suria

Wanita 75 tahun masih lincah kayuh basikal, tenaga luar biasa... Rupanya amalkan ini sejak muda!

Haziq menceritakan kisah ibu saudaranya yang masih sihat pada usia 75 tahun.

MEMILIKI tubuh badan yang bebas daripada sebarang penyakit sehingga ke hari tua merupakan impian semua orang.

Namun sudah menjadi kelaziman apabila meningkat usia, ramai akan mula mengalami penyakit seperti sakit sendi, lutut, belakang dan segala penyakit kronik lain.

Namun berbeza pula dengan seorang wanita ini apabila dia begitu gagah mengayuh basikal walaupun sudah berusia 75 tahun.

Kisah wanita itu dikongsikan anak saudaranya sendiri, Haziq Mahmur yang kagum melihat warga emas dikenali sebagai Maklong Milah.

"Ni dia (Maklong Milah) baru balik dari pekan menuju ke rumah. Sihat lagi. Setiap hari ke sana sini naik basikal.

"Saya boleh katakan minima dua kali sehari dia akan ke pekan yang jaraknya enam kilometer (6 km) pergi dan balik. Jalan naik dan turun bukit.

"Pada umur 75 tahun ini dia masih sihat tiada sebarang penyakit kronik diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya," ujar Haziq.

Tangkap layar video ketika Haziq mengekori ibu saudaranya ketika menaiki basikal.

Menurut pembekal ayam kampung itu, Maklong Milah yang tidak memiliki zuriat tinggal sebatang kara selepas kematian suaminya.

Selain mengamalkan gaya hidup yang sihat, sikap ringan tulang dan rajin membantu penduduk kampung mendorong Maklong Milah bebas daripada penyakit.

Rutin harian Maklong Milah juga adalah menunaikan solat lima waktu di masjid.

"Orang kampung sini kenal sangat dengan dia. Baik, masak sedap, pandai bakar kuih dan selalu beri kuih pada saya.

"Dekat masjid, dia rajin mengemas. Bantu AJK (ahli jawatankuasa) uruskan hal ehwal wanita.

"Dia salah seorang penerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Tak kurang juga orang kampung bantu dia lengkapkan keperluan harian. Bagus orang sini," demikian menurut Haziq lagi.

Hantaran dibuat menerusi laman X itu meraih perhatian ramai kerana teruja melihat ibu saudara Haziq.

"Begitulah kehidupan orang di kampung. Bebas daripada tekanan. Jalan tak sesak. Makanan pun murah dan komuniti hebat saling menjaga.

"Tak sebut lagi banyak tanah (harta) dan hasilkan makanan sendiri. Paling penting bebas riba. Semua bayar secara tunai.

"Tak kaya tak apa, asalkan hidup mencukupi. Tak ada aset tak apa asalkan tak berhutang. Jiwa pun lapang," ujarnya mengakhiri cerita.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain