suria

Guna 6 helah mudah masak sayur! Anda tak bosan, anak pun suka

Sayur-sayuran memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan tubuh manusia. Youtube @SIO ASMR

SERING kali kita mendengar nasihat supaya mengamalkan pengambilan sayuran yang banyak dalam kehidupan harian, tetapi ramai juga yang sukar untuk menyelitkan makanan hijau dalam makanan mereka.

Namun perlu disedari, sayur-sayuran sebenarnya memainkan peranan penting dalam tubuh manusia agar kesihatan lebih terjamin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa disedari, 9 tabiat harian ini sebenarnya boleh merosakkan otak anda

Terdapat sejumlah nutrien yang tersedia dalam sayuran termasuklah serat, kalium, asid folik dan vitamin A.

Bagi golongan yang sedang berusaha menurunkan berat badan pula, sayuran memainkan peranan dalam menyediakan kandungan serat yang diperlukan supaya perut terasa kenyang lebih lama.

Bagaimanapun, terdapat beberapa helah mudah yang anda boleh cuba supaya pengambilan sayuran setiap hari terkawal dan tidak berlebihan, termasuklah;

1. Selitkan sayur dalam menu sarapan

Menambah sayur dalam menu sarapan pagi adalah idea bijak yang mungkin tidak terfikir oleh ramai orang kerana sarapan biasanya lebih kepada menu praktikal seperti bijirin, roti bakar atau hanya segelas susu.

Menurut Eating Well, anda boleh mengisar sayur-sayuran menjadi smoothie dengan mencampurkannya bersama buah-buahan. Selain itu, telur dadar dicampur sayur seperti daun bawang, bayam, dan tomato ceri juga adalah bagus.

2. Sup berasaskan sayuran

Dalam semangkuk sup, biasanya anda akan mendapat beberapa khasiat sekali gus yang juga menyumbang kepada kecergasan fizikal dan mental seseorang.

Seperti yang dilaporkan oleh Healthline, sup sayur tidak semestinya dihasilkan dalam bentuk sup dan sayuran, tetapi anda boleh sahaja mengisar sayur-sayuran menjadi puri seperti brokoli, tomato, dan bayam serta rempah tambahan lain.

3. Mee sayur-sayuran

Bentuk atau cara menghidangkan makanan juga perlu diberikan kelainan, supaya tidak berasa bosan dengan pengambilan sajian sayuran yang sama.

Caranya, hanya gunakan parut atau alat pemotong khas untuk menghasilkan kepingan sayuran seperti mi. Jenis sayuran yang sesuai untuk membuat mi sayur termasuklah lobak merah, zucchini, labu dan keledek.

4. Oatmeal dan sayur

Oatmeal ialah bahan makanan yang fleksibel yang diproses khas menjadi makanan manis atau masin. Untuk oat masin, anda boleh bermain dengan sayur-sayuran cincang dan protein tambahan.

Cara membuatnya, masak oatmeal kosong dengan air, kemudian masukkan sayur-sayuran rebus pilihan, tambah telur untuk sumber protein dan taburkan garam, lada sulah serta keju parmesen.

5. Sandwich sayuran

Roti dilapisi aneka inti dan rasa sudah sebati dalam kehidupan masyarakat kini, khususnya disediakan untuk sarapan dan makan tengahari.

Kadangkala, sandwich dijadikan makanan ringan kerana ia mudah dibuat dan lazat yang biasanya berintikan keju dan ham serta campuran sayuran seperti salad dan hirisan tomato.

6. Sayur menjadi kerepek

Manakala, kerepek pula adalah makanan ringan yang perlu dimiliki di setiap kediaman. Atas dasar itu, anda boleh sahaja memproses sayuran menjadi kerepek untuk memperbanyakkan pengambilan sayur.

Biasanya, kerepek buatan sendiri lebih berkhasiat dengan menambah rempah mengikut citarasa yang tidak mengandungi garam berlebihan. Antara sayuran sesuai dijadikan kerepek termasuklah ubi keledek, kentang, pucuk brussels, atau kangkung.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain