MUSIM tengkujuh biasanya akan berlaku pada September sehingga Februari setiap tahun dan ia kebiasaannya boleh menyebabkan banjir di beberapa negeri. Hujan lebat berpanjangan seperti mana berlaku baru-baru ini memberi impak besar termasuklah kemusnahan harta benda, banjir besar sehingga menenggelamkan kediaman, menghanyutkan barang-barang dan paling tragis turut meragut nyawa.ARTIKEL BERKAITAN: Jangan panik! Ini perkara yang harus dan tak patut dilakukan untuk selamatkan kereta sangkut dalam banjir Risiko kematian boleh berlaku jika kedudukan rumah di kawasan rendah dan berhampiran sungai - Ini jelas terbukti arus sungai boleh bertukar-tukar arah disamping menghanyutkan sampah sarap, sisa najis yang mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak semasa dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), leptospirosis, cirit-birit, disentri, hepatitis A, taun, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit dan sebagainya. Berikut adalah empat jenis penyakit berjangkit yang mudah tersebar ketika musim banjir. 1. Penyakit Bawaan Air dan Makanan Penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan berbahaya. Kejadian penyakit ini sentiasa dipantau dan dikawal oleh pihak Jabatan Kesihatan. 2. Penyakit Leptospirosis Penyakit Leptospirosis adalah disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya. Penyakit ini boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang telah tercemar dengan air kencing haiwan yang telah terjangkiti dengan bakteria ini. Antara tanda-tanda penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman. 3. Penyakit Konjunktivitis Konjunktivitis atau sakit mata juga merupakan penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Penyakit ini mudah merebak dengan cepat dari seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang mengalami sakit mata. Penyakit yang disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan ini merupakan radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya. 4. Demam Denggi Selepas banjir surut, banyak kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut semasa banjir. Bekas-bekas ini perlulah dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes ini. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI