WALAUPUN kadar jangkitan virus Covid-19 dilihat terkawal, itu bukan bererti kita perlu kembali kepada kehidupan sebelum munculnya wabak itu sepenuhnya seperti tiada apa pernah berlaku. Sebaliknya beberapa perubahan yang telah dilakukan semasa mengharungi wabak itu sepanjang dua tahun lalu terutamanya bagi sektor pekerjaan masih perlu dikekalkan demi manfaat pekerja dan organisasi. ARTIKEL BERKAITAN: Cepat ‘triggered’, mudah rasa nak marah antara 10 tanda kesihatan mental anda terganggu Pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow menjelaskan antara perubahan yang perlu dikekalkan adalah dengan meneruskan pelaksanaan sistem fleksibel dalam bekerja serta bekerja dari rumah. Kata Muzaffar, bergantung kepada jenis pekerjaan, meneruskan sistem ini banyak memberi manfaat termasuklah; 1. Ia memudahkan urusan pekerja untuk melaksanakan kerja tanpa perlu mengharungi kesesakan lalu lintas serta risiko kemalangan jalan raya. 2. Sistem waktu bekerja fleksibel dan dari rumah boleh menjimatkan wang, masa dan tenaga pekerja. 3. Ia dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pihak pekerja sekali gus menjadikan pekerja lebih produktif serta memberi khidmat terbaik kepada organisasi. Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow. Dalam pada itu, Muzaffar menjelaskan kemunculan pelbagai jenis teknologi moden turut memberi ruang dan peluang untuk sesetengah jenis pekerjaan dilakukan secara dalam talian tanpa perlu berada di pejabat secara fizikal. "Memandangkan penularan virus Covid-19 dan varian yang dibawanya masih berlaku dalam negara kita serta di serata dunia pada ketika ini, tidak wajar juga sekiranya segala jenis aktiviti berkaitan dengan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dilakukan secara semuka di pejabat. "Pihak majikan di semua sektor pekerjaan perlu memanfaatkan kemudahan teknologi moden yang wujud pada masa kini untuk menjalankan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan tempat kerja," ujarnya. Tidak hanya itu, perkembangan terbaharu penularan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan cacar monyet (Monkeypox) boleh dijadikan sebagai amaran untuk terus mengamalkan penjarakan sosial serta kerja dari rumah agar ia tidak mudah merebak kepada orang lain sekiranya ada yang dijangkiti. Bekerja dari rumah mempunyai kelebihan tersendiri. Muzaffar berkata, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak di tempat kerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ia juga telah termaktub di bawah peruntukan undang-undang buruh dalam negara kita seperti yang telah termaktub di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514]. Tindakan undang-undang yang keras boleh diambil terhadap mana-mana pihak majikan ataupun pihak pengurusan di tempat kerja yang didapati gagal melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka sendiri. "Pihak kerajaan melalui Jabatan Perkidmatan Awam (JPA) serta pihak majikan disektor swasta boleh mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti berkaitan dengan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain dilakukan secara dalam talian. "Tanpa adanya perintah atau arahan jelas ini, sukar untuk kita merealisasikan usaha untuk mengalakkan pihak majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja secara fleksibel dan berkerja dari rumah," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI