SITUASI tercekik pastinya mencemaskan tanpa mengira siapa pun yang mengalaminya. Memang seram kalau tercekik, pernafasan akan tersekat sehingga tidak boleh mengeluarkan suara untuk meminta tolong atau menjerit. Namun apa yang lebih membimbangkan sekiranya insiden tercekik disebabkan objek atau makanan yang terperangkap dalam saluran pernafasan berlaku pada kanak-kanak terutama bayi. Satu tanda universal seseorang itu tersedak atau tercekik adalah dengan kedua tangannya memegang leher seperti mencekik, dan muka mangsa menjadi pucat atau kebiruan. Pakar perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata, masa adalah sangat penting sekiranya berlaku kes tercekik di mana jika melibatkan orang dewasa, kadar oksigen mulai berkurangan dan akan menyebabkan seseorang jatuh pengsan dan jantung boleh berhenti. Menurutnya, jika pertolongan pertama tidak dilakukan dalam masa kurang lima minit, mangsa boleh meninggal dunia dan tidak boleh diselamatkan kerana sel-sel otak yang mati akibat Cerebral Hypoxia. Dr Arisman Wenge Abdul Rahman. Mengenai pertolongan pertama, Dr Arisman yang juga Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Shah Alam memberitahu, terdapat teknik khusus yang dikenali sebagai 'Heimlich Maneuver'. "Tujuan pertolongan pertama ini adalah untuk membuka kembali saluran pernafasan dengan memberikan tekanan dari bawah dan memaksa benda asing atau objek yang tersangkut pada saluran tiub pernafasan tersebut tertolak ke atas dan dikeluarkan dari mulut. "Teknik ini berbeza mengikut peringkat usia, bayi atau dewasa. Teknik ini juga berbeza jika mangsa masih sedar atau sudah tidak sedarkan diri. Ada teknik khusus jika berada dalam situasi bersendirian. Misalnya di rumah sendiri tanpa ada orang lain," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya gumpalan nasi, air gas dan 3 cara lain juga mampu bantu masalah tercekik tulang ikan Menurut Dr Arisman, kes tercekik boleh terjadi pada bayi di mana ia disebabkan oleh alat mainan kecil atau makanan solid seperti kacang atau popcorn, termasuk ubat tablet. "Saya harap ibu bapa atau datuk dan nenek termasuk pengasuh perlu tahu kemahiran ini," katanya yang merujuk kepada penjaga kepada kanak-kanak dan bayi. Gambar 1. Cara melakukan Heimlich Maneuver pada kanak-kanak (termasuk orang dewasa): 1. Jika mangsa boleh berdiri, berdirikan mangsa dan posisikan diri anda di belakang mangsa. 2. Bongkokkan tubuh mangsa sedikit ke depan. 3. Berikan lima pukulan dengan tapak tangan di belakang (antara tulang belikat/ sayap) tubuh mangsa dengan sedikit kuat sambil mendorong ke atas. 4. Lingkarkan lengan di bawah dada mangsa. 5. Kepalkan tangan lalu tempatkan di atas pusat dengan ibu jari masuk (seperti dalam Gambar 1). 6. Tekan ke tubuh mangsa ke arah dalam dan ke atas. Teknik ini disebut juga 'Abdominal Thrusts' (seperti dalam Gambar 2). 7. Ulangi hingga objek yang tersumbat itu keluar dan mangsa kembali bernafas semula. Gambar 2: Cara melakukan Heimlich Maneuver pada bayi berusia bawah setahun: 1. Posisikan bayi dalam keadaan meniarap di lengan yang ditopang dengan paha. Pastikan posisi kepala bayi lebih rendah dari badannya. 2. Pegang kepala dan rahang bayi dengan jari-jari tangan anda. 3. Tepuk belakang badan bayi secara sederhana kuat di antara tulang sayap sebanyak lima kali dengan menggunakan tapak tangan. Tindakan ini disebut 'Back Blows' (seperti dalam Gambar 3). 4. Jika tidak berhasil, posisikan bayi terlentang dengan kepada bayi menghadap ke atas. 5. Kemudian letak dua jari di tengah pada tulang dada. 6. Berikan tekanan di bahagian tengah tulang dada sebanyak lima kali. Teknik ini disebut 'Chest Thrusts' (seperti dalam gambar 3). 7. Lakukan berulang kali (back blow dan chest thrusts) silih berganti sehingga objek keluar dan bayi bernafas semula. Gambar 3. Bagaimana untuk mencegah dari tercekik: 1. Potong makanan sehingga berukuran kecil. 2. Mengunyah makanan dengan perlahan. 3. Jangan ketawa atau bercakap semasa makan 4. Jangan berikan makanan bersaiz besar dan padat pada anak kecil berusia bawah lima tahun. Berikan makanan bersaiz kecil kepada anak kecil. foto Freepik 5. Jangan berikan ubat biji untuk anak berusia bawah empat tahun. 6. Hindarkan memberi makanan seperti kacang atau popcorn kepada kanak-kanak. 7. Jangan berikan alat permainan bersaiz kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulut anak kecil. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI