suria

Sambutan Deepavali musim Covid-19 keluarga besar ini tetap meriah, berbeza dengan 30 tahun lalu - “Sangat menggembirakan, akhirnya kami ada rumah sendiri”

Mathavi dan Krisnan bersama keluarga pada sambutan Deepavali di kediaman mereka. - AZMAN GHANI/The Star

SAMBUTAN perayaan Deepavali kali ini mungkin berbeza berbanding tahun sebelumnya namun bagi pasangan suami isteri, Mathavi Mahamani dan Krisnan Suppiah mereka sekeluarga ada sebab untuk berasa gembira.

Tahun ini, pasangan itu bersama tujuh ahli keluarga yang lain pertama kali meraikan Pesta Cahaya itu di rumah baharu terletak di Shah Alam selepas 30 tahun menyewa di Petaling Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbaloi usaha si ibu... Impian budak 7 tahun jadi kenyataan! Menangis, terkejut trak aiskrim biru muncul depan rumah sempena hari lahir

"Selepas 30 tahun menyewa di Kampung Sungai Kayu Ara, daripada sewa hanya RM250 hingga mencecah RM1,000 - sangat menggembirakan apabila akhirnya kami mempunyai rumah sendiri," kata Krisnan yang juga seorang pesara.

Cerita Krisnan, 60, sebelum ini dia terpaksa menangguhkan hasrat memiliki rumah sendiri kerana semua anaknya masih belajar.



Dua anak perempuan pasangan ini menghasilkan Kolam di hadapan rumah.

"Sekarang tiga daripada mereka sudah bekerja manakala paling bongsu sedang menuntut di universiti... jadi mereka turut membantu dari segi kewangan," kata bekas pemandu lori itu.

Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia 27 dan 19 tahun serta dua anak lelaki masing-masing berumur 23 dan 24 tahun. Ibu Mathavi yang kini berusia 74 tahun turut tinggal bersama mereka.

Sementara itu, Mathavi, 52, yang pernah bekerja sebagai tukang cuci selama 35 tahun memberitahu mereka tidak dapat meraikan Deepavali tahun lalu kerana sibuk membuat persiapan rumah baharu selain perlu berjimat.

Bagaimanapun tahun ini, seperti kebanyakan penganut Hindu yang lain, keluarganya turut tidak ketinggalan membuat Kolam di hadapan rumah mereka.

"Biasanya ia dihasilkan di pintu masuk rumah dan kami percaya ia memberi kebahagiaan dan kesejahteraan pada keluarga. Kami gunakan beras berwarna dan tepung untuk menghasilkan Kolam.



Meskipun disambut secara sederhana namun Deepavali keluarga ini tetap meriah.

"Rekaannya pula dibuat pelbagai bentuk. Paling penting ia memberikan keceriaan dan warna-warni kepada siapa sahaja yang melihatnya," katanya.

Memandangkan Lembah Klang kini sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Mathavi memberitahu dia tidak menerima sebarang tetamu pada perayaan kali ini.

Malah mereka sekeluarga juga hanya akan melakukan aktiviti sembahyang di rumah berbanding di kuil seperti mana kebiasaan sebelum ini.

Namun, Mathavi memberitahu, dia tetap memasak makanan kegemaran keluarganya seperti muruku dan biskut serta peratal kambing dan ayam varuval yang dipadankan dengan nasi briyani.

Meskipun menyambut Deepavali dalam suasana sederhana, Mathavi memberitahu dia sekeluarga bersyukur kerana masih dapat bersama- sama meraikan perayaan itu dan masih mampu menyediakan juadah dan baju baharu.

"Seperti mana kita tahu, ramai yang terkesan dengan pandemik ini sehingga ada dibuang kerja dan mengalami masalah kewangan. Itu membuatkan kami bersyukur dengan apa kami ada sekarang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain