suria

Pesakit diabetes pergi ‘event’ tak perlu bersusah tahan nafsu makan manisan, boleh cuba 5 teknik ini

Penghidap diabetes boleh mengambil manisan melalui teknik ini. (Gambar hiasan, Freepik)

PENGHIDAP diabetes dikatakan perlu menahan diri daripada mengambil makanan atau minuman yang manis.

Pastinya satu bentuk penyeksaan apabila perlu melihat orang di sekeliling menikmati beraneka juadah makanan manakala mereka harus menahan nafsu.

Ini kerana diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah adalah tinggi dari normal.

Ia adalah satu daripada faktor utama yang boleh membawa kepada sakit jantung atau angin ahmar.

Namun begitu, pesakit diabetes sebenarnya boleh makan manisan tetapi secara terkawal melalui teknik-teknik ini.

Ayuh kita lihat!

Penghidap diabetes harus berhati-hati dengan kandungan gula dalam darah. (Gambar hiasan, Freepik)

1) Buat jadual pemakanan

Penderita diabetes dibolehkan untuk mengambil makanan manis pada waktu-waktu tertentu. Misalnya pada hari perayaan atau acara keramaian.

Tetapi sebelum mengambil makanan manis, buat perancangan yang rapi. Contohnya waktu yang dibenarkan untuk mengambil makanan manis, jumlah kuantiti yang boleh diambil dan jadual diet pada hari yang berikutnya.

Disarankan untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat beberapa hari sebelum mengambil makanan manis.

Banyakkan pengambilan nutrien dan mineral seimbang berserta diet yang sihat sebagai persediaan untuk tubuh.

2) Berhati-hati dengan makanan bebas gula

Jangan mudah percaya dengan makanan bebas gula yang mengatakan produk mereka sebagai sajian sihat.

Makanan bebas gula sebenarnya memiliki kandungan gula yang sama banyaknya, cuma mereka menggunakan gula alternatif.

Selain itu, ada beberapa bahan lain yang penghidap diabetes perlu berwaspada seperti tepung dan karbohidrat.

Manisan boleh diambil tetapi harus mempunyai disiplin. (Gambar hiasan, Freepik)

3) Berjaga-jaga dengan minuman

Selain makanan, gula juga banyak tersembunyi dalam minuman. Terutama minuman di dalam kotak atau botol. Minuman seperti ini adalah sangat berbahaya kepada penghidap diabetes.

Walaupun minuman seperti jus buah-buahan boleh dikatakan sebagai sihat tetapi kandungan gulanya adalah tinggi. Minuman manis juga boleh menyebabkan pengambilan kalori harian berlebihan dari yang sepatutnya.

Salah satu minuman yang disarankan untuk penghidap diabetes yang ingin mengambil makanan manis adalah air mineral.

Untuk menambah perisa ke dalam air mineral itu, boleh dimasukkan potongan buah seperti jeruk atau limau.

Buah-buahan adalah contoh gula yang sihat kepada penghidap diabetes. (Gambar hiasan, Freepik)

4) Banyakkan makan buah-buahan

Jangan hanya makan makanan manis seperti kuih-muih sahaja, masukkan juga buah-buahan dalam menu anda. Buah-buahan mempunyai rasa manis di samping kandungan nutrien yang sihat.

Dalam buah terkandungnya serat, vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh. Rasa manis yang datang dari buah juga tidak membawa mudarat kepada penghidap diabetes.

Walaupun begitu, perlu diingat buah-buahan juga mengandungi gula dan penghidap diabetes tidak boleh makan secara berlebihan.

5) Bersederhana dalam pemakanan

Secara asasnya penghidap diabetes boleh makan hidangan manisan tetapi haruslah berpada-pada dan dihadkan.

Jika teringin makan sajian manisan, pilih satu yang paling diidamkan dan hadkan sampai situ sahaja, jangan makan lagi manisan yang lain.

Cukuplah sekadar melepaskan selera tetapi kesihatan masih terjaga. - Detik.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain