RAMADAN yang bakal menjelma menandakan ramai yang akan berpusu-pusu pulang ke desa. Keseronokan untuk berbuka puasa bersama ahli keluarga dan berkumpul beramai-ramai di bawah satu bumbung pastinya membuatkan hati melonjak keriangan. Namun begitu, di sebalik semangat untuk merapatkan hubungan silaturrahim, beringat-ingatlah masih ada batasan yang perlu dijaga terutamanya dalam kalangan anak-anak. Jangan dirasakan kampung sebagai tempat selamat kerana kelekaan boleh membawa padah. (Gambar hiasan, Freepik) Siti 'Aisyah Rozalli yang kerap berkongsikan ilmu kekeluargaan di laman Facebook ada menggariskan beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian ketika berada di kampung halaman. Ayuh kita kupas satu-persatu dan lebih berjaga-jaga mulai hari ini. Pergaulan sesama sepupu perlu dijaga dan ada sempadannya. (Gambar hiasan, Freepik) 1) Jangan sesekali biarkan anak mandi bersama sepupu Jangan sekali-kali biarkan anak mandi bersama sepupu. Jangan gunakan alasan yang mereka masih anak kecil lagi. Harus diajar sejak kecil batasan hubungan sesama ahli keluarga besar. Mak atau ayah sendiri yang harus menyiapkan anak. Jirus air, sabun, lap dengan tuala dan pakaikan baju itu semua ayah atau mak yang kena tolong. Melainkan anak dah besar dan boleh urus sendiri, boleh biarkan mereka mandi bersendirian tetapi jangan sesekali campurkan mereka dengan sepupu atau saudara sekali di dalam bilik air. Mandi-manda bersama sepupu perlu dielakkan sama sekali. -Gambar hiasan 2) Jangan siapkan anak di hadapan orang ramai Masa nak pakaikan baju anak, jangan siapkan di hadapan orang ramai. Kalau rumah mak bapa kita ada cukup bilik, siapkan di dalam bilik. Kalau tidak ada, cari ruang lain yang lebih tertutup. 3) Cuba elak tidur 'bersepah' hingga mendedahkan aurat Kalau keluarga besar, pastikan waktu tidur tidak 'bersepah' (bergelimpangan) kedudukannya hingga aurat terdedah sana sini. Risau nanti ada yang mengambil kesempatan walaupun sesama ahli keluarga kerana nafsu manusia tiada siapa yang boleh ramal. Boleh jadi habis berantakan seluruh keluarga kerana seorang dua yang membuat onar. Pantau apa yang ditonton anak melalui peranti elektronik bersama sepupu-sepupunya. (Gambar hiasan, Freepik) 4) Jangan biarkan anak ralit bermain telefon pintar bersama sepupu Jangan biarkan anak ralit bermain telefon pintar bersama sepupunya. Mengapa? Di rumah kita sendiri, kita mungkin mengawal dan memantau anak dalam mengakses video dan permainan digital di internet. Tetapi perlu diingat adik-beradik kita yang lain mungkin tidak setegas itu dalam mendidik anak mereka. Pastikan anak dan sepupu-sepupunya tidak melayari internet secara sembunyi-sembunyi di dalam bilik tertutup yang dikunci pintunya. Silap-silap, bukan permainan video yang dimain, tetapi ada ‘sesuatu’ yang ditonton. Ada sebab mengapa batasan perlu dijaga dalam pergaulan sesama ahli keluarga dan saudara-mara. (Gambar hiasan, Freepik) 5) Ketahui batas antara bukan mahram Walau kita mesra bergaul dengan saudara-mara dan adik-beradik, perlu diingat belum tentu lagi mereka itu mahram kita. Dilihat seperti sudah menjadi satu kebiasaan bersalaman tangan sambil bercium pipi kiri kanan antara sepupu yang berlainan jantina. Untuk anak kita terutamanya yang masih kecil, pastikan sekadar salam dan cium tangan atas dasar hormat sahaja. Perkara ini sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh, sudah banyak kes anak-anak kecil yang menjadi mangsa rangsangan seksual secara sedar ataupun tak sedar. Semua ini dipanggil pendidikan seksual. - Siti 'Aisyah Rozalli Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube