MASALAH dinding atau siling bocor (leaking) boleh berlaku jika anda menetap di kediaman bertingkat sama ada flat, apartment atau kondominium. Biasanya 'isu' ini berlaku akibat kebocoran saluran paip rumah jiran yang tinggal di unit atas atau sebelah. Kesannya dapat dilihat apabila muncul kesan tompokan pada dinding dan siling rumah. Sekiranya mengalami situasi ini, anda sebagai pemilik mempunyai hak yang boleh dituntut. Perkara itu dikongsikan oleh Peguam Hartanah, Syazwan Mohd Jafri menerusi halaman Facebook miliknya. Tindakan yang perlu dilakukan pemilik rumah adalah melaporkan masalah kebocoran kepada pihak pengurusan untuk siasatan dijalankan bagi mencari puncanya. Namun, sekiranya pemilik unit atas atau sebelah tidak memberikan kerjasama untuk siasatan, pihak pengurusan boleh menguatkuasakan Peraturan 63 PUA 107 yang membolehkan individu itu didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun. Penduduk di kediaman bertingkat sudah terbiasa berdepan masalah kebocoran siling atau dinding. -Gambar hiasan Ini kerana hak anda sebagai pemilik berada di bawah Akta Pengurusan Strata (Seksyen 142 Akta 757) yang menyebut unit atas akan dipertanggungjawabkan untuk membayar kos membaiki kebocoran melainkan ada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Bagaimanapun, punca masalah tidak semestinya sah berpunca dari unit kediaman atas atau tepi tetapi kebarangkalian adalah tinggi. Selain itu, anda juga berhak menuntut hak di bawah Peraturan Pengurusan Strata 2017 (PUA 107) yang menyebut kebocoran boleh diertikan sebagai apa-apa kebasahan, kelembapan atau kesan penembusan air pada siling. Cukup sekadar kelihatan tompokan air dan tidak perlu ditunggu sehingga menjadi teruk sampai air menitik-nitik jatuh. Malah, dalam Peraturan 61 PUA 107 menyebut sekiranya unit atas atau tepi tidak memberikan kerjasama baiki kerosakan, pihak pengurusan boleh mengambil tindakan untuk membaiki sendiri kerosakan dan membuat tuntutan semula kos kepada pemilik tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube