KISAH seorang lelaki yang mengalami kesedihan melampau selepas isterinya meninggal dunia pada tahun lepas ternyata mengundang sebak dalam kalangan netizen. Menerusi video tular, lelaki berumur 20-an itu dilihat menangis dan meraung ketika mendapatkan rawatan bersama Ustaz Mohamad Hasnan Rili di Pusat Rawatan Islam Ar-Syifa, Pajam, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Ketika dihubungi mStar, perawat yang berasal dari Sarawak itu sempat berkongsi cerita mengenai mangsa yang mengalami anxiety selepas isterinya meninggal dunia akibat sakit misteri. "Sebenarnya, lelaki ini pernah bawa arwah isterinya datang berubat dengan kita. Dalam tiga bulan kita rawat arwah. Dia memang sakit teruk. Badan dah tinggal rangka, memang kesian tengok dia. Kalau nak kata buatan orang tu, saya no comment. Kita cuma ikhtiar nak bagi pulih, sebab gangguan tak nampak. "Selepas isterinya meninggal dunia tahun lepas, dia jadi macam anxiety. Tak boleh terima kematian isteri dia. Antara simptom dialami seperti tak boleh tidur malam, tiada selera makan, sakit dekat ulu hati, dia ketar, berdebar, menangis tak berhenti dan asyik fikir kematian arwah saja. "Suami ni pun dah pergi bercuti, sebulan dia keluar rumah untuk healing diri. Tapi bila dia balik rumah, benda sama berulang. Mereka ni pasangan baru kahwin. Suami umur dalam 20-an, arwah isteri pun masih muda," ujarnya. Ustaz Nan akui berdepan banyak kes individu yang mengalami kesedihan akibat kematian pasangan. Menurut perawat yang mesra disapa Ustaz Nan itu, pesakit diberi bahan ikhtiar untuk digunakan secara harian dan kini keadannya semakin stabil. "Macam kita, lebih kepda kaedah ruqyah, doa, bagi bahan ikhtiar. Kita beri bahan ikhtiar untuk guna di rumah. Antaranya minyak bidara, air semburan, lepas tu minyak kasturi, air mineral yang dah kita ruqyah dan juga air titis mata. Bahan ini tak digunakan untuk mandi, sebaliknya sembur saja pada badan. "Alhamdulillah, keadaan dia sekarang beransur tenang walaupun belum pulih 100 peratus. Kalau ikut apa dia beritahu, sekarang dah sihat 70 peratus. Cuma ada lagi kadang-kadang waktu malam terbayang. ARTIKEL BERKAITAN: Alami luka, berdarah secara tiba-tiba... Kazim Elias akhirnya bercerita tentang penyakit misterinya "Kebiasaannya, bahan ikhtiar yang kita bagi untuk rawatan selama dua minggu. Kita sarankan guna tiga kali setiap hari, macam makan ubat," ujarnya lagi. Menurut Ustaz Nan yang sudah enam tahun berkhidmat sebagai perawat alternatif Islam, dia sudah berdepan banyak kes sebegini dan menasihatkan pasangan terlibat agar merujuk pihak berkepakaran bagi mengelakkan kesedihan berpanjangan. "Kes macam ni terlalu banyak. Boleh kata ribuan kes sepanjang tahun. Bila kita lihat masalah kematian pasangan ni, ia bukan berlaku kepada orang biasa saja, malah turut berlaku dalam kalangan orang berilmu. "Jadi kita sarankan carilah perawat Islam atau kaunseling supaya kita lebih tenang jika mengalami masalah yang menjejaskan emosi serta kehidupan harian. Benda ini kita tak boleh hadap sendirian. Kena jumpa orang yang boleh bantu kita. "Satu pesanan, rawatan ini cuma ikhtiar saja. Perawat tak ada kuasa, sebaliknya hanya Allah yang memberi kesembuhan. Kita sebagai manusia biasa, kena cari ikhtiar, kami bantu untuk cari kesembuhan," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube