suria

Lelaki ‘puasa’ makan nasi selama 13 tahun! Amal diet pelik gara-gara berat badan naik mendadak lepas kahwin

Izan menjamah nasi kali pertama dalam tempoh 13 tahun, selepas mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan.

LAIN orang, lain caranya.

Bercakap mengenai proses menurunkan berat badan, masing-masing mempunyai rejim diet tersendiri yang diamalkan mengikut kondisi tubuh serta nasihat daripada jurulatih kecergasan.

Baru-baru ini, perkongsian video oleh seorang lelaki mengenai rejim diet yang diamalkannya mengundang perhatian ramai gara-gara tidak menyentuh nasi selama 13 tahun!

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Anizan Mohd Nor berkata, titik mula yang membuatkannya nekad untuk menghentikan pengambilan nasi adalah disebabkan pertambahan berat badan selepas mendirikan rumah tangga.

nasi 3

Perbezaan ketara penampilan Izan dahulu dan sekarang.

"Selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, saya perasan berat badan makin naik apabila saiz seluar bertambah daripada 31 inci kepada 37 inci, baju pula terpaksa beli saiz XXXL. Berat badan maksima ketika itu adalah 93 kilogram (kg).

"Masakan isteri pula sedap, tak sah kalau tak menambah nasi. Itu yang membuatkan saya buat keputusan untuk menghentikan pengambilan nasi.

"Saya start tak ambil nasi pada 2010. Kalau kenduri, hari raya atau apa saja acara, saya memang tak akan 'cheat'. Lemang, nasi impit pun tak sentuh," ujar lelaki berusia 43 tahun ini.

Senang disapa sebagai Izan, dia mengakui kesukaran yang dilalui terutama pada beberapa hari terawal mengamalkan diet 'tanpa nasi'.

ARTIKEL BERKAITAN: Azam nak kurus 2020? Ikut tip wanita ini berjaya hilang 32 kg dalam masa 4 bulan!

ARTIKEL BERKAITAN: Tahun baharu sinonim azam kurus... tapi tahukah anda roti punca badan tak susut, ketahui 4 langkah mudah capai berat ideal

"Sangat struggle dan stress... kesan pertama yang dirasai, ia lebih kepada psikologi. Keinginan tu ada, tapi saya ingat goal yang ingin dicapai.

"Badan pun dua, tiga hari ada rasa menggigil. Sejak hari pertama saya konsisten. Alhamdulillah saya tak ambil masa yang lama untuk membiasakan diri.

nasi 4

Mendaki gunung adalah antara aktiviti kegemaran Izan untuk menurunkan berat badan dan meningkatkan stamina.

"Dalam empat hari dah dapat rentak. Kuncinya adalah disiplin,"ujarnya lagi.

Dalam tempoh tersebut, Izan menggantikan nasi kepada sumber karbohidrat yang lain seperti roti, bijirin dan mi di samping turut aktif melakukan senaman atau aktiviti outdoor.

Berkat kesungguhannya, Izan berjaya mencapai berat badan yang ideal selain terasa lebih sihat dan cergas.

"Sebenarnya, penurunan berat badan dalam kes saya ini ambil masa bertahun juga. Dan kemudian saya hanya maintain sahaja," ujarnya yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Selangor.

Betul, nasi itu tidak salah... sebab itu dalam video bahagian kedua, saya nasihatkan orang ramai supaya usah ikut diet ini.

MOHD ANIZAN MOHD NOR

Selama 13 tahun 'berpuasa' nasi, Izan akhirnya menyentuh makanan ruji tersebut pada Jumaat lalu, yang mana perkongsian detik 'bersejarah' tersebut yang dimuat naik di TikTok, mengundang perhatian ramai.

"Saya mengambil keputusan untuk start balik makan nasi kerana bakal menyertai satu ekspedisi mendaki gunung di luar negara pada Ogos depan.

"Ekspedisi tersebut adalah berkumpulan dan mengambil masa sekitar seminggu yang ada pakej tukang masak. Jadi, bimbang menyusahkan pula kalau menu saya berbeza dengan yang lain.

"Seminggu sebelum buat keputusan nak makan nasi, saya beritahu isteri dan dia terkejut, namun menyokong keputusan itu. Saya hanya request lauk simple daripadanya untuk 'berbuka puasa', iaitu sayur kobis goreng, ikan selar goreng dan tempoyak budu.

nasi 2

Selain mendaki gunung, Izan turut aktif menyertai acara larian dan berbasikal.

"Perasaan masa gaul nasi tu memang bermacam-macam. Tak terkata bila masuk suapan yang pertama. Nikmat kekenyangan tu rasa lain," tambahnya.

Bagaimanapun tambah Izan, video yang dirakam isterinya ketika dia menjamah nasi kali pertama selepas 13 tahun itu hanyalah sekadar perkongsian momen 'rare' dalam hidupnya.

"Tak sangka pula viral. Saya dapat bermacam-macam pertanyaan, malah ada juga komen daripada pakar nutrisi yang memberi pandangan bahawa diet saya tak betul sebab tak salah pun ambil nasi.

"Betul, nasi itu tidak salah... sebab itu dalam video bahagian kedua, saya nasihatkan orang ramai supaya usah ikut diet ini. Pertama sebab saya dah makin terbiasa, dan keduanya, kondisi badan setiap orang adalah berbeza.

"Nasihat saya untuk mereka yang alami masalah berat badan dan mahu menurunkan berat badan adalah kawal pemakanan dan seimbangkan dengan workout.

"Dan paling penting, ikut nasihat pakar, bukan kawan," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain