suria

Anak sulung baru usia 9 bulan, dah hamil lagi! Wanita lega kehamilan ketiga berjarak 5 tahun - “Jujur cakap, berganda-ganda tenang”

Wanita ini menceritakan pengalaman membesarkan tiga anaknya.

MERANCANG kehamilan pada zaman ini adalah satu tindakan yang dilihat bijak dan bertanggungjawab.

Justeru pasangan baru berkahwin perlu memberi perhatian dan tahu bagaimana mereka boleh merancang keluarga dengan baik.

Jarak kelahiran yang terlalu rapat bukan sahaja mengundang bahaya pada kandungan tetapi juga berisiko tinggi untuk ibu yang perlu berdepan proses kehamilan selama sembilan bulan.

Ibu mungkin akan penat dari segi mental, terutamanya bagi mereka yang perlu menguruskan hal rumah tangga, peribadi dan anak yang mungkin masih menyusu.

Sebagaimana dikongsikan, Nur Amalina Roslee, katanya, dia berasa lega apabila dapat menjarakkan tempoh selama lima tahun sebelum mengandung semula anak ketiga.

Menceritakan pengalaman sebelum ini iaitu ketika melahirkan cahaya mata kedua, katanya, dia terpaksa melakukan kerja-kerja berganda dalam menguruskan dua anak.

Jarak usia anak terlalu dekat menyebabkan Amalina terpaksa melakukan kerja dua kali ganda. - Gambar hiasan

Situasi ini perlu ditanggungnya kerana jarak usia anak sulungnya, Auris dan Dyan (kedua) begitu rapat iaitu sekitar satu tahun lebih.

“Jujur cakap, beranak jarak jauh ni berganda-ganda tenang. Dulu Auris dengan Dyan rapat. Auris baru sembilan bulan, saya dah mengandungkan Dyan.

“Jadi nak buat apa-apa kena double. Mandikan, bagi makan dan minum susu. Bersepah pun dua kali gandalah.

“Bila keluar si bongsu ni, jarak lima tahun dengan kakak dia. Mereka dua beradik (Auris dan Dyan) tu dah boleh urus diri sendiri (makan, mandi dan kemas mainan),” katanya.

Bukan itu sahaja, kedua-dua anaknya itu juga boleh membantu meringankan kerjanya dengan menjaga adik bongsu ketika Amalina mandi dan solat.

ARTIKEL BERKAITAN: Masa jadi suri rumah dilayan macam hamba, dah kerja terus dapat layanan baik... isteri terguris suami cuma sayang gajinya

Bagaimanapun, katanya, pengawasan ibu atau orang dewasa masih diperlukan kerana bimbang sekiranya ‘gurauan’ anak-anak boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.

“Boleh tolong jaga adik kalau kita nak mandi, makan dan sembahyang. Tapi part depa (mereka) mengacau tu tak boleh buat apalah. Adik (anak bongsu) tengah tidur, mereka main terjun-terjun.

“Adik meniarap elok, mereka golek adik tu macam ayam. Kita tinggal sekejap, mereka selubung adik. Allah lemah jantung. Nak marah tak boleh sebab mereka banyak tolong,” ujarnya lagi.

Walaupun begitu, Amalina bersyukur dan menghargai pertolongan anak sulungnya, Auris yang banyak membantu dalam menguruskan keluarga.

Berbeza pula dengan anak perempuannya Dyan, dia lebih suka mengadu sahaja seandainya si bongsu menangis atau muntah.

Menguruskan anak bukanlah satu tugas mudah buat wanita bergelar ibu. - Gambar hiasan

“Apa pun saya berterima kasih banyak dekat si sulung. Dia banyak jaga adik. Tengah buat kerja sekolah dia tepuk adik. Tengah main pun dia sempat juga suap botol dekat adik.

“Mungkin dia dah terbiasa jaga adik dari kecil. Kalau kakak, dia anggap adik tak ‘wujud’. Kadang dia langkah saja budak tu.

“Tapi dia tak pernah buat adik. Dia jadi tukang mengadu saja. Ibu baby menangis, ibu baby muntah, ibu baby bising. Cukuplah kot tiga orang dah (jumlah anak),” tulisnya menutup kisah.

Sesungguhnya, kenyataan bahawa anak adalah rezeki itu adalah benar.

Namun harus diingat anak juga adalah amanah yang perlu diuruskan dengan baik kerana apa gunanya mempunyai ramai anak tetapi ibu bapa tidak mampu memberikan perhatian dan menyediakan keperluan yang cukup buat mereka.

Susulan perkongsian tular ini, dapatlah kita rumuskan bahawa ibu bapa perlu bijak merancang keluarga dan kehamilan!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain