EKZEMA merupakan masalah kulit yang dialami ramai dan boleh bermula dari peringkat bayi Terdapat individu yang dapat mengawal penyakit ini dengan kesan minimum ke atas kehidupan seharian mereka, namun ada juga segelintir golongan yang harus berterusan hidup dengan penyakit ini. Ekzema tidak hanya dikaitkan sebagai penyakit alergi (alahan) dan alergen boleh memainkan peranan dalam memburukkan lagi keadaan seperti hama, habuk, bulu haiwan peliharaan dan debunga. Pesakit ekzema biasanya mempunyai alahan dengan keadaan di sekelilingnya. (Gambar hiasan, Freepik) Mereka yang menjadi mangsa ekzema akan mempunyai kulit yang menjadi gatal dan berlaku keradangan. Perkara ini menyebabkan kanak-kanak akan berterusan menggaru bahagian yang gatal seterusnya menyebabkan kerosakan kulit dan terdedah kepada jangkitan bakteria, virus dan fungus. Pakar Perunding Kanak-Kanak dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Melanie Majaham berkongsikan beberapa perkara yang perlu diketahui mengenai ekzema. Ayuh kita lihat satu-persatu dan kenali dengan lebih dekat apa itu ekzema. Ubat-ubatan antibiotik dan antivirus mungkin diperlukan untuk pesakit ekzema yang kronik. (Gambar hiasan, Freepik) 1) Rawatan untuk ekzema dan alahan Pesakit mungkin memerlukan krim berasaskan steroid yang penting untuk mengurangkan keradangan dan menghentikan kitaran kegatalan atau “itch-cycle”. Dalam keadaan di mana kulit sedang dijangkiti bakteria, virus atau fungus, ubat-ubatan antibiotik dan antivirus mungkin diperlukan. Semasa fasa subakut atau kronik di mana kulit hanya kering tetapi tidak meradang secara aktif, terapi penyelenggaraan (maintenance therapy) adalah penting untuk mencegah ekzema daripada berubah ke fasa ‘flare-up.’ Krim pelembap intensif boleh membantu melegakan ekzema. (Gambar hiasan, Freepik) Terapi penyelenggaraan ini termasuklah menggunakan krim pelembap intensif yang bebas daripada pewangi dan bahan kimia tertentu. Kanak-kanak juga perlu menggunakan mandian bebas sabun untuk mengelakkan kulit kering secara berlebihan. Kulit yang basah kemudian hendaklah dikeringkan perlahan-lahan dengan menggunakan tuala. Air yang terlalu suam juga cenderung untuk membuatkan ekzema bertambah teruk. Untuk mengesan alahan, ibu bapa harus memerhatikan anak-anak mereka jika sering terdedah kepada makanan atau persekitaran tertentu seperti persekitaran yang berdebu, cuaca sejuk, panas atau bulu haiwan. Kanak-kanak yang menghidapi ekzema juga boleh mengalami alahan makanan. (Gambar hiasan, Freepik) 2) Bolehkah kanak-kanak berterusan mempunyai ekzema hingga dewasa? Tidak ramai yang sedar bahawa kanak-kanak yang menghidapi ekzema juga boleh mengalami alahan makanan, resdung dan asma yang juga dikenali sebagai perarakan atopik atau ‘atopic march’. ‘Atopic march’ berlaku apabila pesakit berterusan mengalami alahan yang saling berkaitan ketika di zaman kanak-kanak dan ia akan bermula daripada ekzema. Atopi dikenali sebagai tindak balas imun yang berlebihan, dan secara amnya ia boleh menyebabkan reaksi di seluruh badan. ‘Atopic march’ bermula daripada penyakit kulit kerana ia merupakan penghalang badan pertama yang boleh dilanggar. Badan boleh bertindak balas secara berterusan kemudiannya bertukar menjadi alahan makanan, resdung dan asma. Ekzema berlaku disebabkan oleh gabungan pencetus persekitaran dan genetik. (Gambar hiasan, Freepik) 3) Adakah ekzema atau ‘atopic march’ boleh diwarisi? Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa genetik memainkan peranan penting dalam perkembangan keadaan atopik. Ekzema berlaku disebabkan oleh gabungan pencetus persekitaran dan genetik dan hal ini cenderung untuk berlaku jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai ekzema atau alahan lain seperti asma atau resdung. Pencetus persekitaran boleh disebabkan oleh faktor-faktor tertentu seperti makanan, sabun, krim atau bahan kimia. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan pesakit ekzema, tiada sumber yang boleh dikenal pasti sebagai pencetus penyakit ini. Pesakit harus berada dalam keadaan nyaman kerana haba boleh membuatkan ekzema bertambah teruk. (Gambar hiasan, Freepik) 4) Langkah pencegahan Ibu bapa harus memastikan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan nyaman kerana haba boleh membuatkan ekzema bertambah teruk. Gunakan pelembap kulit sepanjang masa juga amat membantu dalam memastikan kanak-kanak kekal selesa. Elakkan daripada menggunakan sabun antiseptik yang kasar kepada kulit dan boleh menjadikan ekzema semakin teruk. Selain itu mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa kekal aktif, pastikan anak bersenam dengan kerap, luangkan masa di luar rumah dan dapatkan Vitamin D yang bermanfaat untuk kesihatan kanak-kanak secara menyeluruh. Kekalkan berat badan yang ideal dan dapatkan tidur yang mencukupi untuk membantu dalam membina sistem imun yang lebih kuat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube