suria

Susukan anak angkat untuk jadi mahram, bakal ibu perlu buat persediaan kaedah ‘induced lactation’

Walau tidak melalui proses hamil ataupun melahirkan, namun ibu angkat boleh menghasilkan susu melalui kaedah 'induced lactation'. Gambar hiasan

TIDAK semua wanita dianugerahkan dengan rezeki mempunyai zuriat daripada rahim sendiri.

Namun, itu bukanlah alasan untuk membuatkan mereka berhenti melakukan apa jua ikhtiar untuk bergelar seorang ibu.

Sekiranya ikhtiar secara rawatan perubatan moden tidak berjaya, ada satu cara lagi yang boleh dipertimbangkan iaitu dengan mengambil anak angkat.

Bunyinya seperti mudah, namun pelbagai prosedur perlu dijalani untuk merealisasikan tujuan tersebut.

Selain aspek perundangan, dokumentasi dan sebagainya, wanita juga perlu membuat persediaan sebelum bergelar ibu dalam erti kata sebenarnya, iaitu menyusukan anak angkat supaya statusnya menjadi 'mahram muabbad' (selama-lamanya) dengan ahli keluarga yang lain seolah-olah si bayi adalah anak kandungnya.

Sungguhpun tidak mengalami proses mengandung dan bersalin, namun ibu angkat boleh menghasilkan susu untuk anak angkatnya melalui kaedah 'induced lactation'.

ARTIKEL BERKAITAN: Susu ibu makin sikit ketika berpuasa, badan pula letih melampau... Ikuti tip ini agar tetap cergas dan bertenaga

Terdapat dua cara bagi kaedah induced lactation:

susu 1

Susu ibu boleh diberikan secara terus dari payudara atau menggunakan botol.

1) Kaedah secara natural iaitu 'basic pumping method'

Sebulan atau dua sebelum mengambil anak angkat, bakal ibu boleh mula merangsang pengeluaran susu badan dengan mengurut payudara sebanyak 8 hingga 10 kali sehari.

Urutan ini mestilah dilakukan selama dua minggu. Setelah dua minggu, boleh cuba menggunakan pam susu elektrik selama 10 hingga 15 minit setiap 3 hingga 4 jam sehari semalam.

Walaupun pada awalnya tiada susu yang keluar, melakukan proses ini secara konsisten akan merangsang pengeluaran susu secara semulajadi.

2) Kaedah hormon

Bakal ibu perlu bersedia sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ketibaan anak angkat kerana kaedah ini mempunyai tiga fasa.

Fasa pertama: Mengambil pil perancang untuk memastikan payudara mengalami perubahan seperti ibu yang mengandung. Bakal ibu akan diberi ubat penambah susu yang perlu diambil setiap hari bersama pil perancang tersebut.

Fasa kedua: Fasa pemberhentian pil perancang dan meneruskan pengambilan pil penambah susu selepas berlaku perubahan payudara.

Fasa ketiga: Bakal ibu perlu mengepam payudara untuk proses pengeluaran susu. Ketika ini susu mungkin belum kelihatan tetapi dengan kekerapan pengepaman dan stimulasi urutan payudara akan membantu penghasilan dan pengaliran susu ibu lebih cepat.

Susu ibu boleh diberikan secara terus dari payudara atau menggunakan botol.

Justeru, sekiranya sudah ada rancangan untuk mengambil anak angkat, bakal ibu boleh berjumpa dengan doktor, kaunselor laktasi atau perunding laktasi untuk membantu memahami kaedah yang terbaik.

Perlu mengerti, proses 'induced lactation' memerlukan kesabaran yang tinggi dan usaha yang gigih.

Namun ramai yang telah berjaya menyusukan anak angkat masing-masing.

Semoga perjalanan ke fasa untuk menjadi seorang ibu akan dipermudahkan! - MyHeartAssoc

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain