suria

“Terdengar-dengar suara dia” - Sudah 2 tahun ibu meninggal tapi anak masih tak ‘move on’, pakar perjelas 4 fasa reda terima takdir

Bersedih di atas pemergian orang tersayang merupakan perkara normal. foto Freepik / Jcomp

BUKAN menyalahkan takdir, tetapi kesedihan akibat pemergian orang tersayang akan sentiasa dirasai.

Kadangkala ia memakan masa berbulan-bulan malah ada juga sehingga bertahun lamanya.

Begitulah yang dirasai oleh seorang anak yang masih bersedih di atas kematian ibunya sejak lebih dua tahun lalu.

"Sudah lebih dua tahun ibu saya meninggal dunia. Namun sampai hari ini saya rasa belum boleh move on. Masih rasa sedih, tak boleh terima, terdengar-dengar suara dia.

"Saya jadi tiada semangat nak teruskan hidup. Macam mana nak buat?" katanya.

Belum Move On 2

Ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan.

Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, ia merupakan antara soalan yang pernah diajukan oleh pengikutnya di Facebook apabila menyentuh topik grief atau kepiluan akibat kehilangan orang tersayang.

Jelasnya, kebiasaan individu yang bertanya adalah mereka yang berada dalam keadaan buntu kerana tidak tahu sama ada situasi itu adalah normal atau keadaan yang memerlukan bantuan profesional.

"Secara umumnya kita panggil grieving (bersedih). Namun sekiranya keadaan tersebut berpanjangan sehingga ganggu kehidupan, mungkin individu tersebut dah berada dalam keadaan kemurungan," katanya ketika dihubungi mStar.

Berpengalaman dalam bidang psikiatri selama 12 tahun, Dr Rozanizam berkata, individu yang mengalami grieving berpanjangan kebiasaannya terdapat sesuatu yang masih belum dapat 'dilepaskan'.

"Contohnya rasa bersalah, marah dan terkilan. Jadi kena cari jalan untuk bantu capai fasa penerimaan atau reda," ujar beliau.

Belum Move On 3

Kesedihan yang berpanjangan boleh mengakibatkan kemurungan.

Bagi menangani situasi itu, Dr Rozanizam berkata, terdapat empat fasa yang perlu dilalui oleh individu berkenaan iaitu four task of mourners atau ringkasnya T.E.A.R (model kesedihan Worden, 1991).

1. Fasa pertama ialah dengan meluahkan

Apabila ia berkumpul dalam hati, ia akan cipta internal guilt dialogue yang berpanjangan, akhirnya menyekat penerimaan itu.

2. Fasa kedua ialah memproses emosi

Kalau sedih atau marah, belajar hendak buat apa dengan emosi tersebut supaya ia diterjemah dengan cara yang positif. Sama ada nak menangis, menulis, ke kubur, ke pantai, ke hutan atau apa saja cara yang berkesan.

3. Fasa seterusnya ialah mencipta maksud baharu daripada kehilangan itu

Contoh makna baharu: "Dia pergi untuk Allah kurangkan derita di dunia" atau bahasa mudahnya hikmah di sebaliknya.

4. Fasa akhir ialah membina identiti baharu tanpa arwah di sisi.

Maknanya menyesuaikan diri dengan hidup tanpa arwah. Let go barang-barang, susun rutin hidup baharu dan belajar hidup tanpa sokongan arwah. Berdikari membina hidup baharu.

Dr Rozanizam Zakaria

Dr Rozanizam berpengalaman dalam bidang psikiatri selama 12 tahun.

"Dalam buku saya Aku Nabi Isa ada satu bab khas tentang topik ni iaitu 'Mahu Sekali ke Liang Lahad'. Saya ada selitkan kisah Abu dan Ummi Salamah dalam menghadapi ujian kematian anak sebagai pengajaran.

"Sebab itu saya ajar pelajar saya kalau pesakit menangis, jangan bagi tisu cepat sangat. Biarkan dia menangis. Saya akan kata 'tak apa, menangislah, it's perfectly ok'.

"Apabila dah berair hidung baru bagi tisu untuk lap hingus," katanya mengenai buku tulisannya 'Aku Nabi Isa: Refleksi dari Wad Sakit Jiwa' yang diterbitkan pada 2013.

Mengulas lanjut, Dr Rozanizam menjelaskan bahawa emosi manusia itu sifatnya adalah fitrah yang mana semua individu akan merasai dan melaluinya.

"Cuma ia seharusnya diuruskan dengan baik. Jika tidak, ia boleh menjadi penyakit," katanya yang turut menulis buku berkaitan psikologi dan psikiatri yang berjudul Solusi Stres, Psikologi Si Kecil, Aku Dijangkiti Kehidupan 2.0 dan Panduan penjagaan Demensia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain