SETIAP kali masuk bulan Ramadan, terdapat peningkatan bilangan mereka yang menghadapi masalah pencernaan disebabkan paras asid yang tinggi dalam perut kosong. Ini termasuk bagi mereka yang memang mempunyai masalah pencernaan sedia ada seperti gastritis yang perlu lebih berhati-hati agar ia tidak bertambah buruk. Pakar perunding perubatan dan gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Ahmad Najib Azmi berkata, masalah yang sering dirawat sepanjang Ramadan bukan sahaja gastritis tetapi penyakit refluks gastroesofagus (GERD), ulser gaster dan gastroenteritis yang teruk.ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab kenapa kita tak digalakkan tidur selepas sahur... jom ambil tahu! Kata Dr Ahmad Najib, antara tanda-tanda yang biasa ialah sakit perut, rasa tidak selesa selepas makan, masalah pencernaan, kembung, sendawa, cirit-birit dan flatulens. "Individu menghidap gastritis selalunya akan merasa sakit yang mencucuk-cucuk pada bahagian perut dan rasa sakit akan bertambah teruk apabila makan. Manakala mereka yang menghadapi masalah GERD akan merasa tidak selesa pada bahagian abdomen atau mengalami pedih hulu hati dan rasa masam pada bahagian anak tekak, ” katanya. Gastrik adalah masalah biasa yang berlaku ketika seseorang itu berpuasa. Beliau berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit warga emas yang mengalami masalah najis berdarah. Walaupun mengalami sakit perut, pesakit berkeras untuk meneruskan puasa. Hal ini katanya menyebabkan keadaan menjadi bertambah teruk dan membawa kepada ulser gaster yang berdarah. Pesakit terpaksa berhenti berpuasa selama beberapa minggu. Oleh yang demikian kata Dr Ahmad Najib, penting untuk membuat penyesuaian yang perlu dalam cara anda berpuasa bagi memastikan ibadat anda dapat dilaksanakan dengan sihat dan selamat. Faktor risiko penyakit pencernaan Selain daripada puasa, pakar gastroenterelogi ini turut menyenaraikan beberapa faktor risiko masalah pencernaan: Diet dan amalan pemakanan anda Sesetengah ubat yang dimakan Sesetengah penahan sakit (yang biasa digunakan untuk merawat sakit sendi atau sakit kepala) Merokok Pengambilan alkohol Steroid (kadangkala bahan ini boleh menyebabkan ulser gaster) Kehadiran bakteria helicobacter pylori yang meningkatkan pengeluaran asid perut Masalah perubatan yang sedia ada (diabetes, hipertensi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang) Stres (berlaku apabila otak menghantar isyarat tidak langsung kepada perut untuk menambah pengeluaran asid) Dr Ahmad Najib Azmi memberitahu masalah pencernaan ketika Ramadan boleh dielakkan dengan pengambilan makanan seimbang ketika bersahur dan berbuka. Penyesuaian untuk puasa Pertama sekali menurut Dr Ahmad Najib, pesakit perlu minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari. Langkah ini sangat penting disebabkan sesetengah orang mungkin mengalami cirit birit semasa berpuasa. Ini boleh menyebabkan penyahhidratan yang teruk dan membawa kepada kegagalan buah pinggang. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Bagaimanapun, jangan minum secara terburu-buru. Meneguk jumlah air yang banyak sebenarnya boleh menyebabkan perut kembung dan pedih hulu hati. “Pendekkan tempoh puasa anda dengan melambatkan sahur dan bersegera semasa berbuka. "Anda juga perlu mengelakkan daripada makan secara berlebihan. Semasa berbuka, mulakan dengan makan sedikit demi sedikit. Mengisi perut yang kosong secara tiba-tiba kadang-kadang boleh menyebabkan refluks asid. Kunyah makanan anda perlahan-lahan dan lebih lama lagi untuk memudahkan pencernaan," ujarnya. Dr Ahmad Najib berkata, mereka dengan masalah pencernaan perlu mengelak daripada berbaring dalam masa tiga jam selepas memakan hidangan yang berat kerana ini boleh menyebabkan pedih hulu hati dan loya. Ini bermakna jangan tidur selepas sahur. Jika perlu berbaring, tinggikan bahagian kepala. Langkah ini boleh menghalang refluks asid. "Selain itu, jangan memakai tali pinggang yang ketat. Ini disebabkan tekanan pada bahagian abdomen boleh memaksa makanan dan asid keluar melalui saluran esofagus," jelasnya. Makanan dan minuman yang sesuai Untuk sahur: Segelas susu Karbohidrat (nasi, mi dan roti) Bijirin sempurna (barli, beras perang dan gandum kuda) Kekacang Buah-buahan dan sayur-sayuran (kandungan serat yang tinggi dan membuat anda merasa kenyang sepanjang hari) Untuk iftar: Makanan dengan gula yang cepat dilepaskan seperti kurma (untuk pesakit diabetes, sila tanya doktor anda) Buah-buahan dan sayur-sayuran Karbohidrat Protein (daging merah dan putih) Elakkan: Makanan yang sangat pedas Kari Makanan bergoreng Makanan tinggi keasidan (makanan yang diproses, keju, makanan laut dan banyak lagi) Minuman berkafeina (kopi, teh dan coklat) Minuman berkarbonat Minuman yang mengandungi asid sitrik (jus lemon, jus limau dan banyak lagi) GERD salah satu masalah biasa berlaku ketika Ramadan. Dalam pada itu, Dr Ahmad Najib Azmi turut memberi amaran bahawa kes cirit-birit yang meningkat juga mungkin disebabkan oleh tahap kebersihan yang rendah di sesetengah gerai makanan – sebab itulah pengguna perlu lebih arif tentang gerai yang mereka kunjungi terutama di bazar. Utamakan kesihatan anda Mereka yang mempunyai masalah pencernaan yang sedia ada perlu belajar daripada pengalaman yang lalu dan mengambil ubat gastrik mereka terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan, kata Dr Ahmad Najib Azmi. Kesan daripada kebanyakan ubat-ubat ini boleh berlarutan sehingga sepanjang hari. Keadaan mungkin menjadi sukar jika pedih hulu hati dialami pada waktu siang. Sekiranya mereka memilih untuk memakan ubat semasa berbuka sahaja, pesakit disarankan untuk untuk minum dan memakan ubat dan menunaikan solat terlebih dahulu. Selepas setengah jam, barulah mereka boleh makan. Walaupun ubat gastrik lebih berkesan sekiranya diambil sebelum makan, anda juga boleh memilih untuk berbuka puasa terlebih dahulu kemudian tunggu selama tiga jam sebelum mengambil ubat anda. Bagaimanapun, jika rasa sakit tidak dapat ditanggung, Dr Ahmad Najib Azmi menasihatkan supaya pesakit berbuka puasa untuk mengambil antasid bagi menghilangkan rasa sakit. Sekiranya rawatan perubatan diperlukan dan gastroskopi atau kolonoskopi diperlukan, prosedur ini akan membatalkan puasa. Lebih penting lagi, mereka yang mempunyai keadaan perubatan lain seperti diabetes dan darah tinggi perlu berunding dengan doktor mereka mengenai jadual ubat mereka kerana mereka yang menghidap diabetes mungkin berisiko menjadi hipoglikemik. Ingat juga bahawa anda perlu mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya terdapat penurunan berat badan yang ketara; kulit pucat dan najis kehitaman kerana ini bermakna darah di dalam najis anda. “Seseorang itu tidak diwajibkan berpuasa atas sebab-sebab perubatan atau agama. Oleh itu tidak wajar untuk mereka memaksa diri untuk berpuasa," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!