suria

Putus hubungan di dunia, bakti arwah terus mengalir buat keluarga! Waris akui SKSSR bantu ringan beban, harap lebih ramai suri rumah mendaftar

V. Sivakumar (empat dari kiri) bersama waris suri rumah pencarum SKSSR pada Majlis Penyerahan Faedah SKSSR di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan.

APABILA seseorang itu menemui ajal, maka terputuslah segala hubungannya dengan kehidupan di dunia.

Namun, kisah empat suri rumah berinsurans (SRB) ini wajar menjadi pedoman apabila mereka masih dapat berbakti kepada keluarga biarpun sudah dijemput Ilahi.

Menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), waris kepada SRB yang telah meninggal dunia turut menerima pelbagai manfaat, sekali gus dapat meringankan beban kehidupan mereka.

Bagi Shamsuddin Mustaffa misalnya, duda berusia 54 tahun itu bersyukur menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di bawah SKSSR selepas isterinya, Allahyarham Aniza Aziz meninggal dunia akibat pendarahan 'upper gastrointestinal' pada 5 Januari lalu.

Melalui skim itu, anak arwah dengan suami pertamanya, Muhammad Adam Harris Muhamad Norlie, 16, yang masih bersekolah turut layak menerima Pencen Penakat.

Shamsuddin bersyukur  menerima FPM di bawah SKSSR selepas kematian isterinya, baru-baru ini.

Shamsuddin bersyukur menerima FPM di bawah SKSSR selepas kematian isterinya, baru-baru ini.

"Saya dulu kerja dengan Pos Malaysia, tapi dah bersara awal. Saya mengalami penyakit gout kronik. Arwah isteri saya adalah suri rumah sepenuh masa. Saya tahu dia ada buat caruman ini. Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban anak yang masih bersekolah, serba-sedikit dapat membantu.

"Saya sedar masih ramai yang tak tahu mengenai SKSSR kerana ia juga baru dilancarkan. Tapi eloklah kalau lagi ramai yang mendaftar. Kalau terjadi apa-apa, sekurang-kurangnya ada perlindungan. Saya juga akan uar-uarkan lagi mengenai SKSSR ini kepada kawan-kawan dan keluarga," ujar Shamsuddin.

Seorang lagi waris kepada SRB, Che Noor Shamimi Che Awang, 26, turut menzahirkan rasa syukur selepas menerima FPM di bawah SKSSR selepas ibunya Allahyarham Zainab Mamat meninggal dunia akibat 'acute inferior myocardial infraction' pada 5 Disember lalu.

Anak bongsu arwah, Che Muhamad Nazmi Farhan, 19, juga layak menerima Pencen Penakat di bawah SKSSR.

Shamsuddin dan Che Noor Shamimi antara empat waris SRB yang juga penerima Faedah SKSSR Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar menerusi satu majlis di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan, pada Isnin.

Che Noor Shamimi bersyukur menerima FPM di bawah SKSSR selepas ibunya meninggal dunia pada 5 Disember lalu

Che Noor Shamimi bersyukur menerima FPM di bawah SKSSR selepas ibunya meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Dalam ucapannya, Sivakumar berkata sekurang-kurangnya tiga juta wanita di negara ini layak mencarum SKSSR di bawah Perkeso.

Tambahnya, dalam tempoh kurang dua bulan pelaksanaan, dianggarkan 140,000 wanita berusia bawah 55 tahun telah berdaftar di bawah skim ini yang dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu.

Sivakumar berkata SKSSR dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pencarum.

Sivakumar berkata SKSSR dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pencarum.

"SKSSR bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah terhadap bencana domestik, keilatan ataupun kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.

"Demi menjaga kebajikan golongan suri rumah terutamanya daripada golongan rentan, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk menaja caruman SKSSR kepada 150,000 orang suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum di bawah i-Suri KWSP.

"Susulan inisiatif kerajaan itu, Perkeso telah menjalankan rujuk silang data 135,357 penerima e-Kasih yang mencarum dgn i-Suri dengan data dari Jabatan Pendaftaran Negara. Hasil daripada proses tersebut, Perkeso mendapati seramai 37 orang suri rumah yang dilindungi SKSSR telah meninggal dunia dalam tempoh 1 Disember tahun lalu sehingga 11 Januari lalu.

Sekitar majlis yang diadakan di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan pada Isnin.

Sekitar majlis yang diadakan di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan pada Isnin.

"Ini sekali gus melayakkan waris kepada suri rumah terbabit menerima manfaat SKSSR," ujarnya yang turut menyampaikan Kotak Prihatin Perkeso bersama ketua eksekutif agensi itu, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menurut Sivakumar lagi, di bawah Akta 838, waris kepada SRB yang meninggal dunia layak menerima FPM sebanyak RM2,000 manakala bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.

"Faedah berkenaan adalah faedah yang disediakan di bawah SKSSR apabila berlaku kematian yang mana ia dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun.

"Adalah menjadi harapan saya agar faedah yang disediakan oleh Perkeso menerusi SKSSR ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang ditinggalkan pencarum.

"Skim ini mengiktiraf peranan suri rumah dalam melaksanakan kerja-kerja pengurusan rumah tangga yang selama ini mungkin tidak dilihat sebagai satu sumbangan kepada pembangunan institusi keluarga dan negara" ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain