BAHAYA makan daging separuh masak tidak hanya menyebabkan keracunan makanan. Sebaliknya, sebuah kajian mendapati daging separuh masak juga boleh mengakibatkan masalah dikenali sebagai toksoplasmosis pada mata. ARTIKEL BERKAITAN: Tension headache paling kerap dialami rakyat Malaysia... Pakar kata boleh jadi punca tumor otak! Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ophthalmology Retina ini menyelidik 5,000 foto retina koresponden yang menetap di Busselton, Australia. Tiga pakar mata termasuk Profesor Dr Justine Smith dari Universiti Flinders menilai keadaan retina koresponden yang kerap makan daging separuh masak. "Di antara 5,000 orang itu, kami menemui lapan koresponden dengan bekas luka retina toksoplasma yang turut disahkan melalui ujian darah. "Selain itu, tiga perempat daripada retina yang dikaji ini tidak dikesan mengalami tanda-tanda kehadiran toksoplasmosis okular. Jadi kami menyimpulkan satu daripada 149 orang boleh mengalami masalah ini," katanya. Toksoplasmosis okular atau toksoplasmosis pada mata boleh merosakkan retina dan mengakibatkan seseorang menjadi buta. Dalam kes tertentu mata boleh menjadi buta! Daging yang tidak dimasak sempurna adalah salah satu penyebab keadaan ini dan atas sebab itu penting untuk memastikan pengambilan sebarang makanan perlulah dimasak dengan betul. Selain itu, toksoplasma atau parasit ini juga banyak menjangkiti haiwan seperti kucing yang dijangkiti daripada keadaan sekeliling kotor dan makanan tercemar. Umumnya, najis kucing yang dijangkiti boleh menjadi pembawa parasit tetapi pengambilan daging mentah atau setengah masak punca paling umum pada manusia. "Setakat ini, tiada ubat atau vaksin bagi memulihkan keadaan itu di mana gejalanya pula bergantung pada usia, tahap kesihatan dan genetik seseorang yang dijangkiti. "Biasanya ramai tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi penyakit paling umum kesan daripadanya adalah keradangan retina dan kesan parut kekal pada mata," katanya. Kajian turut mendapati, jangkitan itu juga boleh mengakibatkan penurunan penglihatan sehingga 50 peratus malah menjadi buta. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI