ISU kesihatan mental bukan perkara asing dalam kalangan masyarakat Malaysia dan wajar diberi perhatian sepenuhnya. Malah sejak wabak Covid-19 melanda, individu yang mengalami masalah tersebut dilaporkan semakin meningkat. Namun, ramai yang enggan mendapatkan rawatan atau terapi yang sepatutnya kerana masih dibelenggu tanggapan serta stigma negatif masyarakat. Selaras dengan Bulan Kesihatan Mental Sedunia yang berlangsung sepanjang Oktober, Suria KLCC dengan kerjasama The Body Shop menjemput masyarakat untuk bersama-sama menjadi tunjang perubahan stigmatasi isu kesihatan mental sepanjang tempoh kempen yang bermula 10 Oktober hingga 10 November 2022 menerusi tagline #YouMatter. Kolaborasi Suria KLCC bersama Green Ribbon Group dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sokongan daripada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Kesihatan Mental (MIASA) ini mengetengahkan kehalusan karya seni oleh artis belia yang mempunyai pengalaman penyakit mental, di pintu masuk Park Mall. Galeri Seni Negara melalui Program Young Art Entrepreneurs ini turut menekankan bahawa karya seni yang dipaparkan merupakan simbol perjuangan peribadi yang dihadapi golongan terbabit. Safe Space @ Suria KLCC Dilihat sebagai satu-satunya pusat beli belah di Malaysia yang mendukung kempen kesedaran kesihatan mental, pelancaran 'Safe Space @ Suria KLCC' ini adalah untuk membantu mewujudkan suasana selamat dan harmoni bagi kegunaan komuniti. Ruang ini direka khas untuk masyarakat bersepakat dalam membincangkan isu atau permasalahan kesihatan mental. Safe Space @ Suria KLCC platform terbaik untuk ketengahkan isu kesihatan mental. Sejajar dengan nilai sifar diskriminasi yang dititikberatkan dalam penilaian isu kesihatan mental, kempen kesedaran bagi tahun ini dilihat lebih mendalam dan menyeluruh. #YouMatter adalah titik panduan untuk komuniti memberi sinar akan permasalahan kesihatan mental yang lebih sinonim dalam kalangan belia pada hari ini. Bertempat di aras satu Ampang Mall, Safe Space @ Suria KLCC mengalu-alukan kehadiran pengunjung sepanjang tempoh kempen ini berlangsung. Dibuka setiap hari bermula dari jam 10 pagi sehingga 10 malam, destinasi ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel kesihatan, ceramah dan diskusi dari panel professional kesihatan mental. Para pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu kesihatan mental daripada sukarelawan yang juga akan ditempatkan di Safe Space @ Suria KLCC. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, Safe Space @ Suria KLCC adalah ruang yang mengalu-alukan komuniti untuk berinteraksi, berkongsi dan menghayati kesedaran kesihatan mental. "Kami ingin memastikan setiap pengunjung yang berkunjung ke laman ini akan pulang dengan informasi yang lebih mendalam tentang keadaan diri mereka. "Pada masa sama dapat melahirkan perasaan yang lebih tenang dan sedikit sebanyak dapat membantu memberi cetusan keyakinan kedalam diri mereka,” ujarnya. Terdahulu, Suria KLCC telah bersetuju untuk memberi sokongan kepada NGO dalam mendorong kesedaran kesihatan mental melalui bantuan kewangan melalui penjualan Suria Ribbon Pin sepanjang kempen. Kutipan yang berjumlah lebih RM20,000 telah berjaya dikutip dan disumbangkan kepada pihak yang membawa mesej kesihatan mental seperti Befrienders KL dan juga Persatuan Kesihatan Mental Malaysia. Ini adalah inisiatif berterusan dan Suria Ribbon Pin boleh dibeli melalui kaunter pertanyaan dengan jumlah RM10. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI