suria

Jangan buat main urat bersimpul... percayalah sesi kaunseling boleh bantu anda

Vena varikos adalah masalah saluran darah yang biasanya boleh berlaku dibahagian kaki dan betis.

ANDA mungkin pernah melihat kaki seseorang yang uratnya seolah-olah berselirat dan bersimpul. Lebih menakutkan, simpulan urat itu berwarna kebiruan atau ungu gelap selain ia timbul.

Dalam istilah perubatan, keadaan ini dipanggil vena varikos atau dalam kalangan masyarakat ia lebih dikenali sebagai urat bersimpul iaitu penyakit pembuluh darah vena yang membengkak dan berbelit.

ARTIKEL BERKAITAN: Ego dan malu punca lelaki pendam masalah ‘dalam seluar’, pusat sehenti ini boleh bantu!

Pakar Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Sufian Adenan berkata, penyakit ini dikenali dengan keadaan vena yang membengkak, berbelit dan mudah disentuh.

Malah kata Dr Mohd Sufian, urat bersimpul ini bukan sahaja dapat dilihat dengan mata kasar tetapi juga boleh menyebabkan bengkak pada buku lali, sakit kaki ketika berjalan, otot mudah menjadi kejang, ulser pada kaki serta kulit buku lali berubah warna kehitaman.

"Masalah urat bersimpul ini biasanya berlaku pada bahagian kaki tetapi ia juga boleh terjadi pada bahagian badan lain.



Urat bersimpul berlaku akibat pemakaian kasut tumit tinggi terlalu kerap.

"Kebanyakan kes vena varikos dialami mereka yang berumur 50 tahun ke atas tetapi ia juga boleh berlaku pada individu berusia seawal 30 tahun disebabkan faktor keturunan," katanya.

Jelasnya lagi, masalah urat bersimpul ini lima kali ganda lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Dr Mohd Sudian berkata, faktor yang mungkin menjadi penyebab kepada penyakit ini kerana sejarah keturunan keluarga, kehamilan, obesiti, postur badan (bediri atau duduk terlalu lama), pengambilan pil perancangan keluarga bagi wanita dan pengambilan pil rawatan hormon.

"Gejala urat bersimpul ini biasanya pesakit akan mengalami lenguh dan sakit kaki, kegatalan, kaki menjadi bengkak, kekejangan otot kaki dan kerengsaan otot setempat.

"Dianggarkan tiga ke enam peratus pesakit vena varikos akan mengalami komplikasi ulser vena seumur hidup," katanya.



Ibu yang hamil juga berisiko tinggi mengalami vena varikos.

Komplikasi dan rawatan

Jelas Dr Mohd Sufian, komplikasi penyakit ini boleh berlaku sehingga tujuh peratus dan turut menyumbang kepada kemorosotan morbiditi.

Perkara ini jelasnya disebabkan oleh pendarahan iaitu trauma setempat atau spontan kesan daripada vena varikos yang besar.

"Selain itu, pesakit mungkin boleh mengalami komplikasi seperti keradangan vena di mana dinding vena dengan trombosis setempat yang menyebabkan kemerahan dan sakit pada kawasan kulit," ujarnya.

Sementara itu, Dr Mohd Sufian menjelaskan terdapat pelbagai kaedah rawatan boleh dilakukan oleh pesakit termasuklah kaunseling untuk memberi nasihat kepada pesakit supaya menggubah gaya hidup lebih sihat.

Ini termasuklah menjelaskan tentang kebaikan menurunkan berat badan, melakukan aktiviti fizikal ringan dan sebagainya yang penting untuk memulihkan keadaan pesakit.



Pilihan sabun yang tepat adalah penjagaan tubuh jangka masa panjang.

"Pesakit boleh datang untuk buat rawatan intervensi di klinik pakar dan biasanya doktor akan melakukan pengesanan diagnosis vena varikos melalui ujian duplex ultrasound.

"Melalui ultrasound ini beberapa cadangan rawatan akan dibuat termasuk pembedahan pembuangan vena varikos," katanya.

Selain itu jelasnya, terdapat juga rawatan tanpa intervensi seperti penggunaan sarung kaki yang sangat sesuai bagi pesakit urat simpul tidak serius.

Dr Mohd Sufian menjelaskan bahawa, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan pakaian yang ketat selain melakukan senaman melibatkan betis yang membantu melancarkan aliran darah ke jantung.

"Kekerapan berjalan kaki atau mendaki bukit boleh mengurangkan gejala urat bersimpul malah menyihatkan tubuh badan. Paling utama adalah jalani kehidupan sihat dan amalkan diet," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain