suria

Ketahui 5 fungsi tahi telinga! Bahaya korek guna besi atau putik kapas... gegendang boleh pecah, bocor

Gegendang telinga pecah dan bocor akibat tabiat membersihkan telinga menggunakan besi dan putik kapas.

MEMANG sedap korek telinga, sangat mengasyikkan.

Tapi awas, tabiat suka mengorek telinga sebenarnya boleh mengundang padah.

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Mohd Shaiful Nizam berkata, terdapat kes gegendang telinga pecah dan bocor akibat tabiat ini.

Menurutnya, antara gejala yang dialami pesakit adalah sakit di telinga kiri, kurang dengar serta bunyi berdesing.

"Kesemua tiga gejala ini terjadi sebaik sahaja pesakit mengorek tahi telinga menggunakan besi kecil dan putik kapas.

"Pesakit mempunyai tabiat korek telinga sudah agak lama menggunakan putik kapas dan besi. Pesakit sendiri keluarkan pengorek besi dari poketnya," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.

gegendang telinga 4

Tabiat suka mengorek telinga perlu dihentikan.

Dr Mohd Shaiful memberitahu, tahi telinga atau dikenali sebagai earwax (lilin telinga) tidak perlu dikorek kerana mempunyai mekanisma tersendiri tanpa kita sedar melalui kunyahan mulut, pergerakan rahang dan pertumbuhan kulit dalam telinga yang akan menolaknya keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahi telinga boleh 'ceritakan' tahap kesihatan anda, jika coklat ertinya stres... jangan abaikan 5 petanda ini!

Menurut Dr Mohd Shaful lagi, antara lima fungsi tahi telinga adalah:

1. Bersifat kalis air iaitu mencegah air daripada meresap masuk ke salur telinga.

2. Bersifat antibakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria serta kulat.

3. Bersifat asid untuk melembabkan kulit halus sekitar saluran telinga.

4. Menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk.

5. Mengeluarkan kotoran dan habuk dalam saluran telinga.

gegendang telinga 3

Kesan akibat mengorek telinga.

Sebab itulah, kata beliau, doktor-doktor pakar ENT melarang para pesakit mereka mengorek telinga.

"Apabila tahi telinga sentiasa dikorek, secara tidak langsung akan menyebabkan ia tertolak ke bahagian tengah saluran telinga seterusnya akan berkumpul dan tersumbat!

"Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah pendengaran (berdesing dan kurang dengar). Lebih parah lagi ia boleh menyebabkan luka serta radang telinga luar dan tengah.

"Ia juga boleh menyebabkan kecederaan pada gegendang telinga seperti yang berlaku kepada pesakit saya ini," tambahnya.

Jika banyak tahi telinga dan rasa tersumbat, Dr Mohd Shaiful menasihatkan orang ramai supaya menggunakan ubat titis untuk melembutkan tahi telinga yang keras.

"Jika masih lagi rasa tersumbat dan bergejala, segera mendapatkan pemeriksaan pakar ENT," tulis beliau menerusi perkongsian di akaun Twitter @Dr_Shaiful

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain