suria

Kulit jadi macam ayam dan gusi sering berdarah... ketahui 5 tanda anda kurang vitamin C

Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan tanpa disedari.

VITAMIN C sangat penting untuk tubuh manusia dan perlu diambil secara teratur bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

Ia sebenarnya termasuk dalam golongan vitamin yang larut dalam air. Berbeza dengan vitamin yang larut dalam lemak, vitamin C tidak disimpan di dalam tubuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai semakin taksub telan vitamin C, tapi selamatkah jika diambil berlebihan?

Disebabkan tubuh manusia tidak menyimpan atau menghasilkan vitamin C secara semula jadi, maka penting bagi kita untuk mendapatkan vitamin itu melalui makanan serta suplemen.

Berikut adalah beberapa tanda dan gejala kekurangan vitamin C yang perlu diperhatikan.



Tanda paling jelas adalah kulit boleh menjadi kasar dan kusam akibat kekurangan vitamin C.

1. Kulit menjadi kasar

Vitamin C memainkan peranan dalam menghasilkan kolagen, protein yang menyerap pada kulit, rambut, sendi, tulang dan pembuluh darah.

Atas sebab itu, sekiranya tubuh seseorang kekurangan vitamin C, keadaan kulit yang dikenali sebagai keratosis pilaris akan terjadi.

Untuk mengenali keadaan ini, kulit akan terlihat seperti kulit ayam yang mengelembung - muncul bonjolan kecil seperti jerawat pada bahagian atas lengan dan peha kerana pembentukan protein keratin di dalam pori-pori.

2. Bintik merah pada kulit

Folikel rambut pada permukaan kulit mengandungi banyak pembuluh darah kecil dan ketika tubuh kekurangan vitamin C, pembuluh darah kecil ini boleh menjadi rapuh dan mudah pecah sehinggakan menyebabkan bintik-bintik kecil berwarna merah muncul di sekitarnya.

Keadaan ini dikenali sebagai pendarahan perifollicular. Pengambilan vitamin C selama dua minggu dapat mengatasi masalah ini.

3. Luka lambat sembuh

Kekurangan vitamin C dapat melambatkan pembentukan kolagen dan ia boleh menyebabkan luka pada tubuh lambat sembuh.

Dalam kes tertentu, luka bukan sahaja lambat sembuh tetapi ia boleh menjadi lebih parah dan meningkatkan risiko jangkitan kuman.



Buah-buahan adalah sumber vitamin C paling baik.

4. Sakit sendi

Sendi manusia mempunyai banyak jaringan yang kaya dengan kolagen dan fungsinya boleh terganggu disebabkan kekurangan vitamin C sehingga menyebabkan ia mudah sakit.

5. Gusi berdarah dan gigi tercabut

Gusi merah, bengkak dan berdarah adalah tanda lain disebabkan kekurangan vitamin C. Tanpa vitamin C yang cukup, jaringan pada gusi menjadi lemah dan boleh menyebabkan keradangan pembuluh darah sehingga menyebabkan gusi mudah berdarah.

Pada tahap kekurangan vitamin C yang teruk, gusi boleh berubah warna kehitaman dan berbau busuk. Ia boleh menyebabkan gigi mudah tercabut kerana gusi yang tidak sihat sehingga memberi kesan kepada lapisan dalam gigi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain