SIAPA yang tidak sedih apabila berlaku kematian, harta pusaka si mati dibekukan sehingga memberi kesan kepada waris atau ahli keluarga. Lebih memilukan apabila banyak komitmen, tanggungan dan hutang yang perlu dijelaskan waris ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kisah perebutan harta antara keluarga juga sering kali berlaku, malah senario itu turut berlaku dalam kalangan waris selebriti yang telah meninggal dunia. Media sebelum ini melaporkan sehingga kini terdapat hampir RM70 bilion nilai harta pusaka majoritinya milik orang Melayu di negara, ini tidak dituntut sejak negara merdeka. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan berlengah... RM70 bilion harta pusaka tak dituntut, uruslah ketika masih hidup! Sehubungan itu, perlindungan harta perlu dilakukan melalui hibah yang merupakan satu instrumen perancangan pengagihan atau pemberian harta yang sah. Setiap individu yang mula bekerja akan mula menyimpan harta contohnya simpanan atau pelaburan untuk masa depan, dan mereka mula membeli rumah dan kereta untuk keselesaan. Pembelian harta ini dibuat apabila seseorang itu mula bekerja dan mempunyai pendapatan. Kesedaran masih rendah Pakar kewangan dan takaful, Siti Nurbaya Ahmad Shadzli berkata, perlindungan harta melalui hibah bermaksud seseorang itu menyediakan atau menghadiahkan sejumlah wang pampasan atau hibah kepada waris untuk menguruskan harta yang dimiliki. "Ini kerana apabila berlaku kematian, harta yang dimiliki akan dibekukan dan memerlukan sejumlah wang untuk cairkan semula harta tersebut," katanya kepada mStar. Siti Nurbaya Ahmad Shadzli. Siti Nurbaya bagaimanapun mengakui tahap kesedaran masyarakat di Malaysia masih rendah untuk melindungi harta mereka. "Malahan, masih ramai yang tiada perancangan jangka panjang untuk wariskan harta melalui hibah," katanya. Apakah isu atau konflik yang boleh berlaku? Jika masyarakat di Malaysia tiada kesedaran untuk melindungi harta mereka, kata Siti Nurbaya, banyak isu dan permasalahan bakal berlaku bila terjadinya kematian antaranya ialah: 1. Harta akan dibekukan di mana semua simpanan si mati tidak boleh dikeluarkan sehingga urusan pembahagian harta atau faraid selesai. 2. Harta seperti rumah dan kereta menjadi harta pusaka (ada hak milik waris faraid) di mana proses pembahagian harta kepada waris mengambil masa yang lama. 3. Waris iaitu balu dan anak melalui kesempitan hidup dan perlu mendapatkan wang ihsan untuk meneruskan kehidupan kerana wang simpanan suami dibekukan. 4. Berlakunya harta tidak dituntut sehingga RM70 billion. Pakar kewangan itu turut menjadikan konflik yang berlaku dalam masyarakat seperti pergaduhan antara keluarga kerana tiada kefahaman jelas pembahagian harta sebagai contoh. 5. Antara lain, pergaduhan dingin antara mentua dan menantu, waris jatuh miskin dan menghadapi kesulitan kewangan kerana tidak dapat mewarisi harta yang ditinggalkan. "Kesimpulannya, kekayaan yang dikumpulkan semasa hidup tiada manfaat kepada yang tersayang sekiranya tiada pelan perlindungan harta melalui hibah disediakan semasa hidup," kata Siti Nurbaya. Kebaikan dan kelebihan Siti Nurbaya berkata, kelebihan menyediakan pelan perlindungan harta melalui hibah adalah waris dapat menguruskan harta yang ditingggalkan dan dapat melangsaikan hutang yang perlu dibayar. Pengurusan harta pusaka Islam adalah dengan melaksanakan wasiat semasa hayatnya. Malahan katanya, waris seperti balu yang tidak bekerja dan anak-anak yang masih kecil dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan wang hibah yang ditinggalkan. "Selain itu, wang pampasan hibah dapat membantu waris untuk menguruskan harta yang ditinggalkan," katanya. Persediaan waris Menurut Siti Nurbaya, waris seharusnya membuat persediaan dan seharusnya merancang harta yang dimiliki dengan mendapatkan pelan perlindungan kewangan iaitu hibah. "Ini kerana sekiranya suami atau isteri meninggal dunia, wang hibah dapat digunakan untuk menguruskan harta yang ditinggalkan dan membayar baki hutang yang masih ada," ujarnya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya melakukan perlindungan hartanah melalui hibah dengan memulakan perancangan awal. "Mulakan perancangan awal dengan mewariskan harta mereka kepada orang tersayang, berjumpa dengan perunding takaful untuk mendapatkan penerangan lanjut berkenaan pelan perlindungan harta melalui hibah," katanya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!