suria

Menu Rahmah tak bersalah! Ketahui 3 mitos dan fakta mengenai punca autisme, kanser

Tiada bukti saintifik autisme dan kanser berpunca daripada pemakanan.-foto THE STAR

MENU Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari lalu merupakan program pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tujuan ia dilancarkan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama miskin tegar dan golongan B40 yang mana makanan siap dimasak ditawarkan pada harga munasabah iaitu RM5.

Konsep Menu Rahmah ialah hidangan tengah hari atau malam yang seimbang nutrisi, lengkap dengan karbohidrat, sumber protein dan sayuran.

Bagaimanapun, baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang ahli Parlimen mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme dan kanser.

Infografik dikongsikan oleh Public Health Malaysia.

Menurutnya, penyediaan makanan yang berharga rendah akan menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah (low quality).

Kenyataannya ini ternyata amat mengelirukan pelbagai pihak termasuklah netizen.

Setelah tular mengenai kenyataan tersebut, Public Health Malaysia (PHM) tampil membuat satu perkongsian mengenai autisme dan makanan bagi memisahkan fakta dan mitos.

Terdapat tiga mitos dan fakta adalah seperti berikut:

1. Mitos: Autisme disebabkan oleh makanan

Fakta: Tidak ada bukti ilmiah yang menyokong idea bahawa makanan atau diet tertentu menyebabkan autisme.

Mengubah pola makan tidak menyembuhkan autisme.

2. Mitos: Autisme boleh disembuhkan dengan mengubah pola makan.

Fakta: Tidak ada ubat untuk autisme, dan mengubah pola makan tidak akan menyembuhkan autisme.

3. Mitos: Ibu hamil boleh menyebabkan bayi mendapat autisme dengan apa yang mereka makan semasa mengandung.

Fakta: Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa diet ibu semasa hamil boleh menyebabkan autisme.

Menurut perkongsian itu juga, percaya pada mitos tentang autisme dan makanan boleh menyebabkan stigmatisasi dan menyalahkan individu yang menghidapi autisme serta keluarga mereka.

Sebaliknya, kita harus memberi sokongan dan dorongan kepada individu penghidap autisme dan keluarga mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain