suria

4 sahabat kumpul duit bantu mangsa banjir, tak sangka usaha kecil tiba-tiba jadi perhatian

Empat orang sahabat ini memilih badan amal kebajikan ADAB Youth Garage di Bandar Baru Bangi, Selangor yang berdekatan dengan rumah untuk agihan bantuan mereka.

BENCANA banjir yang melanda beberapa buah negeri ekoran hujan lebat sejak Sabtu lalu telah menyebabkan puluhan ribu rakyat kehilangan tempat tinggal disebabkan banjir telah menenggelamkan kediaman mereka.

Air yang naik dengan begitu pantas telah menyebabkan segala harta benda seperti kenderaan, perabot dan keperluan asas lain musnah dan tidak dapat diselamatkan.

Pusat pemindahan sementara (PPS) kini menjadi tempat berteduh bagi mangsa-mangsa dan mengharapkan ihsan dan bantuan orang ramai untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh sukar ketika ini.

Terkesan dengan nasib yang menimpa mangsa ketika ini, empat sahabat yang menetap di Selangor terpanggil untuk membantu golongan ditimpa musibah ini.

Salah seorang wakil yang hanya mahu dikenali sebagai Maisarah berkata, hatinya luluh apabila melihat gambar dan video mangsa banjir yang meminta tolong diselamatkan sehingga terpanggil untuk menghulurkan bantuan kecil.

"Rasa sedih sangat tengok semua mangsa tapi tak dapat nak tolong mereka. Nak sertai jadi sukarelawan, kami tidak pandai berenang. Apatah lagi kekangan masa dan faktor bekerja menyukarkan niat untuk menghulurkan bantuan.



Proses membeli barang bantuan di kedai runcit berdekatan di kawasan Bangi.

"Tetapi saya fikir itu bukanlah alasan untuk tidak membantu sebaliknya masih ada cara lain yang boleh kami lakukan untuk membantu mangsa," katanya.

Idea untuk mengumpulkan dana tercetus apabila dia bersama rakan-rakannya yang lain berbual dan berbincang mengenai kejadian banjir dalam group WhatsApp sebelum timbul idea menderma kepada pihak memerlukan.

Pada awalnya kata Maisarah, mereka hanya mahu terus mendepositkan wang yang dikumpul kepada badan amal di laman sosial tetapi berasa gusar sekiranya bantuan itu tidak sampai terus kepada mangsa banjir.



Bantuan yang dihulurkan kepada badan amal tersebut berbentuk makanan kering, peralatan mandian dan air minuman.

"Sekarang ini terlalu banyak orang kongsi mengenai badan amal sehingga tidak tahu yang mana satu betul atau scam. Timbul rasa bimbang sekiranya bantuan diberikan tidak sampai terus kepada mangsa," katanya.

Atas sebab itu mereka mengambil inisiatif menghubungi badan amal kebajikan ADAB Youth Garage di Bandar Baru Bangi, Selangor dan bertanya mengenai keperluan diperlukan oleh mangsa.

"Kebetulan badan amal yang dijadikan tempat pengumpulan barang itu tidak jauh daripada tempat tinggal kami dan mudah untuk menghantar barangan yang dibeli.

"Antara barangan keperluan yang dibeli adalah makanan, barangan mandian, tuala wanita dan air botol minuman," ujarnya.



ADAB Young Garage merupakan badan amal yang dijadikan pusat pengumpulan barangan agihan banjir berada di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Bagaimanapun kata Maisarah dia tidak menyangka usaha kecil bersama rakan-rakannya itu tiba-tiba mendapat perhatian daripada pengikutnya di laman sosial apabila dia memuat naik beberapa gambar dan video bantuan di Instastory.

Meskipun tidak membuka sebarang tabung kutipan atau berkongsi sebarang nombor akaun peribadi namun ramai yang menghubunginya untuk turut sama menyumbang kepada tujuan itu.

"Sebenarnya bukan tidak mahu membuat kutipan secara besar-besaran tetapi bimbang sekiranya amanah diberikan tidak mampu ditanggung apatah lagi kami hanya bergerak dalam kumpulan kecil dan sumbang dilakukan berbentuk peribadi.

"Menghantar barangan bantuan pun kami hanya guna Proton Saga jadi agak terhad untuk mengangkut barang dengan jumlah yang banyak," jelasnya.

Disebabkan semakin ramai ingin menghulurkan bantuan, Maisarah berkata, mereka sekali lagi membeli barang-barang keperluan mangsa dan menghantarnya ke badan amal sama untuk diserahkan kepada golongan memerlukan.

"Alhamdulillah walaupun tak banyak kami dapat beli tetapi lega dapat membantu setakat kami mampu.

"Apa yang kami bayangkan kalau kami sendiri berada di tempat mereka dan tiada pertolongan yang sampai. Mungkin hari ini mereka perlukan bantuan, entah esok lusa tiba hari kami pula," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain