KISAH rumah tangga pengarah popular Syamsul Yusof yang berkahwin dua kecoh diperkatakan netizen sejak minggu lalu. Dalam satu posting di Instagram, isteri pertamanya iaitu pelakon, Puteri Sarah Liyana ada menyebut tentang narsisistik dan toksik. Mungkin ramai yang pernah mendengar perkataan narsisistik namun tahukah anda penjelasan saintifik di sebalik gangguan personaliti itu? Digelar sebagai gangguan personaliti narsisistik (NPD), ia merupakan gangguan yang didiagnosis secara klinikal berdasarkan ciri-ciri seperti kemegahan, keperluan untuk dikagumi, dan kekurangan empati terhadap orang lain. Walaupun semua jantina boleh mengalami gangguan personaliti narsisistik, kajian menunjukkan lelaki cenderung untuk menunjukkan lebih banyak tingkah laku itu. Perbezaan Sebenarnya personaliti lelaki dan wanita tidak mempunyai perbezaan. Begitu juga dengan ciri narsisistik antara dua jantina itu. Namun, lelaki dan wanita disosialisasikan secara berbeza dan membangunkan ciri-ciri personaliti tertentu, sekali gus perbezaan ini boleh dilihat antara narsisis lelaki dan wanita. Golongan ini biasanya tidak dapat menerima penolakan. "Walaupun terdapat ciri-ciri narsisistik yang dikongsi antara narsisis lelaki dan wanita, terdapat beberapa perbezaan di mana narsisisme mereka dipamerkan," kata penganalisis psikoanalisis Babita Spinelli, lapor MBG. Apabila narsisis lelaki marah, mereka cenderung menjadi agresif dan meletup, terutamanya narsisis malignan. Namun, apabila narsisis wanita marah, Spinelli berkata mereka akan menghukum mangsa mereka dengan menahan perhatian dan kasih sayang. "Narsisis wanita menggunakan pengabaian atau rasa bersalah sebagai satu bentuk kawalan, sementara narsisis lelaki lebih cenderung menggunakan kuasa dan status sebagai satu bentuk kawalan," ujarnya. Berikut kami kongsikan tujuh ciri-ciri narsisistik 1. Tak boleh terima penolakan Satu cara untuk membuat orang narsisis marah adalah dengan menolak mereka. Inilah sebabnya ia boleh menjadi sangat berbahaya untuk berpisah dengan seorang narsisis. Menurut Interpid Mental Health, individu narsisis cenderung untuk mempercayai bahawa mereka lebih hebat daripada anda sehingga mereka tidak tahan dengan idea bahawa anda mungkin tidak mahu bersama mereka atau berada di sekeliling mereka. Golongan itu juga bijak memanipulasi perasaan orang. Apabila narsisis ditolak, mereka akan bertindak balas dengan menghidupkan daya tarikan yang dimiliki pada permulaan hubungan. Jika itu tidak berjaya, mereka boleh menjadi marah dan ganas. 2. Suka bercakap tentang diri sendiri Narsisis taksub dengan diri mereka sendiri dan itu bermakna mereka adalah subjek kegemaran mereka sendiri. Mereka melihat dunia dan segala hal lain dalam perspektif yang akhirnya akan berbalik kepada diri mereka semula. Jadi respons mereka terhadap apa yang anda katakan akan sentiasa meletakkan perspektif mereka sendiri kembali dalam perhatian. Mereka mempunyai sedikit empati dengan orang lain, jadi mereka mungkin tidak akan dapat memahami pandangan anda. 3. Sensitif dengan kritikan Narsisis tidak tahan apabila dikritik. Apabila anda mengatakan apa-apa kepada seorang narsisis yang seolah-olah anda tidak bersetuju dengan tindakan mereka, narsisis biasanya akan bertindak balas dengan menyelar dan menyerang anda. 4. Pujian dalam hinaan Narsisis sentiasa mencari cara untuk menjadikan diri mereka lebih hebat daripada orang lain, dan satu cara mereka melakukannya adalah melalui pujian. Narsisis adalah pakar dalam menggunakan kata-kata dan tindakan. Mereka akan menggunakan bahasa dengan berhati-hati supaya apa yang mereka perkatakan pada mulanya kedengaran positif tetapi kemudiannya bertukar menjadi satu penghinaan. Berikut merupakan contoh pujian dalam hinaan yang akan dituturkan oleh orang narsisis: "Wah, hebatnya kau boleh berjaya sehingga ke tahap ini walaupun keputusan akademik kau biasa-biasa je. 5. Manipulasi perasaan Narsisis mencari kawalan ke atas segala-galanya dan semua orang di sekeliling mereka. Mereka suka jika dapat memanipulasi perasaan orang lain kerana mengawal orang lain membantu mereka mendapatkan apa yang mereka mahukan. Narsisis adalah pakar dalam menggunakan kata-kata dan tindakan untuk membuat orang lain berasa buruk tentang diri mereka sendiri atau bahkan untuk marah kepada orang lain. Dalam keluarga atau kumpulan rakan, narsisis akan sering bercakap buruk tentang orang lain dalam kumpulan untuk mewujudkan konflik. Mereka suka jika semua orang di sekeliling mereka bertentangan antara satu sama lain kerana ia membolehkan mereka lebih mudah mengawal keadaan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI