BAH besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia sememangnya cukup memberi impak besar dan meninggalkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsa banjir. Sebilangan besar masyarakat berpendapat banjir mungkin akan berlaku tapi tidak seteruk mana ekoran hujan lebat pada minggu 18 dan 19 Disember lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan main air banjir... Ketahui 4 penyakit berjangkit yang mudah tersebar! ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian mangsa banjir... ada perkara perlu diberi perhatian ketika bersihkan rumah Akan tetapi, siapa sangka boleh berlaku banjir besar sehingga memusnahkan harta benda, menenggelamkan rumah penduduk sekaligus menghanyutkan barangan dan sampah sarap. Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Muhamad Yazli Yuhana. Banjir juga boleh meragut nyawa manusia kerana arus deras yang sukar dielakkan terutama golongan kanak-kanak dan warga emas. Lebih-lebih lagi jika air bah membawa kayu yang patah dan tajam begitu juga dengan besi dan lain-lain.Tidak hanya membahayakan nyawa, banjir juga boleh membawa pelbagai penyakit disebabkan air banjir tercemar dengan sampah sarap, bangkai haiwan, sisa kumbahan dan sebagainya. Menurut Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Muhamad Yazli Yuhana, beberapa jenis penyakit berjangkit mudah merebak sewaktu dan selepas banjir termasuklah demam kepialu, kencing tikus dan sebagainya.Berikut adalah beberapa jenis penyakit yang mudah tersebar akibat air banjir tercemar. 1. Kencing tikus atau leptospirosis Penyakit ini disebabkan kencing tikus yang boleh merebak melalui aliran air banjir. Dikenali sebagai penyakit sindrom weil, demam canicola ataupun demam ladang tebu, ia merupakan penyakit berjangkit berpunca daripada bakteria spirochaeta dalam genus leptospira yang menjejaskan manusia dan sejumlah besar haiwan. 2. Melioidosis Sejenis penyakit yang diakibatkan oleh kuman bawah tanah. Apabila terjadinya banjir, tanah akan mula tercemar malah mengeluarkan kuman Melioidosis.Sehinggakan bila sesiapa terminum air banjir yang sudah dicemari, seseorang itu berisiko tinggi untuk dijangkiti. 3. Demam kepialu Ia disebabkan oleh pembuangan najis yang tidak terurus seperti membuang najis di dalam air, plastik, di tempat tinggi dan sebagainya. "Biasanya individu akan menunjukkan gejala awal yang dijangkiti penyakit akibat banjir yang terdedah kepada kuman-kuman bawaan banjir. "Gejala ini dapat dilihat melalui beberapa faktor yang biasanya berlaku seperti cirit-birit jika terdedah dengan air bah," kata Dr Yazli. Gejala awal dialami seseorang yang terkena penyakit berkaitan banjir adalah muntah. Menurut Dr Yazli, demam juga boleh berlaku antara dua ke tiga hari selepas berhadapan fenomena itu sekaligus berasa menggigil dan mengalami kesukaran untuk bernafas apabila terdedah kepada kuman leptospirosis atau meliodosis. Air banjir katanya turut menyebabkan individu itu mengalami sakit perut dan muntah-muntah. "Saya menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak mendedahkan diri kepada air banjir, sekiranya kawasan anda telah menerima amaran banjir dari pihak berkuasa, segeralah buat persediaan yang secukupnya. Dan jangan memandang remeh amaran yang diterima," ujarnya. Meskipun anda tidak dapat mengelakkan diri daripada musibah banjir yang melanda, Dr Yazli menasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan diri selepas ditimpa musibah banjir. Ini kerana, jika tidak melakukan pembersihan diri dan kawasan rumah sebelum dan selepas banjir, amat mudahlah untuk seseorang itu dijangkiti penyakit berbahaya seperti pernyataan diatas yang dikategorikan sebagai penyakit bawaan air banjir. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI