suria

Jangan anggap mereka lemah... kanak-kanak autisme tunjuk skil di kolam renang saiz Olimpik

Antara peserta yang menyertai Gala Renang Autisme di Universiti Malaya pada Sabtu.

SEPERTI kanak-kanak normal lain, aktiviti air atau sukan renang sesuai didedahkan kepada anak autisme sebagai salah satu bentuk terapi.

Ini kerana renang dapat memenuhi keperluan deria individu autisme pada tahap rangsangan rendah.

Atas dasar itu juga, Hawary Sports Centre (HSC) dengan kerjasama Pusat Sains Sukan dan Latihan (CSES) dan Pusat Penyelidikan Al-Quran, Fakih Autism School, Universiti Malaya menganjurkan Gala Renang Autism pada Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak berdengkur tak normal sebenarnya! Masalah pembelajaran, hiperaktif antara kesannya... pastikan segera dirawat

Pengarah Urusan HSC, Hamlatul Hawary Azizan berkata, seramai 27 peserta autistik menyertai pertandingan itu yang mengambil bahagian dalam tujuh jenis acara termasuklah gaya bebas, gaya dada dan gaya survival.



Aktiviti berenang adalah salah satu bentuk terapi dan meningkatkan fokus kanak-kanak dengan masalah autisme.

Hamlatul Hawary memberitahu gala itu diadakan bagi memberi peluang kepada semua peserta menunjukkan kebolehan dan kemahiran serta mempamerkan kemampuan dan teknik berenang.

"Kita perlu faham bahawa tahap kebolehan kanak-kanak dengan masalah autism adalah berbeza malah ada di antara mereka mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan satu pusingan.

"Tetapi gala hari ini membuktikan ramai di antara mereka yang mampu menyelesaikan semua acara dan paling penting ia dapat meningkatkan keyakinan diri terutamanya ketika berdepan khalayak ramai," katanya.

Menambah cabaran pada pertandingan itu, ia diadakan di sebuah kolam renang bersaiz olimpik.

Dalam pada itu, Hamlatul Hawary memberitahu gala yang diadakan bukan sahaja sebuah pertandingan tetapi adalah bentuk terapi kepada kanak-kanak autisme.



Peserta menerima sijil penghargaan daripada penganjur.

"Apabila mereka berada dalam air, seluruh anggota badan perlu bergerak untuk berenang atau mereka akan tenggelam. Jadi ia turut meningkatkan fokus mereka ketika berada dalam air," katanya.

Tambahnya, latihan renang yang mula diperkenalkan sejak 2016 di HSC itu turut mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa yang menyifatkan aktiviti itu membuatkan anak-anak mereka lebih tenang.

"Selain mereka lebih tenang, ia membantu mereka untuk menjalani terapi seterusnya seperti cara kerja, percakapan dengan lebih mudah," jelasnya.

Bagaimanapun kata Hamlatul Hawary, pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak autism berasa selesa dan tidak berasa cemas ketika pertandingan diadakan.

Ini termasuklah tidak menggunakan sebarang tiupan wisel agar mereka tidak berasa terkejut atau cemas ketika berada dalam air serta menggunakan tali pembahagi di dalam kolam renang.



Antara peserta cilik yang menyertai pertandingan itu.

Ia bagi memastikan mereka tidak bergantung kepada tali pembahagi dan tidak berenang sehingga ke penghujung.

Dalam perkembangan sama, Pengarah CSES, Profesor Madya Dr Abdul Halim Mokhtar memberitahu pihaknya akan melakukan beberapa kajian yang diharap dapat memberi manfaat kepada komuniti autisme dan masyarakat.

Malah katanya, penganjuran gala itu juga diharap dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada masyarakat agar lebih prihatin.

"Universiti Malaya sentiasa berusaha terlibat dalam aktiviti akademik dan kemasyarakatan dan gala bersama anak-anak autisme ini dapat memberi peluang kepada graduan mengambil berat dan menyayangi komuniti ini," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain