PIHAK kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius bagi mewajibkan penggunaan dashcam pada semua jenis kenderaan di negara ini. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata, penggunaan dashcam adalah penting untuk dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya berlaku sesuatu perkara tidak diingini terutamanya kes melibatkan kemalangan jalan raya. Ini jelasnya termasuk kes kemalangan biasa antara kenderaan, kes langgar lari, kes pelanggaran undang-undang trafik jalan raya, kes kecuaian memandu dan sebagainya. ARTIKEL BERKAITAN: Rawatan apa perlu guna ganja? Hati-hati jangan salah langkah, banyak dakyah mengarut atas alasan perubatan "Pengunaan dashcam di dalam kenderaan juga penting bagi merekod sebarang jenis kejadian jenayah yang berlaku seperti kes buli dijalan jalan raya, kes pemanduan dibawah pengaruh alkohol ataupun dadah, kes ragut dijalan raya, kes keganasan atau serangan fizikal dijalan raya, kes gangguan seksual yang berlaku dijalan raya, dan lain-lain lagi," katanya. Jelas Muzaffar, dashcam adalah sebuah peranti yang digunakan untuk merakam pemanduan dari sesebuah kenderaan. Ia adalah antara alat yang semakin popular digunakan oleh pemandu-pemandu di kebanyakan negara dunia termasuk Malaysia. Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow. "Tidak beberapa lama dulu pihak kerajaan Malaysia ada menyatakan hasrat untuk menjalankan kajian keatas penggunaan rakaman dashcam di mahkamah atau untuk sebarang tuntutan dan kes melibatkan undang-undang sivil. "Selain itu, pihak kerajaan juga ada menyatakan untuk memberi pertimbangan bagi mewajibkan penggunaan peranti dashcam di dalam kenderaan dalam negara kita. Namun, sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai perkara ini sehingga ke hari ini," katanya. Kata Muzaffar, penggunaan dashcam sebagai bahan bukti dalam mahkamah tidak sepatutnya menjadi satu isu yang besar kerana ia juga boleh menjadi sebuah bahan bukti yang kuat bagi menyokong sesuatu hujah didalam proses perbicaraan kes mahkamah sama ada kes sivil ataupun kes jenayah. Muzaffar menjelaskan jika diteliti Akta Keterangan 1950 [Akta 56] yang merupakan sebuah akta yang paling utama sekali dalam negara yang mengawal selia proses pemberian bahan bukti dalam semua kes-kes mahkamah. Maksud bukti atau keterangan itu telah dinyatakan dengan jelas sekali dibawah Seksyen 3 sebagai 'meliputi': Dashcam boleh merakam kemalangan yang berlaku. (a) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya leh saksi-saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan; (b) segala dokumen yang dikemukakan bagi peremriksaan mahkamah: dokumen – dokumen sedemikian disebut keterangan dokumen. Pengunaan ayat “meliputi” di dalam Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] menunjukkan bahawa pengunaan bahan bukti dalam kes-kes mahkamah tidak hanya terpakai atau terhad terhadap pengunaan bahan bukti yang datang dari saksi-saksi ataupun dokumen biasa sahaja. "Oleh yang demikian, kita juga boleh mengunakan mana-mana bahan bukti yang sesuai untuk membantu dan menyokong proses perbicaraan kes mahkamah dan ini termasuk peranti dashcam. "Dashcam boleh menjadi sebuah bahan bukti yang kuat dengan sendirinya sekiranya ia memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan. "Apa yang penting sekali untuk pihak mahkamah bagi menerima sesebuah bahan bukti adalah kekuatan yang terdapat di dalam sesebuah bahan bukti yang telah dihantar serta kerelevanan bahan bukti berkenaan dengan kes yang sedang dibicarakan," ujarnya. Jika dilihat dengan teliti, dashcam ini juga boleh dikategorikan sebagai salah sebuah bahan bukti dokumen. Jika dirujuk kepada Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] juga, definisi dokumen telah dihuraikan sebagai apa – apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuk apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan: Penting untuk sesebuah kenderaan mempunyai alat dashcam. (a) huruf, angka, tanda, symbol, isyarat, lambang, atau apa jua pun bentuk pernyataan, perihal, atau gambaran lain; (b) apa – apa rakaman visual (sama ada imej kaku atau bergerak); (c) apa – apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik, mekanikal atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dednyut elektronik, atau apa jua pun data lain; (d) suatu rakaman, atau pemancaran, dari suatu jarak, apa-apa hal dengan mana-mana, atau apa-apa kombinasi, cara yang disebut dalam perenggan (a), (b) atau (c), atau dengan lebih daripada satu cara yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c), dan (d), yang dimaksudkan untuk digunakan atau yang mungkim digunakan bagi tujuan menyatakan, memperihalkan, atau dengan apa jua cara sekalipun menggambarkan, hal itu. "Ini menunjukkan kepada kita bahawa dashcam yang merupakan sebuah peranti yang merakam dan merekod keadaan sekeliling juga boleh termasuk dibawah salah sebuah kategori keterangan berbentuk dokumen dan digunapakai bahan bukti bagi menyokong sesuatu hujah di dalam proses perbicaraan kes mahkamah sekiranya ia memenuhi syarat pengesahan keasliannya mengikut peruntukkan Seksyen 61 hingga 66 Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. "Penting untuk diketahui juga, selain digunakan untuk membantu kita menyelesaikan kes-kes kemalangan jalan raya, pengunaan dashcam juga membawa banyak kebaikan dan manfaat kepada diri kita dan orang sekeliling," katanya. Rakaman boleh menjadi bukti di mahkamah. Tambahnya, pengunaan dashcam dapat membantu mengawal serta menambahbaik proses pemanduan. Melalui rakaman atau rekod yang ada di dalam dashcam, seseorang dapat melihat semula proses pemanduan, melihat sebarang kelemahan yang dilakukan ketika memandu. Penggunaan dashcam juga kata Muzaffar, dapat membantu mencegah aktiviti jenayah yang berlaku pada sekeliling kita. "Pencuri kenderaan akan mula berfikir banyak kali sebelum mereka ingin melakukan kegiatan mencuri kenderaan kerana bimbang segala aktiviti dan perbuatan kecurian mereka akan dirakam atau direkod melalui peranti dashcam. "Walaupun kita mungkin terpaksa berbelanja lebih sedikit untuk memasang peranti dashcam ini di dalam kenderaan kita, namun segala manfaat dan kebaikan yang dibawa melalui pengunaan dashcam ini adalah lebih besar kepada keselamatan diri kita," ujarnya. Oleh yang demikian, pihak kerajaan kata Muzaffar boleh memberi pertimbangan terhadap cadangan untuk mewajibkan pemasangan peranti dashcam ini pada setiap kenderaan di negara ini dengan segera. Pihak kerajaan boleh melihat kembali kepada semua akta sedia ada dalam negara kita bagi menjayakan cadangan ini seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333]. "Pihak kerajaan boleh meminta pemilik kenderaan mamasang paranti dashcam dengan sendiri ataupun mensyaratkan setiap pengeluar kenderaan yang ada dalam negara kita memasang peranti dashcam berkenaan di dalam kenderaan yang mereka hasilkan. "Yang paling penting, pihak kerajaan perlu pastikan harga peranti dashcam ini adalah berpatutan dan tidak keterlaluan serta kualiti imej yang dirakam atau direkod adalah yang terbaik dan berkualiti tinggi supaya tidak timbul sebarang isu ketika proses perbicaraan berlangsung di mahkamah kelak," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI