ANAK kecil yang mempunyai ciri-ciri seperti aktif, lincah dan petah bercakap menunjukkan tumbesaran mereka berkembang dengan sempurna. Malah kanak-kanak seperti ini menjadi perhatian kerana dianggap sebagai bijak. Bercakap soal tumbesaran, ibu bapa perlu peka dengan setiap perkembangan anak seiring dengan usia mereka untuk mengelakkan kelewatan mengesan masalah atau simptom yang tidak normal. Khaleed sedang menjalani terapi. Seorang bapa, Khairul Abdullah terbuka untuk berkongsi catatan pengalamannya bagaimana dia mengesan situasi Selective Mutism atau 'senyap terpilih' yang dialami anak bongsunya, Khaleed, yang berusia lima tahun. "Dia hanya bercakap riuh rendah tanpa henti dengan slang ala British hanya di rumah bersama aku dan abang-abang dia. Sometimes kami semua annoyed sangat dengan dia. "Tapi kalau di luar, tanpa abang, dia akan diam membisu, di sekolah diam membisu, jumpa orang asing lagilah diam membisu. Hanya tunduk dan diam," kongsinya dalam satu catatan di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Disangka autisme, rupanya 2 anak hidap MPS II! Ibu bapa perlu tahu tentang ‘penyakit jarang jumpa’, diagnos boleh makan masa 2 tahun ARTIKEL BERKAITAN: Melulu kaitkan anak autisme, speech delay dengan gangguan jin... ustazah teruk kena ‘sekolah’, pakar psikiatri pun bersuara Apa itu Selective Mutism? Selective Mutism atau 'senyap terpilih' adalah apabila kanak-kanak tidak boleh bercakap dalam keadaan atau setting tertentu, tetapi boleh bercakap dengan baik lancar dan jelas pada keadaan yang lain. Contohnya, kanak-kanak tersebut petah bercakap apabila dikelilingi keluarga, namun berubah menjadi 'bisu' apabila bersama khalayak. Menurut Khairul, dia kemudian cuba melakukan ujian secara dalam talian terhadap situasi anaknya itu, di mana keputusan ujian menunjukkan positif Selective Mutism. Kad temujanji anak bongsu Khairul yang perlu menjalani terapi di HUKM. Tidak menunggu lama, Khairul terus merujuk anaknya kepada doktor pakar kerana situasi tersebut akan menjejaskan pelbagai perkara pada masa hadapan. Hasil pemeriksaan doktor pakar, anaknya sah didiagnos sebagai Selective Mutism. "Punca Selective Mutism ni adalah pelbagai dan kebanyakannya berpunca daripada anxiety dan juga trauma. Jumpa pakar nanti barulah mereka boleh korek dan tahu punca. "Jadi takpe, benda boleh rawat maka kita rawat. Kalau dibiarkan ia akan terus melarat sehingga dewasa," tulis bapa tunggal kepada tiga cahaya mata ini. Menurut Khairul, anaknya perlu menjalani terapi dengan ahli psikologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara berjadual. Tanpa abang, dia akan diam membisu, di sekolah diam membisu, jumpa orang asing lagilah diam membisu. KHAIRUL ABDULLAH BAPA Khairul turut berkongsi rawatan terapi yang dijalani oleh anaknya, merangkumi lima aspek: 1. Pendedahan berperingkat (Graded Exposure) Anak-anak didedahkan kepada stranger atau orang luar secara berperingkat. 2. Proses rangsangan pudar (Stimulus Fading) Anak dibiarkan bercakap dengan bebas bersama ibu, bapa atau ahli terapi mereka. Selepas selesa, proses seterusnya melibatkan pertuturan dengan orang asing (stranger). 3. Membentuk (Shaping) Terdapat pelbagai teknik shaping, antaranya merekod dan memberi anak mendengar suara mereka. Selain itu, ada juga aktiviti bergilir-gilir membaca, atau permainan membaca interaktif, aktiviti bercakap berstruktur dan lain-lain lagi yang mendorong kepada perbualan dua hala. Khaleed (kanan) ceria dan petah apabila dikelilingi abang-abangnya. 4. Peneguhan positif dan negatif Sentiasa respons dengan positif atas setiap jenis atau cara komunikasi anak dengan orang luar. Sentiasa berikan pengalaman positif apabila introduce anak-anak kepada orang luar. 5. Penyahpekaan (Desensisation) Teknik yang melibatkan mengurangkan sensitiviti anak dengan orang luar. Berbanding bercakap secara berdepan, kaedah menggunakan telefon, voice note dan sebagainya juga sesuai dicuba. Tambah Khairul, bagaimanapun terapi ini memerlukan penglibatan dua pihak. "Selain therapist membantu anak, kita sendiri kena tahu dan sambung terapi tu di rumah. Biasanya anak-anak yang dah jalani terapi ambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk baik daripada kondisi ini. "Kalau tak dirawat langsung maka ia akan berlarutan sampai anak ke universiti dan alam pekerjaan nanti. "Semoga dipermudahkan buat semua mak ayah yang ada anak Selective Mutism ini," tulisnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI