguruskan sakit kepala mereka dengan tidak tepat, tanpa mendapatkan rawatan pakar.

Bagaimanapun, dengan diagnosis yang tepat, rawatan pencegahan mungkin dapat mengurangkan sakit kepala dan meningkatkan kualiti hidup seseorang.

Migrain tidak boleh dipandang sebagai stigma. Terdapat ramai yang menderita kesakitan yang sama setiap hari, tetapi itu tidak bermakna mereka harus hidup dalam kesakitan. Dapatkan pandangan pakar neurologi untuk memahami migrain anda dan buat rancangan rawatan yang khusus buat anda.

Walaupun tidak ada peluru ajaib, pakar neurologi dapat memberi cadangan untuk menguruskan migrain anda dengan lebih baik.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain