suria

Wanita hamil pun mahu kejar pahala Ramadan... Doktor kongsi menu berbuka, sahur sokong tumbesaran janin

Wanita hamil perlu memilih menu bersesuaian jika mereka mahu berpuasa.

PENGAMBILAN makanan tertentu pada waktu sahur dan berbuka puasa sebenarnya boleh memberikan kesan atau rasa kenyang yang lebih panjang.

Perkara ini penting untuk diketahui oleh wanita hamil atau individu yang mempunyai keadaan lain, contohnya mereka yang menghidap penyakit.

Puasa ketika hamil

Wanita yang sedang berbadan dua juga boleh berpuasa jika mereka tidak mengalami masalah atau kontraindikasi.

Namun, ibu hamil perlu bijak dalam memilih menu ketika berbuka dan sahur bagi menyokong kesihatan dan tumbesaran janin.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Muhammad Fadli berkata, ibu hamil yang berpuasa perlu memperbanyakkan pengambilan karbohidrat kompleks untuk membuatkan mereka berasa kenyang lebih lama.

"Jangan makan telur, tepung seperti mi, sebaiknya makan karbohidrat kompleks seperti ubi dan beras merah," kata Fadli.

Semasa mengandung pada trimester kedua dan ketiga, ibu juga memerlukan kalori yang mencukupi dan ia boleh diperolehi daripada pengambilan karbohidrat, protein, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Dalam pada itu, Dr Fadli turut mengingatkan ibu hamil supaya memeriksa dengan pakar perbidanan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk berpuasa.

Pemeriksaan ginekologi sebelum berpuasa adalah penting bagi memastikan saiz (panjang dan berat) janin bersesuaian dengan usia kandungan.

Pemeriksaan juga bertujuan untuk memeriksa keadaan air ketuban dan memastikan kesejahteraan bayi dengan melihat kelancaran aliran darah dari tali pusat ke plasenta.

Sementara itu, wanita hamil perlu membatalkan puasa jika terdapat tanda-tanda seperti dehidrasi, pening, degupan jantung berdebar-debar, air kencing berbau kuat dan warna kuning serta pergerakan janin yang sedikit atau berkurangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain