suria

Postur, jarak badan dengan stereng perlu betul! 5 tip ini bantu anda memandu lebih selesa, selamat

Ini cara dan kedudukan yang betul ketika di tempat duduk pemandu. (Gambar hiasan, Freepik)

POSTUR badan ketika berada di tempat duduk pemandu kenderaan adalah sangat penting.

Kedudukan yang ergonomik akan memastikan anda selesa dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan.

Menerusi satu perkongsian di laman Twitter, seorang pemuda yang kerap berkongsikan tip berkaitan trafik, Paul Tan, menunjukkan postur badan yang betul ketika memandu.

Perbandingan di antara posisi kedudukan pemandu. -Gambar hiasan

Menurutnya, pemandu tidak seharusnya berada terlalu dekat atau jauh dari stereng, ini supaya tangan mempunyai ruang yang secukupnya untuk bertindak ketika dalam keadaan kecemasan.

"Kalau kita tengok kedudukan wanita ini (kiri gambar), kedudukan dia berada jauh dari stereng.

"Jarak yang betul dari stereng adalah apabila gelang tangan boleh direhatkan di atas roda stereng.

"Jarak yang ideal adalah macam lengan lelaki ini (kanan gambar), anda boleh bergerak untuk mengawal stereng dengan efisien terutamanya ketika masa kecemasan," kata Paul Tan.

stereng 3

Poket seluar yang penuh boleh mengganggu kedudukan anda ketika memandu. (Gambar hiasan, Freepik)

Disertakan di bawah beberapa lagi petua agar pemanduan anda lebih selesa.

1) Kosongkan poket seluar anda

Kehadiran objek pada ruang poket anda seperti modem mudah alih atau peranti pintar boleh mengganggu dan memberikan kesan kepada posisi pemanduan.

2) Rapatkan punggung ke belakang

Bagi mendapatkan sudut duduk yang baik, anda perlu merapatkan kedudukan punggung dekat dengan bahagian penyandar.

Jangan bersandar terlampau ke belakang ketika memandu. (Gambar hiasan, Freepik)

3) Pastikan badan rapat dan tegak dengan kerusi

Sudut duduk yang baik juga sebenarnya bergantung kepada faktor ini. Pastikan bahagian belakang anda bersandar pada kerusi.

Ubah sudut tempat duduk anda supaya kedudukan tulang belakang berada pada sama sudut dengan tulang pinggul.

Pastikan juga perehat kepala sama aras dengan kepala pemandu.

Pastikan bukaan paha berada dalam kedaan selesa ketika memandu. (Gambar hiasan, Freepik)

4) Rehatkan paha pada tempat duduk

Sekiranya perlu, ubah ketinggian tempat duduk supaya bahagian bawah peha boleh berehat dengan selesa.

Keadaan kaki yang tergantung ketika pemanduan boleh menyebabkan keletihan.

5) Jaga sudut bukaan tangan dan kaki

Jarak antara badan dengan stereng dan pedal kaki amatlah penting untuk memastikan anda mampu mengoperasikan kenderaan dalam kedudukan yang selesa.

Kedudukan ini juga bagi memastikan bahu anda sentiasa rapat dengan tempat duduk, walaupun ketika sedang membelok.

Luangkan masa selama beberapa minit untuk mencuba kesemua tip di atas dan anda akan merasai perbezaan dari segi kawalan, keselesaan serta mendapat keyakinan ketika mengendalikan kenderaan. - Paul Tan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain