SAIZNYA mungkin kecil tapi serangga ini cukup bahaya bukan hanya kepada kulit tetapi juga pakaian. Justeru berhati-hatilah dengan serangga yang selalu ‘datang’ tanpa kita sedari ini. Baru-baru ini kecoh di Twitter apabila seorang wanita berkongsi kisah mengenai kamitetep (bagworm) sehingga meraih perhatian netizen mengenai serangga ini. Untuk makluman, kamitetep kelihatan seperti kepompong biji kuaci tetapi permukaan badannya kelihatan seperti berpasir. Kamitetep merupakan serangga bersaiz kecil. Ia adalah sejenis serangga perosak yang akan bertukar menjadi kupu-kupu setelah dewasa. Serangga yang dikenali sebagai kamitetep ini atau dalam bahasa saintifiknya adalah Phereoeca Uterella adalah berbahaya jika ia membiak di kawasan rumah anda. Memakan fabrik untuk meneruskan kehidupan, serangga ini juga akan memakan kain serta pakaian kita sekiranya ia ‘berkampung’ dalam almari. Kesan daripada sengatan itu akan menimbulkan bengkak dan lebam selama beberapa hari. Kamitetep boleh merosakkan pakaian anda. Terdapat pelbagai kaedah mencegah dan membasmi serangga ini daripada terus membiak di dalam rumah. Cara atasi masalah serangga kamitetep adalah: 1. Pastikan ruang simpanan baju atau almari pakaian tidak lembap. 2. Jaga kebersihan kawasan rumah terutamanya habuk yang banyak dan barang-barang tidak digunakan lagi. 3. Pastikan pakaian yang dibasuh betul-betul kering sebelum disimpan di dalam almari atau tempat simpanan pakaian. 4. Jika terdapat kehadiran kamitetep, lakukan pembersihan dan penyelenggaraan di seluruh ruang dan hapuskan segera serangga itu. Serangga ini boleh hadir di kawasan berhabuk dan tidak dicuci dengan baik. 5. Pastikan anda membersihkan sarang labah-labah atau sawang yang terdapat di dalam rumah kerana ia adalah tempat disukai oleh serangga unik ini. 6. Ketika mahu membasmi serangga kamitetep ini, anda disarankan menggunakan alatan pembersihan bagi mengelak berlakunya gigitan. Apa yang penting adalah anda perlu menjaga kebersihan rumah, sapu debu dan sawang untuk mencegahnya daripada terus membiak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube