suria

Sedap, mudah, cepat tapi undang penyakit! Ketahui 4 kumpulan makanan proses berdasarkan cara pemprosesannya

Makanan diproses dan makanan segera sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 70 peratus kematian di seluruh dunia pada hari ini adalah disebabkan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

NCD termasuklah penyakit berkaitan kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan dan diabetes yang disebabkan oleh diet dan gaya hidup tidak sihat.

Pakar Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Teoh Wei Leng berkata, antara penyumbang terbesar kepada peningkatan angka itu adalah semakin ramai yang gemar mengambil makanan segera atau diproses kerana ia lebih mudah dan cepat disediakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui gejala anda ada masalah kolestrol, tekanan darah dan kandungan gula tinggi... bahaya jika dibiarkan!

Dr Teoh memberitahu makanan jenis ini biasanya mengandungi bahan-bahan seperti pewarna, pengawet, pemanis, penstabil dan pengemulsi.

Eating Junk Food

Pengambilan makanan yang diproses secara berlebihan boleh menyebakban pelbagai masalah termasuk obesiti.

"Disebabkan rasanya yang enak dan faktor ia menjimatkan masa, kebanyakan orang mengambil makanan ini tanpa memberi perhatian serius terhadap kesan buruk kepada kesihatan mereka. Apatah lagi makanan jenis ini lebih murah, mudah dan sedap," katanya.

Secara umumnya kata Dr Teoh, terdapat empat jenis kumpulan makanan berdasarkan cara ia diproses, iaitu;

1. Tidak diproses atau diproses secara minimum

Contoh: Buah, bijian, batang, akar, daun, telur, daging, susu, organ dalaman, cendawan, alga dan bijirin

2. Bahan masakan yang diproses

Contoh: Gula, garam, mentega, minyak, cuka

3. Makanan yang telah diproses

Contoh: Makanan yang diperam, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam tin, kacang masin, daging, keju yang diproses dan roti yang baru dibuat yang tidak dibungkus

4. Makanan dan minuman yang diproses berlebihan

Contoh: Ais krim, sosej, kerepek, roti yang dihasilkan secara besar-besaran, bijirin sarapan pagi, minuman berkarbonat, yogurt/minuman berperisa buah-buahan, sup segera dan beberapa minuman beralkohol seperti wiski, gin dan rum.

Celeste & Dr Teoh

Celeste Lau dan Dr Teoh Wei Leng.

Pengurus Kanan Dietetik Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau memberitahu makanan yang diproses pada asasnya dibuat dengan hanya menambah gula, minyak, garam atau bahan lain manakala makanan diproses berlebihan sebaliknya merupakan makanan yang mengandungi banyak bahan tambahan seperti lemak tepu, gula dan garam tambahan, perasa, pengawet, agen pemekat atau penstabil, dan sebagainya.

Pemprosesan makanan bagi makanan yang diproses berlebihan juga mungkin melibatkan pemanasan pada suhu tinggi yang boleh mungkin menjejaskan struktur makanan itu sendiri.

"Setiap kumpulan makanan yang diproses mempunyai tujuan tersendiri dan tidak semua makanan yang diproses adalah tidak sihat. Selagi nilai pemakanan dalam makanan tidak berubah, tidak mengapa untuk dimakan.

"Walau bagaimanapun, makanan diproses berlebihan secara amnya mengandungi gula, garam dan lemak yang diproses pada kadar lebih tinggi, justeru secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap insulin dan membuatkan kita makan dengan lebih banyak, sekali gus menyebabkan ia diambil secara berlebihan," jelasnya.

Tambah Dr Teoh, pengambilan makanan dan minuman yang diproses berlebihan dengan kerap boleh menyebabkan obesiti. Obesiti boleh menyebabkan gangguan sindrom metabolik seperti obesiti perut, diabetes, darah tinggi, tahap trigliserida yang tinggi, dan tahap kolesterol HDL yang rendah. Keadaan kesihatan sebegini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

1216786444

Demi hidup lebih sihat kita perlu mengurangkan pengambilan makanan diproses dan menggantikan dengan buah dan sayuran.

"Pemerhatian ini telah disahkan dalam pelbagai kajian, yang menunjukkan bahawa orang yang banyak mengambil makanan diproses berlebihan mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi, kualiti pemakanan yang lebih buruk dalam diet mereka, pengambilan natrium dan gula yang lebih tinggi, serta pengambilan serat, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih rendah. Hal ini boleh meningkatkan risiko untuk menghidap diabetes jenis 2," terangnya.

Buku panduan yang diperkenalkan oleh Sunway Healthcare Group iaitu “Know Diabetes” juga mengesyorkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya serat dan mengehadkan gula tambahan dalam diet seseorang boleh membantu mengawal diabetes.

Obesiti, diabetes dan peningkatan risiko penyakit jantung

Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr Patrick Tiau pula menjelaskan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti turut berdepan dengan risiko menghidap penyakit kardiovaskular lain yang boleh mempercepatkan proses pengumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain dalam dinding arteri.

"Apabila bercakap mengenai diabetes, penghidap diabetes lebih cenderung untuk menghidap penyakit kardiovaskular berbanding yang lain kerana diabetes mellitus, atau kadar gula dalam darah yang tinggi boleh menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke jantung, menyebabkan jantung kekurangan oksigen dan bekalan darah.

"Apabila jantung anda tidak dapat mengepam darah dengan baik, ia boleh menyebabkan keletihan, kesukaran bernafas dan kaki bengkak. Kegagalan jantung cenderung menjadi lebih teruk dari masa ke masa, tetapi diagnosis dan rawatan awal boleh memperbaiki gejala dan melambatkan perkembangan penyakit.

Dr Aqilah & Dr Patrick

Dr Aqilah Othman dan Dr Patrick Tiau.

"Memandangkan pesakit diabetes berisiko mengalami masalah kegagalan jantung, maka pencegahan awal menjadi matlamat terapeutik yang penting dalam pengurusan diabetes," ujarnya.

Adakah makanan dan minuman yang diproses berlebihan berkait dengan kanser kolorektal?

Beberapa kajian berskala besar baru-baru ini mendapati bahawa peningkatan 10 peratus dalam pengambilan makanan dan minuman diproses berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat kanser kolorektal sebanyak lebih 10 peratus.

Makanan dengan kandungan serat yang tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran menawarkan perlindungan terhadap kanser kolorektal, manakala pengambilan makanan bernutrien rendah ini, ditambah dengan campuran bahan tambahan dan bahan lain yang mungkin bersifat karsinogenik dalam makanan diproses berlebihan biasanya mempunyai kualiti pemakanan yang lebih rendah.

Sesetengah bahan berbahaya ini kadangkala terdapat dalam pembungkusan itu sendiri apabila ia bersentuhan langsung dengan makanan semasa pengeluaran, pemprosesan dan penyimpanan.

Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Dr Aqilah Othman berkata walaupun makanan dan minuman yang diproses berlebihan tidak diklasifikasikan sebagai karsinogenik secara umum, ia tetap mengandungi komponen tertentu yang mungkin berbahaya.

Didikan Sejak Kecil

Ibu bapa perlu mendidik tabiat pemakanan anak-anak sejak kecil.

"Sebagai contoh, daging yang diproses telah diklasifikasikan sebagai karsinogenik oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC). Apabila dimakan, nitrit boleh ditukar kepada bahan kimia yang menyebabkan kanser, contohnya sebatian N-nitroso atau NOC.

"Karagenan dan carboxymethylcellulose (CMC) iaitu agen pemekat yang biasa digunakan telah dikaitkan dengan keradangan usus yang kesannya boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal," katanya.

Disebabkan perkara itu, Dr Aqilah memberitahu tabiat gaya hidup sangat penting dan perlu ditanam sejak awal oleh ibu bapa kepada anak-anak agar masalah ini dapat dielakkan.

Dengan menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat di rumah, ibu bapa dan setiap indvidu boleh memastikan mereka dapat membuat pilihan makanan yang lebih baik untuk diri mereka dan ahli keluarga.

"Contohnya, menggantikan biskut dengan roti yang baru dibakar dan keju, jus oren yang manis dengan buah itu sendiri dan makanan segera dengan makanan yang telah dimasak sendiri sendiri dalam kuantiti yang banyak dan dibekukan untuk hari-hari yang sibuk," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain