suria

Selamat tinggal lemak! Granola... tip diet mudah dan berkesan

Granola mengandungi banyak nutrien penting yang diperlukan badan contohnya mikronutrien seperti zat besi, vitamin D dan zink.

GRANOLA biasanya menjadi pilihan yang tepat untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Rata-rata masyarakat menggunakan granola sebagai menu sarapan pagi - campuran kacang, oat dan buah-buahan menjadikannya menu sarapan yang sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Amalkan cara ini, anda mampu atasi penuaan... kata kuncinya jaga makan!

Dipetik dari laman Good To, granola mengandungi banyak nutrien penting yang diperlukan oleh badan. Contohnya, mikronutrien seperti zat besi, vitamin D dan zink. Granola juga mengandungi tahap vitamin B yang tinggi dan penting dalam pertumbuhan sel darah merah.

Selain itu, granola juga mempunyai antioksidan yang boleh melawan keradangan dan memberi perlindungan terhadap kerosakan sel.

Kebaikan granola untuk diet

Manfaat granola untuk diet itu sendiri diperoleh daripada gandum yang kaya dengan serat. Seperti yang diketahui, selain membantu mengekalkan sistem penghadaman, pengambilan serat juga boleh meningkatkan rasa kenyang yang menghalang anda daripada makan berlebihan.

"Makanan dengan kandungan serat yang tinggi seperti granola boleh membuatkan anda berasa kenyang lebih lama, bagus untuk mereka yang mengurangkan snek dan mengawal berat badan," kata pakar pemakanan, Mina Khan.

Bagaimanapun, jangan lupa untuk sentiasa memberi perhatian kepada label pembungkusan granola. Elakkan granola dengan kandungan gula yang tinggi dan lemak tepu, kerana ia boleh menyebabkan penambahan berat badan.

Secara amnya, anda akan dinasihatkan untuk mengambil 45-50 gram granola setiap hari atau bersamaan dengan 3 sudu besar. Gabungkan dengan makanan sihat lain seperti yogurt dan buah-buahan untuk menghasilkan bahagian nutrisi yang seimbang.

Cara makan granola untuk diet

Dipetik dari laman WikiHow, terdapat banyak cara penggunaan granola untuk diet, termasuk;

1. Jadikan sebagai snek

Kebiasaannya granola menjadi pilihan ramai untuk dikunyah sebagai snek.

Ia juga boleh dicampur dengan beberapa bahan sihat lain seperti kacang dan buah.

2. Campurkan dengan susu

Anda juga boleh mencampurkan granola dengan susu untuk sarapan pagi.

Isikan mangkuk dengan tiga sudu besar granola, kemudian tambahkan susu secukupnya - sarapan granola boleh dinikmati dengan segera!

3. Masak granola untuk sarapan

Hidangan ini hampir sama dengan yang di atas. Cumanya anda perlu memasaknya terlebih dahulu, caranya;

a) Didihkan 250 ml susu dalam periuk.

b) Masukkan 45 gram granola ke dalamnya.

c) Masak sehingga susu menyerap dan memekat dengan sendirinya - kacau sekali-sekala.

d) Hidangkan granola hangat dengan hirisan pisang, serbuk kayu manis, atau bahan-bahan lain yang sihat.

4. Jadikan topping yogurt

Menghidangkan yogurt dengan topping granola boleh menjadi pilihan makanan yang sihat, kerana terdapatnya protein dan serat granola.

Bagaimanapun, untuk adunan ini, anda disyorkan untuk menggunakan yogurt original tanpa perisa, caranya;

a) Tuangkan yogurt ke dalam mangkuk atau gelas.

b) Taburkan granola di atas yogurt.

c) Masukkan hirisan buah segar, madu atau serbuk koko.

5. Jadikan topping smoothie

Smoothie juga sering menjadi kesukaan ramai, dengan menggabungkan taburan granola untuk menjadikan ia lebih mengenyangkan.

Pelbagai resepi smoothie yang boleh digunakan, seperti;

a) Sediakan semangkuk smoothie (mengikut pilihan sendiri).

b) Taburkan granola di atas smoothie.

c) Tambah hirisan buah-buahan segar atau bahan-bahan lain yang sihat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain