suria

Keputusan SPM cemerlang, biasa-biasa dan corot... Penting untuk pelajar, mak ayah tahu 8 perkara ini!

Ibu bapa perlulah zahirkan rasa bangga walau apa jua keputusan SPM anak. -Gambar hiasan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah diumumkan pada Khamis (8 Jun).

Pelbagai reaksi pelajar dan ibu bapa dapat dilihat selepas slip peperiksaan berada di tangan.

Ada yang mengalirkan air mata tanda syukur dengan keputusan diperoleh, namun ada juga yang bersedih dan kecewa apabila apa yang tertera pada slip tidak seperti diharapkan.

Melihat situasi tersebut, seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Taiping, Perak, Mohd Shahid Ahmad berkongsi pandangan yang boleh dijadikan pedoman buat ibu bapa, juga pelajar yang menduduki SPM itu sendiri.

Daripada situasi tersebut lapan perkara penting atau kesimpulan dapat dibuat seperti yang disenaraikan di bawah:

Ibu bapa jangan terlalu emosi dengan keputusan SPM anak yang kurang memberangsangkan. -Gambar hiasan

1) Hasil usaha semalam, adil (setimpal) untuk hari ini

Keputusan hari ini (SPM) adalah hasil usaha semalam. Apa yang anda usahakan itulah yang anda dapat.

Terimalah dengan seadanya. Bersangka baiklah dengan Allah.

Nabi bersabda dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Keputusan SPM tidak seperti diharapkan

Percayalah hari esok (masa depan) akan sentiasa ada untuk mereka yang bangkit pada hari ini.

Anak-anak (pelajar) berhak kecewa kerana kekecewaan itu adalah perkara yang perlu dilalui oleh semua orang.

Ramai orang hebat bermula dengan kecewa dan gagal, tetapi rasa bangkit daripada kegagalan itu pengalaman yang tiada bagi orang yang berjaya (keputusan cemerlang) maka bangkitlah.

3) Raikan keputusan anda

Berikan penghargaan kepada diri sendiri dan orang terdekat dengan cara berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan dan jangan dilupakan guru anda.

Cukup sekadar mengambil gambar bersama mereka sambil memegang slip keputusan kerana ia akan membuatkan mereka berasa puas dan bangga.

Pelajar boleh juga belanja ahli keluarga makan-makan sebagai tanda terima kasih.

Bimbing anak-anak ketika membuat keputusan hala tuju selepas SPM.

4) Sesuaikan keputusan SPM dengan keperluan atau syarat universiti dan sistem dalam talian UPU

Apa saja keputusan SPM diperoleh, anda perlu berjumpa dengan kaunselor atau seseorang yang pakar dalam bidang kerjaya dan pengajian.

Pastikan keputusan tersebut dianalisis kerana ramai yang salah pilih jurusan selepas mendapat keputusan SPM.

Sudah pasti merugikan jika keputusan SPM yang diperoleh cemerlang tetapi tersalah pula masuk bidang pengajian.

Jangan lupa kemas kini semula permohonan dalam sistem UPU.

5) Nasihat untuk ibu bapa

Jangan terlalu emosi dengan keputusan SPM anak yang kurang memberangsangkan.

Jangan banding keputusan SPM anak dengan siapa sahaja termasuk diri sendiri sekiranya keputusan SPM anak kurang baik berbanding kita.

Soalan SPM zaman kini jauh berbeza cabarannya. Sangat tidak adil untuk dibandingkan.

6) Masa depan anak-anak masih panjang

SPM adalah satu permulaan bukan penamat. Masih banyak cabaran perlu anak-anak kita hadapi.

Terus bersabar dengan apa jua keputusan diperolehi dan berikan mereka semangat kerana tiada perkara mustahil bagi orang yang berusaha.

7) Boleh buat semakan semula

Jika anak-anak rasa gred sesuatu subjek tu di luar jangkaan, anda dapat boleh mohon untuk buat semakan secara online.

Semakan boleh dibuat dalam tempoh 30 hari dan keputusan akan diperolehi dalam tempoh dua bulan.

8) Buat sedikit pembacaan tentang universiti pilihan

Cara hidup mahasiswa berbeza dengan zaman belajar di sekolah. Tiada lagi kawalan guru dan semuanya lebih bergantung kepada diri sendiri.

Sangat penting untuk memahami kehidupan di universiti agar kecemerlangan SPM hari ini akan mencermin kejayaan di menara gading nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain