suria

Minum segelas air tebu bersamaan makan 12 sudu teh gula! Memang sedap tapi jangan amal hari-hari

Air tebu mempunyai kandungan gula yang tinggi dan tidak sesuai dinikmati setiap hari. -Gambar hiasan

AIR katira, air laici kang dan air balang aneka perisa merupakan antara minuman yang popular di bazar Ramadan.

Tidak dilupakan tentunya air tebu yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia sejak zaman berzaman.

Disebabkan rasanya yang manis, air tebu sering menjadi pilihan ramai untuk membasahkan tekak ketika berbuka puasa.

Terbaharu, seorang doktor perubatan, Dr Zamir Hilman meraih perhatian netizen apabila dia tampil berkongsi tentang bahaya air tebu menerusi aplikasi TikTok.

"Air tebu memang sedap, saya pun teringin juga. Nak pergi cari rasanya apabila dah sebut. Air tebu ada dalam 70 peratus air. Satu gelas air tebu ada dalam 50 gram gula.

"Satu sudu teh gula bersamaan dengan 3.8 gram hingga 4.4 gram gula. Jadi satu gelas air tebu bersamaan dengan 12 setengah sudu teh gula. Jadi 12 sudu masuk perut kalau anda habiskan satu gelas.

Jadi ia akan meningkatkan insulin anda dan membatalkan kebaikan kesihatan berpuasa. Sekali sekala okey tapi kalau hari-hari merana," ujarnya.

Hingga kini perkongsian doktor perubatan itu meraih hampir 800,000 tontonan di TikTok.

Menurut laman sesawang Hello Doktor pula, air tebu mempunyai rasa yang manis disebabkan kehadiran sukrosa dalam kandungannya.

tebu3

Penjelasan Dr Zamir Hilman tentang air tebu meraih perhatian netizen di TikTok.

Ia turut mengandungi kalium, kalsium, magnesium, zat besi, thiamin, riboflavin dan mangan pada kadar yang signifikan.

Air tebu bukan sekadar diminum secara segar, malah ia turut digunakan sebagai bahan asas untuk pelbagai produk lain seperti gula perang, molases, dan etanol.

Kesan pengambilan

Sesetengah kajian mendapati bahawa jus buah-buahan berpotensi meningkatkan risiko diabetes disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dengan kandungan serat yang rendah.

Air tebu mengandungi kandungan gula semula jadi dan pelbagai kandungan nutrisi yang baik seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, disebabkan kandungan gula semula jadinya yang tinggi, pengambilan jus ini perlulah dikawal agar tidak diambil secara berlebihan.

Kesimpulan

Air tebu dikategorikan sebagai sejenis jus yang tinggi dengan kandungan gula.

Pengambilannya secara kerap boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami peningkatan gula dalam darah dan diabetes jenis 2.

Sama ada anda merupakan penghidap diabetes atau tidak, elakkan daripada mengambilnya secara berlebihan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain