suria

Ketahui punca dan apa boleh anda lakukan untuk kurangkan sakit belakang ketika hamil

Dr Kamalnizat menjelaskan terdapat pelbagai sebab ibu mengandung mengalami sakit belakang.

SATU daripada dua wanita akan mengalami sakit belakang semasa hamil dan satu daripada empat pula akan mengalami sakit belakang selepas bersalin.

Pakar Orthopedik Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Kamalnizat Ibrahim berkata risiko untuk sakit belakang berkaitan dengan kehamilan akan meningkat sesuai dengan usia seseorang wanita serta bilangan kelahiran sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Eklampsia punca ke-4 kematian ibu selepas bersalin... ada sebab penyakit ini tidak boleh dipandang ringan!

Selain itu, beberapa faktor lain yang menyebabkan keadaan itu kata Dr Kamalnizat termasuklah berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai sejarah sakit belakang pada kehamilan sebelumnya.

"Mengangkat barang berat, membongkok dan sejarah sakit belakang juga meningkatkan risiko sakit pinggang semasa kehamilan," katanya.

Sementara itu, Dr Kamalnizat menjelaskan terdapat beberapa punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil, termasuklah;

Sakit Belakang 2

Usia dan bilangan kehamilan boleh menyumbang kepada masalah sakit belakang.

1. Perubahan hormon

Seawal trimester pertama, perubahan hormon mengendurkan ligamen yang menyokong tulang belakang dan pelvis. Walaupun pada minggu ke-10 atau ke-11 dan perut anda masih tidak kelihatan seperti sedang hamil, ligamen akan mula mengembang.

Semakin janin membesar, terdapat peralihan pada pusat graviti yang meningkatkan tekanan pada bahagian bawah tulang belakang ibu yang hamil.

2. Perubahan pusat graviti dan postur

Dalam kes lain, kehamilan boleh menjejaskan postur, menyebabkan sesetengahnya membulat pertengahan ke atas belakang ke hadapan, dipanggil kyphosis, kerana payudara membesar semasa kehamilan dan selepas bersalin, menghasilkan ketidakselesaan di bahagian tengah belakang dan/atau leher.

Pada masa yang sama, rahim yang mengembang menegangkan otot lantai perut dan pelvis. Namun begitu, sakit belakang semasa kehamilan akan hilang dalam tempoh enam hingga 12 minggu selepas kelahiran.

3. Penambahan Berat Badan

Penambahan berat badan, tanpa disedari akan mengganggu postur asal ketika menunduk dan membongkok. Berat badan yang berlebihan juga akan menyebabkan badan kepada otot dan tulang belakang yang akan mencetuskan ketidakselesaan.

4. Gangguan Emosi

Tekanan emosi juga boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan.

Dr Kamalnizat memberitahu, wanita yang mempunyai sejarah sakit belakang seperti “slipped disc”, “piriformis syndrome”, “coccydinia” dan “Sacroiliac Joint Dysfunction” akan mengalami masalah sakit belakang semasa mengandung.

Healthy lifestyle concept. Pregnancy Yoga and Fitness. Young pregnant yoga woman working out in living room interior. Pregnant fitness model lying in Prenatal Balasana, Child Pose after practice

Gerakan yoga dapat membantu mengurangkan sakit belakang.

Namun, perlu diingatkan bahawa masalah di atas boleh diatasi dan tidak bermakna wanita yang menghidap masalah-masalah kesihatan tersebut tidak boleh hamil.

Jelas Dr Kamalnizat lagi senaman ringan secara konsiten sangat membantu mengurangkan risiko terkena sakit belakang sekiranya seseorang itu merancang untuk hamil.

"Jika anda tidak bersenam sebelum hamil, tanya doktor anda jika anda boleh bersenam. Jika seseorang tidak berada pada tahap kesakitan yang tinggi dan mereka tidak terlibat dalam program senaman, saya akan menggalakkan mereka sekurang-kurangnya melakukan beberapa tahap senaman aerobik, walaupun ia hanya berjalan.

"Berenang atau bersenam di kolam mandi, berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20-30 minit sehari juga merupakan senaman yang digalakkan kerana dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang sepanjang tempoh kehamilan," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Dr Kamalnizat berkata setiap wanita hamil mempunyai risiko untuk mengalami sakit tulang belakang dan biasanya ia berlaku ketika kandungan memasuki usia lima ke tujuh bulan, atau lebih awal.

Seseorang itu juga mungkin boleh mempertimbangkan memakai tali pinggang sokongan bersalin meskipun penyelidikan tentang keberkesanannya masih terhad namun ada ibu mengandung mendapati ia membantu menguruskan kesakitan.

Sitting Priformis Stretch

Gerakan Sitting Priformis Stretch boleh membnatu.

Tidak hanya tertumpu kepada perkara itu, Dr Kamalnizat juga menyarankan pemakanan seimbang dan diet sangat membantu selain nasihat daripada pakar obstetrik-ginekologi untuk memastikan berat badan yang ideal sepanjang tempoh kehamilan.

Selain itu senaman dan regangan yang konsisten turut membantu mengurangkan sakit belakang dan wanita hamil boleh melakukan regangan mudah inspirasi daripada "Yoga Pose" seperti Child Pose Yoya, Seated Piriformis Stretch dan Standing Hamstring Stretch.

"Amalkan postur yang baik. Apabila bayi anda membesar, pusat graviti anda beralih ke hadapan. Untuk mengelakkan terjatuh ke hadapan, anda mungkin mengimbangi dengan bersandar ke belakang — yang boleh menegangkan otot di bahagian bawah belakang anda dan menyumbang kepada sakit belakang semasa kehamilan.

"Oleh itu, pastikan penjagaan postur yang baik. Amalkan postur dengan kaedah ergonomik ketika duduk atau berdiri untuk membantu meringankan beban pada pinggang.

"Tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan yang diletakkan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan juga disarankan ketika mengandung. Penggunaan “Maternity belt” dapat membantu dalam memberikan postur yang lebih baik," katanya.

Selain itu, Dr Kamalnizat turut menyarankan beberapa perkara untuk mengurangkan rasa sakit, termasuklah;

Maternity Belt

Meskipun tiada kajian khusus, maternity belt dapat membantu wanita hamil.

1. Pemakaian kasut sesuai

Pemilihan kasut sesuai sangat penting untuk menampung berat badan. Elakkan memakai kasut tumit tinggi kerana ia boleh menjejaskan lagi postur ketika hamil. Dapatkan kasut baharu jika saiz kasut anda berubah ketika hamil.

2. Elakkan tekanan

Sentiasa berkongsi masalah dengan orang tersayang dapat mengurangkan stres ketika hamil. Pengurusan stres ketika hamil juga mempunyai kelebihannya dari segi fizikal dan emosi. Urutan, meletakkan pad panas (hot pads) pada pinggang, dan melebihkan rehat juga merupakan kaedah yang ideal untuk mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang.

Secara amnya, sakit belakang ketika hamil bukanlah sesuatu yang sepatutnya dianggap normal. Ibu hamil perlulah berusaha untuk mencegah atau merawat masalah sakit belakang ketika hamil. Sekiranya anda mengamali masalah sakit belakang yang teruk lebih dari tempoh dua minggu, anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar untuk mengatasi masalah tersebut.

3. Penjagaan Pascakehamilan

Selepas kehamilan, wanita akan mengalami sakit belakang postpartum yang biasanya akan berkurangan selepas 6-12 minggu setelah melahirkan, namun ia boleh berterusan lebih lama.

Kurangkan aktiviti seperti berjalan, mengangkat, membongkok, atau mendukung bayi. Ibu yang baru melahirkan sebaliknya digalakkan berehat, selain melakukan senaman ringan.

Child Pose Yoga 2

Child Yoga pose.

Tip Pencegahan Sakit Belakang Pasca Kehamilan;

a. Lakukan senaman ringan setiap hari, terutamanya senaman yang boleh mengembalikan kekuatan otot otot abdomen dan belakang. Jika boleh, cuba dapatkan semula berat badan normal anda dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak.

b. Awasi cara anda menggerakkan badan dan postur badan anda. Untuk mengangkat bayi dari lantai, bengkokkan lutut dan bukannya pinggang anda, cangkung, tegangkan otot perut anda, dan angkat menggunakan otot kaki.

c. Amalkan cara menyusukan bayi yang betul. Kebanyakan ibu membongkok untuk menyusukan bayi. Cara ini tidak digalakkan. Ibu perlulah membawa bayi rapat ke dada, bukan membongkok ke arah bayi. Pastikan ibu duduk di kerusi yang selesa dan mempunyai sokongan yang baik. Bantal boleh diletakkan di belakang ibu dan di bawah ampuan tangan yang memegang bayi, untuk keselesaan.

"Para ibu baharu biasanya memperuntukkan masa, tenaga, dan perhatian mereka kepada bayi dan tidak memikirkan kesihatan mereka. Ini tidak seharusnya berlaki kerana jika anda gagal merawat simptom sakit belakang ia boleh menjurus kepada kesakitan kronik, selain menjejaskan kualiti hidup anda.

"Wanita digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi menangani simptom dan masalah yang dialami. Dengan mengatasi masalah sakit belakang selepas melahirkan anak, para ibu baharu boleh menjaga anak mereka dengan lebih efektif di samping menikmati pengalaman keibuan mereka dengan lebih bahagia," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain