suria

“Kadang-kadang fikir arwah jauh sebab bertugas” - Balu, anak jurulatih penerbangan lega Perkeso tampil permudah urusan bantuan

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyampaikan faedah bantuan Perkeso kepada waris Allahyarham Fajim Juffa.

PEMERGIAN jurulatih penerbangan, Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal yang terkorban dalam satu kemalangan membabitkan pesawat ringan di Ipoh, Perak pada tanggal 1 Ogos lalu, benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat keluarganya.

Menyifatkan pemergian bapanya begitu mengejut, anak kedua Fajim Juffa iaitu Farisah Natasha, 23, berkata mereka sekeluarga seakan-akan tidak percaya dan berasa arwah seolah-olah sedang bertugas seperti biasa.

"Arwah abah bekerja di Ipoh, dan pulang ke Semenyih apabila tibanya hujung minggu. Selepas pemergiannya, kadang-kadang kami fikir arwah seolah-olah berjauhan kerana bertugas.

"Bercakap soal pemergiannya, semestinya kami terkesan kerana kehilangan satu-satunya lelaki dalam keluarga. Saya, kakak dan adik perempuan sememangnya sangat rapat dengan arwah abah.

"Lebih terkesan apabila tibanya hal-hal yang biasa diuruskan oleh orang lelaki," ujar Farisah ketika ditemui mStar.

Farisah ditemui di kediamannya di Semenyih, Selangor selepas mendapat kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada Sabtu.

perkeso new

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyantuni waris Allahyarham Fajim Juffa.

Dalam kejadian pada malam Sabtu minggu lalu, pesawat ringan yang dinaiki Fajim Juffa, 52, dan rakannya yang juga jurulatih penerbangan, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dilaporkan hilang kawalan dan terhempas di Medan Gopeng, Ipoh.

Insiden malang itu mengorbankan nyawa Fajim Juffa manakala Muhammad Din Fikri mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hayati Nawi, 50, dan tiga anak perempuan iaitu Farah Hani Filzah, 25, Fatini Nadia Qistina, 17, dan Farisah.

Farisah yang merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Petaling Jaya juga berkata, berita pemergian bapanya turut dirasai oleh teman rapat dan pelajar penerbangan di bawah seliaan Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan beradik yatim piatu terharu Perkeso tampil bela nasib selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19

"Arwah seorang yang jenis berkawan tanpa mengira pangkat dan sangat peramah. Oleh itu semua yang rapat dengan arwah sememangnya sangat terkesan dengan berita duka ini.

"Pelajar arwah juga sangat terkesan kerana abah adalah salah seorang daripada dua tenaga pengajar di Bats Aviation Sdn Bhd. Menurut mereka, abah seorang yang tegas ketika mengajar namun sering berhubung dengan abah dalam pelbagai perkara," ujarnya.

Sementara itu Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi PERKESO, Ismail Abi Hashim berkata, Skuad PERKESO Prihatin mengambil langkah proaktif dengan menyemak rekod caruman Allahyarham sebaik sahaja mendapat maklum mengenai berita kemalangan tersebut pada 1 Ogos.

perkeso 3

Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim bertanya khabar tiga anak perempuan Allahyarham Fajim Juffa.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh skuad, Allahyarham adalah seorang pekerja yang berdaftar dan mempunyai caruman yang sah di bawah PERKESO.

"Berdasarkan maklumat tersebut, skuad PERKESO Prihatin tampil membantu urusan-urusan berkaitan dengan proses kes ini, membantu waris tanpa menunggunya mengemukakan tuntutan.

"Kes ini adalah kes bencana kerja dan berdasarkan maklumat itu, PERKESO telah memproses kes ini di bawah Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Faedah ini membolehkan waris menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di mana balu dan seorang lagi anaknya yang masih belajar layak menerima tersebut," ujarnya.

Skuad PERKESO Prihatin tampil membantu urusan-urusan berkaitan dengan proses kes ini, membantu waris tanpa menunggunya mengemukakan tuntutan.

ISMAIL ABI HASHIM

KETUA CAWANGAN SKUAD PRIHATIN DAN SINERGI PERKESO

Ujarnya, waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (untuk seumur hidup) dan anaknya sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

"Setidak-tidaknya ia dapat membantu keluarga Allahyarham dalam urusan kehidupan mendatang. Pihak PERKESO mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Kita seringkali maklum kepada golongan pekerja, pastikan mereka mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.

"Setidak-tidaknya apabila berlaku apa-apa kemalangan luar jangka semasa bekerja, ada bantuan yang boleh disalurkan kerajaan menerusi PERKESO," katanya lagi.

Dalam pada itu, Farisah melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak PERKESO kerana prihatin dan pantas tampil menghulurkan bantuan kepada keluarganya.

"Arwah abah semasa hayatnya memang ada membuat persediaan namun buat masa sekarang kita perlukan sedikit pertolongan dari segi kewangan. Dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga.

perkeso 5

Anak Allahyarham Fajim Juffa (dari kiri) Farah Hani Filzah, Farisah Natasha dan Fatini Nadia Qistina.

"Saya sendiri pun pada mulanya tak tahu apa yang perlu buat kerana saya juga baru mula bekerja. Terima kasih kepada pihak PERKESO kerana membantu handle sehingga berkunjung ke kediaman kami.

"Ada kakitangan yang berterusan membantu dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa serta apa yang perlu dilakukan. Mereka faham situasi keluarga kami ketika ini.

"Saya mewakili keluarga juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana banyak membantu dari segi pengurusan jenazah.

"Juga terima kasih kepada mereka yang prihatin bertanya khabar... tak putus-putus kunjungan yang diterima. Kami ingat pesan arwah abah yang sentiasa menekankan silaturahim, jadi kami gembira apabila menerima kunjungan tetamu," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain