suria

Sama-sama rasa… Perkeso raikan hampir 160 penerima faedah sempena Tahun Baru Cina 2023

Tetamu jemputan diraikan di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Perkeso.

SEMPENA sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada Ahad ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), agensi Kementerian Sumber Manusia, meraikan kira-kira 160 penerima faedah Perkeso.

Tetamu yang diraikan terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan yatim piatu, serta penerima faedah di bawah pelbagai skim Perkeso dari sekitar Lembah Klang yang dijemput ke majlis penuh kemeriahan di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Mereka menerima sumbangan berupa angpau, hamper dan bayaran faedah bertujuan untuk meringankan bebanan perbelanjaan dan menggembirakan mereka semasa musim perayaan ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata program sebegini memberi ruang dan peluang kepada Perkeso untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

V.Sivakumar (pertama dari kiri), A. Maniam (dua dari kiri) dan Azman Aziz (tiga dari kiri) menyampaikan angpau kepada salah seorang anak yatim yang diraikan.

“Program tanggungjawab sosial yang dilaksanakan Perkeso seperti majlis pada hari ini bertujuan untuk mendalami keperluan semasa masyarakat, seiring dengan perubahan landskap demografi dan peredaran masa.

“Ini akan membolehkan Perkeso mengenal pasti pendekatan yang sesuai dalam merangka suatu jaringan perlindungan sosial yang lebih komprehensif daripada semasa ke semasa.

“Sempena tahun baharu 2023 dan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, Perkeso akan memperkukuhkan lagi tekad dan iltizam untuk melaksanakan inisiatif baharu bagi memastikan lebih ramai golongan rakyat dapat dilindungi. Ia demi mencapai matlamat memberikan perlindungan keselamatan sosial yang inklusif buat semua,” katanya menerusi ucapan pada majlis berkenaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang menghargai dan menyokong usaha Perkeso untuk merapatkan hubungan dengan pemegang taruhnya yang terdiri dari pelbagai bangsa dan kepercayaan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, A. Maniam serta Pengerusi Lembaga Perkeso, Dato’ Sri Subahan Kamal.

Sivakumar berkata penganjuran program seperti ini memastikan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim dan pencarum Perkeso yang ditimpa musibah tidak terkecuali daripada merasai sinar kegembiraan ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjengah.

V. Sivakumar (kedua dari kiri) memberikan replika cek kepada penerima faedah hilang upaya kekal.

Beliau seterusnya menekankan Perkeso sebagai sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa menambah baik perlindungan sosial yang diberikan kepada pencarumnya dan memastikan tiada yang tercicir.

“Sehubungan itu, saya ingin memaklumkan bahawa kementerian akan melaksanakan semakan semula, juga pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Kementerian juga bercadang untuk memperkenalkan perlindungan yang tidak berkaitan dengan bencana kerja, faedah cuti bersalin, serta perlindungan warga tua.

“Seiring dengan perluasan perlindungan keselamatan sosial di negara ini, Perkeso melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Akta 838 (Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022), bermula 1 Disember 2022.

“SKSSR ini terbuka kepada suri rumah sepenuh masa atau tidak, sama ada berkahwin atau bujang, serta ibu tunggal, sekiranya mereka belum mencecah usia 54 tahun,” ujarnya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

V.Sivakumar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan tetamu jemputan.

Sivakumar menggesa agar orang ramai mencarum di bawah Perkeso demi jaminan keselamatan sosial di masa hadapan kerana musibah boleh menimpa pada waktu yang tidak disangka-sangka.

“Pada bulan lalu, kita dikejutkan dengan tragedi yang amat menyayat hati, kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor yang mengakibatkan 31 individu termasuk 13 kanak-kanak meninggal dunia.

“Setelah semakan dibuat, enam waris daripada mangsa yang meninggal dunia adalah pencarum Perkeso, melayakkan waris mereka untuk menerima faedah Perkeso.

“Mereka layak menerima Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, Akta 4.

“Saya dimaklumkan bahawa faedah-faedah Perkeso sudah disampaikan kepada waris-waris mereka,” kata Sivakumar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain