suria

Jangan malu dapatkan rawatan, ketahui 4 tahap buasir jika terus dibiarkan

Masalah buasir tidak boleh diambil mudah.

MASALAH buasir atau hemoroid sering terjadi disebabkan berlakunya pengembangan pembuluh darah pada bahagian dubur yang menyebabkan rasa sakit dan tidak selesa.

Ada sesetengah orang yang mengalami buasir lebih suka mendiamkan diri dan menahan sakit kerana berasa malu mendapat penyakit tesebut sehingga enggan mendapatkan rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba minum 4 gelas air putih sebaik bangun tidur, rasai 5 manfaat pada tubuh anda

Namun apakah yang akan berlaku sekiranya buasir dibiarkan melarat dan tidak dirawat?

Pesakit biasanya akan berasa tidak selesa apabila bonjolan pada dubur semakin besar sehingga menyebabkan rasa sakit terutamanya ketika membuang air besar.

Terdapat empat tahap buasir yang setiapnya menyebabkan rasa sakit berbeza-beza, iaitu;



Pendarahan ketika membuang air besar adalah tanda anda terkena buasir.

Tahap 1: Berlaku pendarahan dan keluar darah ketika membuang air besar.

Tahap 2: Bonjolan besar mula mengembang ketika membuang air besar atau ketika duduk tetapi ia boleh masuk kembali ke dalam dubur dengan sendirinya.

Tahap 3: Bonjolan yang mengembang tidak mampu menguncup dengan sendiri dan perlu menggunakan tangan untuk menolaknya masuk.

Tahap 4: Bonjolan tidak dapat dimasukkan. Pada tahap ini, pesakit mula tidak dapat menahan kesakitan dan perlu rawatan di hospital.

Pada tahap ini juga, bonjolan itu sakit dan gatal sehingga menyukarkan pesakit untuk duduk atau melakukan aktiviti lain.

Bagi kes yang tidak parah, pesakit boleh mengamalkan pengambilan makanan berserat, minum lebih banyak air atau merendam kawasan dubur dengan air suam.

Pembedahan perlu dilakukan sekiranya semua usaha itu gagal dan pesakit boleh kembali melakukan aktiviti secara normal dalam tempoh enam ke lapan minggu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain