GEJALA selepas dijangkiti Covid-19 atau 'long covid' boleh terjadi kepada bekas pesakit selama berminggu-minggu atau berbulan lamanya. Long covid dapat membuatkan bekas pesakit virus itu masih mengalami beberapa gejala meskipun ujian calitan menunjukkan mereka bebas daripada Covid-19.ARTIKEL BERKAITAN: Makan durian selepas suntik vaksin bahaya, ada kesan sampingan... mengarut atau betul? Proses pemulihan daripada wabak itu kebiasaannya mengambil masa di antara 14 ke 21 hari namun jika seseorang itu terus menunjukkan gejala selama lebih daripada lima minggu, maka itu adalah tanda seseorang itu mengalami long covid. Meskipun masih belum ada hubungan konklusif mengenai apa yang membuatkan mereka mengalami long covid, namun ia biasanya berlaku kepada pesakit yang pernah mengalami gejala sederhana dan teruk. Menerusi beberapa kajian, risiko long covid lebih tinggi terjadi kepada golongan wanita, individu dengan masalah obesiti serta golongan warga emas. Individu dengan long covid biasanya lebih cenderung mengalami gejala kronik dan berpanjangan tetapi berbeza-beza bagi setiap pesakit. Tempoh long covid bergantung kepada individu. Ada yang selama berminggu-minggu dan ada pula sehingga setahun! Bagaimanapun, kebanyakan gejala long covid ini terjadi berkaitan dengan keadaan sedia ada pesakit. Antara gejala biasa long covid adalah gangguan pernafasan termasuk batuk berpanjangan, penurunan kadar oksigen dalam darah dan sesak nafas melebihi tiga bulan. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Selain itu, long covid juga dapat memicu pelbagai kesan sampingan yang dapat menyebabkan masalah dalam jangka masa panjang seperti kerosakan paru-paru, gangguan tidur, masalah ingatan, gangguan kesihatan mental dan sistem kekebalan tubuh menjadi lemah. Memandangkan gejala long covid dapat mempengaruhi tubuh dengan cara berbeza-beza, tiada satu rawatan khusus dapat membantu pesakit. Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan mengubah gaya hidup seperti lebih banyak berehat, bersenam, pemakanan dan sebagainya. Individu dengan long covid juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membantu mengelola gejala dengan lebih baik. Sementara itu, vaksin Covid-19 telah terbukti efektif menurunkan tahap keseriusan dan kadar kematian pesakit yang dijangkiti Covid-19. Bagaimanapun masih belum jelas sama ada vaksin dapat membantu meredakan gejala long covid atau memulihkan keadaan pesakit. Namun, sebuah kajian klinikal di United Kingdom yang dilakukan terhadap 800 koresponden mendapati sebanyak 19 peratus daripadanya menunjukkan penurunan gejala long covid selepas mendapatkan dos suntikan vaksin pertama. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!