suria

Hati-hati selenggara bahagian bawah kereta, silap teknik nyawa melayang! Ini cara betul guna ‘jack’ kereta

Beberapa langkah perlu diberi perhatian ketika menggunakan jack untuk menyelenggara kereta.

TULAR kisah seorang lelaki dihempap keretanya sendiri ketika membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

Kejadian tragis yang berlaku di Putrajaya ini mengakibatkan mangsa meninggal dunia apabila bahagian lehernya dikatakan terkena tepat pada disc brake.

Insiden seperti ini biasanya terjadi kepada individu yang sedang menukar tayar atau membuat pemeriksaan pada bahagian bawah kereta tanpa menggunakan alatan yang betul.

Tangkap layar kisah tular lelaki maut dihempap kereta.

Antara alatan penting yang sepatutnya digunakan adalah ‘jack’ yang berfungsi untuk mengangkat dan menampung bebanan kereta.

Jika sudah mempunyai jack, penting juga untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga serta mengetahui cara menggunakannya dengan betul.

Selain digunakan untuk menyelenggara di bahagian bawah kereta, jack juga digunakan menggantikan tayar.

Terdapat enam langkah anda perlu tahu sebelum menukar tayar menggunakan jack kereta:

1. Tarik brek tangan dan alih gear ke ‘P’ (Parking)

Parkir kereta di kawasan rata dan lapang sebelum memulakan kerja menyelenggara atau membaiki.

Pastikan brek tangan ditarik dan gear berada di bahagian P (parking) sebelum mula menaikkan dasar kereta dengan jack.

Ini amat penting supaya tayar tidak bergerak bagi mengelakkan kenderaan anda daripada tergelincir ke depan atau belakang.

Dalam keadaan ini, kereta anda berisiko untuk jatuh atau terlepas dari ‘jack’ yang digunakan (‘scissor jack’ mempunyai tapak yang amat kecil) dan boleh mencederakan diri sendiri.

2. Pastikan anda mempunyai peralatan yang betul

Dengan peralatan yang betul dan sesuai, semua kerja jadi senang dan paling penting selamat.

Untuk menukar tayar pancit, anda perlukan alatan ini:

a. Spanar

b. Jack’ (kebanyakan kereta didatangkan dengan ‘scissor jack’)

c. Pemegang ‘jack’ atau jack stand (selalunya perlu dibeli berasingan)

Kit peralatan asas di dalam kereta selalunya mempunyai peralatan-peralatan ini kecuali jack stand.

3. Cari lubang pemasangan jack

Kebanyakan kereta mempunyai lubang jack yang ketara dan berlabel di bahagian bawah.

Sekiranya tidak dijumpai, anda boleh merujuk buku panduan pemilik untuk cari di mana lubangnya.

Meletakkan jack di tempat selain daripada lubangnya akan mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian mekanikal serta chassis kereta.

Kereta baharu mempunyai ketebalan bingkai yang berbeza-beza bagi mengurangkan berat keseluruhan.

Pastikan anda cukup berhati-hati ketika meletakkan atau memasang ‘jack’.

Bagi kereta lama, seeloknya gunakanlah pelapik getah ataupun blok kayu bagi menjaga kondisi badan kereta.

Beberapa jenis kereta, contohnya BMW E30 lama, mempunyai lubang 'jack' yang mudah berkarat terutama sekali jika bersentuhan secara langsung dengan ‘jack’ lantai.

4. Longgarkan nat tayar sebelum mengangkat atau ‘jack’ kereta

Longgarkan sedikit nat tayar yang hendak ditukar sebelum anda ‘jack’ kereta kerana lebih mudah untuk dilonggarkan sebelum diangkat.

Anda pasti tak mahu menggoyangkan kereta ketika beratnya hanya ditampung oleh 'jack'.

Jika rim kereta anda ada penutup plastik pada natnya, buka terlebih dahulu.

Spanar X (kiri) dan 'scissor jack'.

5. Letak tayar ganti di sebelah jack

Proses menukar tayar mungkin lama sedikit jika anda hanya ada ‘scissor jack’.

Anda perlu sabar dan hati-hati supaya kereta tidak tercalar sepanjang proses ini.

Letakkan tayar ganti di bawah badan kereta bersebelahan dengan ‘jack’ untuk menampung beratnya sekiranya alatan yang digunakan terlepas dan menyebabkan badan kereta jatuh mengejut.

Letakkan tayar ganti di sebelah jack.

6. Ganti tayar

Apabila kereta sudah dinaikkan dan natnya sudah dilonggarkan sedikit, anda boleh teruskan membuka nat tayar yang pancit dan gantikannya dengan tayar ganti.

Pasang tayar ganti dengan cermat dan ketatkan nat dengan menggunakan spanar.

Jangan gunakan kaki atau pijak spanar kerana nat boleh jadi terlalu ketat.

Apabila tayar ganti sudah selamat dipasang, anda boleh pusingkan ‘jack’ dari arah bertentangan dan turunkan kereta.

Tayar gantian biasanya disediakan pada setiap kereta baharu dibeli.

Sebelum spanar disimpan, anda boleh cuba kemaskan lagi sedikit nat tayar yang diganti tadi tapi ingat, jangan terlalu ketat.

Pastikan tayar ganti selamat untuk digunakan dan cukup angin supaya anda boleh teruskan perjalanan dengan tenang.

Namun, harus diingatkan jika anda tak cukup peralatan, panggil sajalah orang lain untuk servis atau kenalan datang membantu. -WAPCAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain