suria

Percubaan global... ribuan pesakit di 52 negara uji 3 ubat baharu merawat Covid-19

WHO sedang membuat kajian antarabangsa terhadap tiga jenis ubat.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan tiga jenis ubat bakal menjalani percubaan antarabangsa dalam usaha mengetahui sama ada ia dapat memperbaiki keadaan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital.

Tiga jenis ubat itu - Artesunate, imatinib dan infliximab akan diuji pada ribuan pesakit sukarela di lebih daripada 600 hospital di 52 negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dijangkiti Covid-19... Ketahui perbezaan antara individu belum dan sudah divaksin

"Mencari terapi yang lebih berkesan dan mudah diakses untuk pesakit Covid-19 tetap menjadi keutamaan ketika ini," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Artesunate adalah rawatan untuk malaria; Imatinib, ubat yang digunakan untuk kanser tertentu; dan Infliximab adalah rawatan untuk gangguan sistem imun seperti penyakit Crohn serta artritis reumatoid.

Tedros memberitahu penyelidikan yang diselaraskan di puluhan negara itu membolehkan percubaan untuk menilai pelbagai rawatan menggunakan satu protokol selain menentukan anggaran mengenai kesan yang mungkin ada pada kematian termasuk kesan sampingan secara sederhana.

Covid

WHO sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik terhadap Covid-19.

Ubat-ubatan tersebut dipilih oleh panel pakar bebas yang berpotensi dalam mengurangkan risiko kematian pada pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.

Kesemua ubat-ubatan percubaan itu akan disumbangkan oleh pengilang dan sudah pun dihantar ke hospital yang terlibat.

Ujian terhadap Artesunate, imatinib dan infliximab pada pesakit Covid-19 adalah tahap kedua dalam solidariti WHO untuk mendapatkan rawatan berkesan terhadap penyakit membunuh itu.

Sebelum ini, empat ubat dinilai dalam percubaan solidariti itu yang melibatkan hampir 13,000 pesakit di 500 buah hospital di 30 buah negara.

Hasil sementara yang dikeluarkan pada Oktober tahun lalu menunjukkan bahawa Remdesivir, Hydroxychloroquine, Lopinavir dan Interferon mempunyai sedikit atau tidak mempunyai kesan pada pesakit yang dirawat di hospital disebabkan Covid-19.

Keputusan muktamad mengenainya dijangka diumumkan pada September ini.

Pesakit

Setakat ini, Covid-19 telah mengorbankan 4.3 juta nyawa di seluruh dunia.

Kumpulan Penasihat Terapi WHO Covid-19 mengesyorkan menilai sifat anti-keradangan Artesunate, yang telah digunakan secara meluas dalam rawatan penyakit malaria dan penyakit parasit lain selama lebih dari 30 tahun, dan dianggap sangat selamat.

Percubaan klinikal secara rawak di Belanda melaporkan bahawa Imatinib, perencat tirosin kinase molekul kecil, mungkin memberikan manfaat klinikal pada pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.

Sementara itu, Infliximab telah menunjukkan keberkesanan dan keselamatan yang baik dalam menyekat keradangan spektrum luas, termasuk dalam kalangan warga emas yang paling rentan secara klinikal terhadap Covid-19.

Koronavirus telah membunuh sekurang-kurangnya 4.3 juta orang sejak wabak itu muncul di China pada bulan Disember 2019, menurut sejumlah sumber rasmi yang disusun oleh AFP.

Hampir 204 juta kes di seluruh dunia telah didaftarkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain